Sambutan Hari Malaysia setiap tahun pada 16 September perlu menjadi titik-tolak kepada penghayatan sejarah ibunda dan dorongan patriotisme dalam diri setiap warga Malaysia. Ini kerana, sejarah perjuangan dan penyatuan perlu dihayati oleh anak bangsa yang merdeka. Bahkan, sambutan Hari Malaysia juga wajar di jadikan sebagai wadah memperingati jasa, pengorbanan dan sumbangan para pemimpin terdahulu yang telah berjuang meningkatkan martabat serta maruah bangsa dan negara daripada belenggu kolonialisme jajahan asing.
Mengimbau kembali sejarah di sebalik pembentukan negara Malaysia, ia merupakan detik paling bermakna yang memperlihatkan penyatuan Persekutuan Tanah Melayu bersama Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura, walaupun Singapura disingkirkan pada tahun 1965. Penyatuan bermula selepas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mencadangkan idea penubuhan Persekutuan Malaysia pada 27 Mei 1961 disusuli Mesyuarat Persatuan Parlimen KOMANWEL Cawangan Tanah Melayu di Singapura pada 23 Julai pada tahun yang sama, telah memutuskan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia yang dipengerusikan Tun Mohammad Fuad Stephens. Gagasan ini ditubuhkan bagi menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Selain itu, ia bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk, mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Sabah, Sarawak, Singapura dan seterusnya meningkatkan kemajuan ekonomi.
Hari Malaysia adalah sama pentingnya dengan Hari Kebangsaan. Kedua-duanya sangat signifikan dalam pembentukan Malaysia seperti yang kita lihat pada masa sekarang. Walaupun terdapat beberapa pandangan terdahulu daripada aliran pemikir akademik yang mengatakan hari kebangsaan mempunyai signifikan melebihi Hari Malaysia kerana sekiranya negara tidak mencapai kemerdekaan terlebih dahulu, Hari Malaysia tidak akan wujud. Namun, harus diingat bahawa setiap peristiwa sejarah itu adalah suatu proses yang bersambungan. Suatu peristiwa yang berlaku pada hari ini adalah sebahagian daripada peristiwa semalam dan ianya berkemungkinan besar mampu menunjang dan menjadi pemangkin serta aspirasi kepada sebahagian peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang. Sekiranya tiada pembentukan Hari Malaysia pada 1963, maka sudah pasti apa yang dirasai dan dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia pada masa kini tidak mungkin tercapai. Setelah sekian lama kita hanya berbangga dengan tanggal 31 Ogos, maka kini sudah tiba masanya naratif dan penulisan sejarah Malaysia dicorak serta diwarnai dengan perkembangan dan kemajuan negara dalam pelbagai bidang tanpa meminggirkan kepentingan 16 September.
Walaupun negara berhadapan dengan penularan Pandemik COVID-19 sejak penghujung tahun 2019 dan kini rakyat sedang berada dalam fasa penyesuaian diri norma baharu, ia seharusnya tidak memberi kesan terhadap penghayatan kepada sejarah Hari Malaysia. Hari yang bermakna ini wajar disambut meriah. Namun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan seharusnya dipatuhi dalam meraikan hari yang bersejarah ini. Pahit maung pejuang-pejuang terdahulu yang telah berjuang dan berkorban dalam membentuk Malaysia haruslah dikenang agar rasa cintakan negara dan semangat patriotisme akan terus mekar dalam diri setiap rakyat Malaysia. Simbolik dari peristiwa pembentukan Malaysia ini juga dapat diterjemahkan kepada situasi pandemik kini di mana dapat kita lihat munculnya wira baharu dalam bentuk petugas barisan hadapan antaranya doktor, jururawat, petugas kesihatan, polis dan tentera yang sanggup berkorban dan berbakti dalam usaha mengekang wabak yang sedang mengganas ini agar kesejahteraan rakyat dapat dikecapi.
Sehubungan itu, ‘Malaysia Prihatin’ menjadi pilihan tema Hari Malaysia dan menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah, semangat Malaysia Prihatin ini seharusnya disemarakkan dari segenap aspek kehidupan masyarakat, bukan sahaja dalam usaha menamatkan wabak COVID-19 yang sedang menular di Malaysia, bahkan turut dihayati serta diamalkan dalam mencapai perpaduan, mempertahankan kedaulatan negara dan kemakmuran bersama. Sikap bertolak-ansur, bekerjasama serta hormat menghormati haruslah menjadi budaya dan identiti kita selaras dengan prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam Rukun Negara.
Sentimen-sentimen negatif seperti isu perkauman, agama, politik dan ekonomi yang kerapkali dilihat di dada-dada akhbar serta menjadi ledakan maklumat di media sosial sememangnya amat menyedihkan. Sesungguhnya, ia telah mewujudkan jurang yang sangat luas antara setiap kaum di negara ini. Sekiranya jurang ini tidak ditutup kembali, ia akan membawa kepada keruntuhan sistem pentadbiran sesebuah negara dan seterusnya membawa kepada kacau bilau dan huru-hara dalam negara tersebut. Disinilah pentingnya untuk setiap rakyat Malaysia menyoroti kembali falsafah di sebalik pembentukan Malaysia. Dengannya, rasa cinta dan bertanggungjawab terhadap negara akan wujud dalam setiap jiwa dan sanubari rakyat Malaysia.
Justeru, sebagai rakyat Malaysia marilah kita bersama-sama menghayati dan menjiwai serta mengambil iktibar dan pedoman dari sejarah Hari Malaysia ini. Janganlah disia-siakan usaha para pejuang negara kita yang telah banyak berkorban dalam membentuk kesatuan Persekutuan Malaysia bagi membolehkan kerjasama, keamanan dan kemajuan negara tercapai dan dapat dinikmati oleh setiap rakyatnya. Benarlah kata-kata mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, Sejarawan Negara “orang yang cetek, buta dan tidak peduli sejarah negara akan membuatkan generasi rosak dan memburukkan keadaan kepada negara”. Hal ini kerana, golongan seperti ini biasanya gemar mewujudkan sentimen-sentimen negatif yang boleh mengganggu gugat kestabilan politik, ekonomi seterusnya menjejaskan kemakmuran negara. Perbezaan budaya, bahasa dan kepercayaan seharusnya tidak menjadi asbab kepada wujudnya sentimen negatif ini dan seterusnya memberi kesan kepada perpaduan nasional. Ingatlah bahawa sebelum 16 September 1963 tiada negara bernama Malaysia, yang ada hanyalah Malaya, Sabah, dan Sarawak. Justeru, sewajarnya 16 September diterima dan diraikan oleh setiap rakyat Malaysia dengan bangganya dalam penyatuan rakyat pelbagai kaum, bangsa dan agama demi kesejahteraan bersama.
Penulis: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz @Dorashid, adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia