Musim haji tahun ini telah pun tamat, begitu jugalah Bulan Zulhijah 1444 hijrah ini yang akan meninggalkan kita dalam beberapa hari sahaja lagi. Berlalunya Zulhijah 1444H, menandakan ketibaan bulan Muharam 1445 Hijrah. Kata Imam al-Hasan al-Basri rhm: “Innama anta ayyam, idha dhahaba minka yawm, dhahaba ba’duka.” Maksudnya: “Sesungguhnya diri mu adalah himpunan hari-hari, apabila berlalunya satu hari daripada diri mu, maka berlalulah sebahagian daripada kehidupan mu.”
Untuk tidak mensia-siakan berlalunya sebahagian daripada kehidupan kita, artikel ini mengajak para pembaca untuk menekuni dan menghayati salah satu ibrah atau pelajaran, daripada ratusan malah ribuan ibrah atau pelajaran, yang terdapat dalam Sirah Hijrah Baginda SAW dan para Sahabat RA.
Ibrah yang ingin dikongsikan di sini adalah kepentingan untuk mengambil asbab (sebab-sebab) dan meyakini kekuasaan Allah SWT sebagai Musabbib al-Asbab (penyebab segala sebab kejadian). Atau yang diajar dalam pelajaran usuluddin sebagai al-Akhdhu bi al-Asbab wa al-Iman billah, Musabbib al-Asbab. Dalam peristiwa hijrah kita disajikan dengan pelbagai episod sebagai bukti manifestasi ibrah ini.
Hal ini kerana terdapat sebilangan penyelidik, penulis, penceramah, pempengaruh (influencer); sama ada yang Muslim atau non-muslim, yang tersasar dalam menghuraikan perkara ini. Dalam catatan sebilangan orientalis, hijrah Rasulullah SAW diungkapkan sebagai agenda politik, ekonomi, sekular, kemanusiaan dan keduniaan semata-mata. Di satu sisi yang lain, umat Islam digambarkan sebagai umat yang fatalis, jabbariyah, yang hanya mengikut ketentuan takdir sahaja tanpa adanya perancangan dan ikhtiar. Ibarat sehelai bulu burung yang terapung di udara, bergerak hanya mengikut arah angin yang bertiup.
Dalam kitab-kitab Sirah Rasulullah SAW, klasik mahupun moden, terdapat banyak bukti yang disenaraikan oleh para ahli Sirah rahmatullahi ta’ala alayhim ajma’in mengenai usaha umat Islam berikhtiar dengan mengambil asbab dan beriman dengan semua ketentuan Allah SWT yang menatijahkan segala asbab. Begitu banyak tribulasi dan dugaan yang menggugat kehidupan umat Islam di Mekah. Terlalu banyak fitnah dan ujian dalam usaha menjayakan perpindahan umat Islam dan perpaduan kaum Muhajirin dan Anṣār.
Apabila datangnya perintah hijrah, maka bermulalah penghijrahan umat Islam secara berkumpulan kecil, tersembunyi atau terang-terangan, ke bumi Madinah. Rasulullah SAW tidak gopoh dalam melaksanakan projek Hijrah umat Islam ini, tetapi dilakukan dengan penuh perancangan serta menyandarkan keyakinan kepada Allah SWT. Diriwayatkan dalam Sahih Bukhari: “Nabi SAW pada saat itu sedang berada di Makkah, beliau bersabda kepada kaum Muslimin: “Sungguh telah diperlihatkan kepada ku negeri tempat hijrah kalian yang memiliki pepohonan kurma di antara dua bukit yang berbatu hitam.” Maka berhijrahlah orang yang hendak berhijrah menuju Madinah. Begitu pula secara umum mereka yang berhijrah ke Habshah ikut berhijrah ke Madinah. Lalu Saidina Abu Bakar RA juga bersiap-siap hendak berangkat menuju Madinah. Tetapi Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Diamlah kamu di tempat mu, sesungguhnya aku berharap semoga aku mendapat izin daripada Allah SWT (untuk berhijrah).” Saidina Abu Bakar RA berkata: “Sungguh demi bapak ku sebagai tebusan, apakah benar Tuan mengharapkan itu?” Nabi SAW bersabda: “Ya benar.” Maka Saidina Abu Bakar RA berharap dalam dirinya bahwa dia benar-benar dapat mendampingi Rasulullah SAW dalam berhijrah.
Kesimpulannya sebagai umat Islam, antara ibrah hijrah yang boleh dihayati adalah pelajaran berikhtiar dan berserah kepada Allah SWT dalam melaksanakan serta mencapai sesuatu objektif dan visi dalam kehidupan. Umat Islam bukanlah umat yang malas, lesu dan pesimis dalam mengharungi pelbagai cabaran kehidupan serta ujian keimanan daripada Allah SWT. Manakala, dalam berikhtiar dan berusaha pula, keyakinan dan kepercayaan penuh tetap diletakkan kepada Allah SWT untuk membantu dan membimbing dalam segala kebaikan yang hendak dicapai. Allah SWT tidak sekali-kali diasingkan daripada agenda dan matlamat kehidupan kerana daripada Allah SWT kita datang dan kepada Allah SWT jualah kita akan kembali. Selamat menyambut Maal Hijrah dan Bulan Muharam 1445H untuk semua.
Dr. Wan Mohd Fazrul Azdi bin Wan Razali, Pensyarah Program Pengajian Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia. |
---|