Kesejahteraan merupakan kunci utama mencapai kebahagiaan dalam sesebuah kehidupan bagi setiap individu. Kesejahteraan bukan hanya didefinisikan sebagai ketiadaan penyakit. Malah ia adalah gabungan kompleks faktor kesihatan fizikal, mental, emosi dan sosial individu, termasuklah faktor seksual. Apabila kita membincangkan faktor ini, satu istilah yang seringkali kita dengar adalah seksualiti. Apakah itu seksualiti?

Seksualiti merupakan satu ekspresi identiti gender (lelaki dan perempuan). Ia juga suatu perasaan peribadi yang melibatkan kefahaman diri tentang tindak balas dan emosi terhadap seks. Perkara ini dipengaruhi oleh nilai peribadi dan kepercayaan individu terhadap seks. Masyarakat Malaysia harus sedar dan lebih peka dengan aspek kesejahteraan seksual masing-masing. Konsep 3R (Rights-Hak, Respect-Hormat, Responsibility-Tanggungjawab) dilihat amat releven dalam mendidik masyarakat memahami isu berkaitan seks.

Konsep Rights (hak) menyatakan bahawa setiap individu berhak untuk mendapatkan informasi yang betul mengenai seksualiti. Masyarakat juga berhak untuk membuat keputusan berkaitan isu seksual ini. Namun begitu, keputusan individu berkaitan seks tidak sepatutnya membawa sebarang masalah kepada diri sendiri dan orang lain. Masyarakat juga harus sedar bahawa mereka mempunyai hak untuk mendapatkan bantuan perkhidmatan kesihatan berkaitan aspek kesejahteraan seksual mereka.

Manakala, konsep Respects (hormat) menekankan bahawa masyarakat perlu menghormati hak diri sendiri, ibu bapa, teman istimewa, rakan sebaya dan masyarakat. Konsep Responsibility (Tanggungjawab) pula menyatakan bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga dan komuniti. Mereka haruslah berusaha mencapai potensi dan perkembangan kendiri yang optimum. Selain itu, mereka juga haruslah bertanggungjawab untuk mengelakkan daripada perkara yang merosakkan diri sendiri seperti kehamilan yang tidak diingini, melakukan pengguguran, jangkitan seksual serta mengelakkan diri daripada diganggu secara seksual dan terlibat dengan gejala Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Dewasa ini, kepincangan masalah sosial dalam masyarakat dilihat kian meruncing. Apatah lagi masalah sosial yang melibatkan isu-isu seksualiti. Berdasarkan statistik jenayah Malaysia 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati bahawa terdapat peningkatan kes jenayah seksual iaitu sebanyak 2.9 peratus berbanding tahun terdahulu. Hal ini adalah berdasarkan catatan kes yang berlaku pada tahun 2021 iaitu sebanyak 3209 kes dan meningkat kepada 3303 kes pada tahun 2022.

Tambahan dari itu, berdasarkan Tinjauan Kesihatan Seksual dan Kesejahteraan Hubungan Intim Durex Malaysia, kira-kira 31 peratus daripada Gen Z tidak mengetahui wanita boleh hamil apabila melakukan hubungan seksual pada kali pertama. Malah tinjauan sama dijalankan tahun lalu itu juga mendapati, purata umur Gen Z yang melakukan persetubuhan kali pertama antara umur 15 hingga 22 tahun, manakala satu daripada tiga golongan itu menganggap aksi seksual yang ditayangkan dalam pornorgrafi adalah perkara normal. Bahkan, hampir 40 peratus golongan itu mempercayai mitos bahawa penyakit kelamin (STI) hanya boleh dijangkiti melalui perembesan.

Tahap kesejahteraan seksual rakyat Malaysia dilihat berada dalam keadaan terancam apabila dalam masa yang sama terdapat peningkatan dalam jumlah kes melibatkan golongan LGBT. Terdahulu, JAKIM telah mendedahkan, anggota masyarakat gay direkodkan meningkat hampir

100 peratus, iaitu seramai 310,000 individu pada tahun 2018, berbanding 173,000 kes pada lima tahun sebelumnya. Manakala, golongan transgender pula merekodkan peningkatan kepada 30,000 individu pada tahun yang sama. Ditambah pula dengan masalah gangguan seksual dan ketagihan seksual yang turut berleluasa seiring dengan bertambahnya kecanggihan teknologi maklumat (ICT) yang sedia ada.

Fenomena yang berlaku ini menuntut kesedaran, tanggungjawab serta keberanian daripada individu, keluarga, komuniti, pemerintah serta golongan bijak pandai di negara ini dalam membanteras isu sosial yang kian membarah serta meragut kesejahteraan seksual rakyat Malaysia. Dengan mengukuhkan hubungan antara para ahli akademik, profesional, pemerintah dan masyarakat, kita dapat melangkah ke hadapan untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai kesejahteraan seksual. Tindakan selanjutnya termasuklah melibatkan pihak berkepentingan dalam memastikan pelaksanaan dasar-dasar yang progresif, serta melibatkan masyarakat dalam program-program kesedaran yang berterusan.

Pendidikan seks melalui penganjuran seminar atau kempen juga perlu diberi kepada anak-anak muda untuk mengelakkan mereka daripada terlibat dengan perlakuan zina, dan menjadi pelaku kepada jenayah seks. Sehubungan itu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengambil inisiatif menganjurkan Seminar Kesejahteraan Seksual atau Sexual Wellbeing Seminar (SWS23) baru-baru ini. Seminar yang bermanfaat ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan di mana seramai lebih 150 orang telah menyertainya. Diharapkan agar lebih banyak program sebegini dianjurkan oleh badan-badan lain dalam memacu kesejahteraan seksual dan diri masyarakat Malaysia.

Selain itu, kita harus sedar bahawa masalah sosial berkaitan seksualiti ini juga disebabkan oleh goyahnya pegangan agama dalam diri masyarakat kita. Nafsu yang dapat dikendalikan dengan baik melalui penghayatan nilai keagamaan dalam diri individu dapat membawa diri jauh daripada melakukan maksiat. Isu kecelaruan gender, masalah ketagihan seks serta LGBT merupakan satu perkara yang membuatkan manusia jauh dari agama. Oleh itu, menerusi pengamalan agama dan mendekatkan diri kepada Allah dapat menjadi perisai kuat untuk menghalang individu daripada terjebak ke dalam masalah-masalah sosial ini dan mendapat hidayah untuk berubah. Hal ini dapat dijelaskan dalam ayat Al-Quran:

“Bukanlah kewajipanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufik) siapa yang dikehendaki-Nya.” (Al Baqarah 272).

Konklusinya, isu berkaitan seksualiti ini perlu dipandang serius dan menjadi tanggungjawab semua individu untuk berganding bahu dalam membantu menanganinya. Masalah seksual yang berlaku dapat ditangani dengan baik sekiranya mendapat saluran dan penyampaian maklumat yang betul kepada masyarakat. ‘Bagai menarik rambut di dalam tepung’. Begitulah pepatah Melayu yang sangat sesuai digambarkan bagi menyelesaikan masalah berkaitan seksual yang amat sensitif dan menuntut kaedah atau metod penyelesaian secara berhikmah dan bijaksana dalam mendepaninya tanpa merugikan mana-mana pihak.

Penulis : Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).