Pada 19 Januari 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia MADANI sebagai kerangka dasar bagi memartabatkan semula negara sebagai negara makmur dan dihormati. Selaras dengan enam tonggak MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan diri dan ihsan, ia bakal memberi perubahan positif dalam mencapai Malaysia yang sejahtera, berdaya saing dan maju. Justeru, setiap individu perlu mempersiapkan diri untuk berubah secara holistik demi menjamin kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara pada masa hadapan.

Rentetan itu, pemerkasaan diri perlu dilakukan terlebih dahulu untuk memastikan setiap individu memiliki kualiti diri yang hebat. Pemerkasaan akhlak muslim juga menjadi intipati dalam melahirkan masyarakat ‘madani’. Akhlak yang baik menjadi cerminan diri individu dan ‘role model’ terhadap masyarakat umumnya. Pembentukan akhlak yang baik disemai dari kecil hinggalah lanjut usia. Ianya sinonim dengan Rasulullah SAW juga terkenal dengan akhlak Baginda yang terpuji dan mulia. Oleh itu, seharusnya Rasulullah SAW menjadi ikon untuk diteladani dalam mendidik diri membina akhlak yang murni. Hal ini ditekankan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda Baginda yang bermaksud:

 “Kebanyakan perkara yang memasukkan manusia ke dalam syurga ialah ketakwaan kepada Allah dan mempunyai akhlak yang baik.” Hadis Riwayat al-Tirmidzi.

Justeru, akhlak yang baik perlulah dipraktikkan dalam kehidupan seharian untuk menjadi modal insan yang berguna dan menyumbang ke arah memartabatkan Islam sebagai agama yang terpuji.

Di samping itu, pemerkasaan diri dapat dicapai dengan membudayakan ilmu dalam kehidupan seharian. Ummah berkualiti menganjurkan individu untuk menerapkan pembudayaan ilmu dalam kehidupan secara holistik.  Ilmu merupakan asas kepada pengetahuan manusia yang berupaya mengembangkan intelektual dan potensi diri seseorang. Ilmu yang ada perlu ditambah dari masa ke semasa untuk memastikan pengetahuan menjadi luas dan seiring mengikuti perkembangan dunia. Bak kata pepatah Melayu, ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’ yang menggambarkan kebolehan serta penguasaan ilmu rakyat Malaysia adalah setanding dengan negara-negara maju yang lain.

Ilmu berperanan menggalakkan pembentukan daya saing yang sihat dan menjadi batu loncatan untuk individu menjadi ummah berkualiti yang menyumbang kepada hasil positif dan bermanfaat kepada keluarga, agama dan negara. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Mujadalah, ayat 11 yang bermaksud “Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Selain itu, pengabdian diri kepada Allah dan bersifat zuhud juga perlu diamalkan. Kesemua elemen ini menerapkan individu untuk mencari jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Hal ini boleh diterapkan dalam diri dengan melakukan zikir, memperbanyakkan ibadah, bertadabbur Al-Quran, mendalami ilmu agama dan memantapkan amalan sunat. Ia seterusnya melahirkan ummah berkualiti dan mencapai aspirasi Malaysia madani.

Tambahan pula, Allah juga menyatakan bahawa manusia diciptakan sebagai khalifah. Hal ini bermaksud manusia menggalas tanggungjawab besar dalam memimpin dan mengurus segala hal di muka bumi Allah. Hal ini bermula dari tanggungjawab dalam keluarga, masyarakat dan negara dalam memastikan kesejahteraan bumi terjamin dan mempunyai sistem pengurusan yang baik dan sistematik. Selaras dengan firman Allah yang menyatakan bahawa:

Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Kemudian, malaikat menjawab dengan katanya: Adakah Engkau (Ya Tuhan) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Lalu, Allah menjawab persoalan itu dengan menyatakan: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 30).

Oleh itu, seharusnya manusia memikul amanah ini dengan baik dan mempersiapkan diri dengan segala ilmu dan ciri-ciri kepimpinan yang unggul dalam memacu kesejahteraan di muka bumi tercinta ini.

Pada masa yang sama, tatkala negara dipacu untuk maju dan kadang kala dipalit kerana salah laku dan keruntuhan nilai, peranan setiap individu selain kesedaran agama dan bangsa dalam kalangan masyarakat amat penting bertujuan untuk menghidupkan semula kekuatan nilai murni yang harus ditekankan dan dikembangkan secara holistik. Pembentukan sebuah masyarakat madani juga mampu mengangkat Malaysia menjadi sebuah negara maju dari segi pemikiran dan kerohanian yang berpaksikan kepada nilai etika yang cemerlang.

Petikan Perdana Menteri, “Sementara kita bergelut dalam bidang ekonomi, teknologi dan digital, kita pacu pertumbuhan kita, jangan kita tinggalkan nilai dan kemanusiaan”.

Kesimpulannya semua pihak perlu berganding bahu dalam memastikan konsep madani dapat diterapkan demi membentuk sebuah masyarakat yang lebih baik, menjunjung nilai moral, akhlak dan etika yang unggul. Tanggungjawab pemerkasaan diri dalam membina sebuah negara yang makmur berkait rapat dengan kesedaran diri setiap individu juga kumpulan tertentu yang dipilih dan diberikan tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat demi membentuk negara sejahtera sebagaimana dituntut Allah SWT.

Penulis: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Penulis: Dr. Norsimaa Binti Mustaffa, adalah Pensyarah Kanan, Program Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).