USIM sebagai universiti barakah telah melebarkan lagi Program Khidmat Masyarakat dan program Knowledge Transfer (Pemindahan Ilmu) dengan membawakan barisan pensyarah dari pelbagai negara ke SMA Dato’ Klana Petra Maamor Ampangan Seremban (SMADKLANA). Melalui Program Pemantapan Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris ini, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) USIM dengan Kerjasama pihak PIBG SMADKLANA telah berjaya membawakan barisan pensyarah yang fasih berbahasa Arab dan Inggeris dari negara Jordan, Nigeria, Sri Lanka dan Syria.

Pengarah Program Profesor Madya Dr. Mohd Rosmizi Abd Rahman mengatakan bahawa pihak FKP USIM telah mengambil SMADKALA sebagai sekolah angkat fakulti FKP dan program ini merupakan salah satu program yang dirancang bagi membantu memantapkan aspek akademik para pelajar. Melalui program sebegini, para pelajar dan juga guru akan mendapat peluang untuk berinteraksi secara terus dengan para pensyarah antarabangsa ynag fasih berbahasa Arab dan Inggeris. Program sebegini akan menaikkan semangat para pelajar dan menghilangkan rasa takut dan malu untuk bercakap dalam Bahasa Arab dan Inggeris. Pelbagai program lain lagi akan diaturkan untuk segenap lapisan pelajar SMADKLANA.

Sementara itu, Haji Zainal Ariffin Bin Mashurom, Pengetua SMADKLANA merakamkan berbanyak terima kasih kepada pihak FKP USIM atas penganjuran program ini dan beliau menyatakan bahawa kedua-dua Bahasa Arab dan Inggeris sangat penting pada masa kini. Bahasa Arab merupakan bahasa al-Quran dan bahasa yang wajib digunakan dalam sembahyang. Sebagai pelajar sekolah agama, menguasai bahasa Arab adalah sangat penting kerana ia merupakan pintu kepada penguasaan pelbagai mata pelajaran agama terutamanya yang diajarkan dalam bahasa Arab.

Barisan pensyarah dan staf pentadbiran FKP USIM turut berasa gembira kerana diberi peluang untuk terus memberikan sumbangan dan bakti kepada masyarakat setempat. Selain dari program knowledge transfer dan khidmat masyarakat, program sebegini juga memberi peluang kepada aktiviti intercultural exchange dimana para peserta dapat melihat adat dan pendekatan berlainan dari pelbagai negara. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan dan mendapat sokongan padu dari pelbagai pihak.

Penulis Profesor Madya Dr. Mohd Rosmizi bin Abd Rahman
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)