NILAI, 11 Mei 2026 – Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan menerusi penganjuran International Leadership Mobility Program 2026 yang berlangsung selama tujuh hari dengan penyertaan pelajar dan pensyarah dari beberapa universiti di Indonesia bermula dari 3 Mei hingga 10 Mei 2026.
Program ini menghimpunkan peserta kira-kira 30 peserta dari Universitas Muhammadiyah Surakarta, Universitas Muhammadiyah Jakarta, Universitas Muhammadiyah Yogyakarta, Universitas Muhammadiyah Makassar, Universitas Tarumanagara serta pelajar pascasiswazah USIM dalam usaha memperluaskan jaringan akademik, kepimpinan dan pertukaran budaya antara kedua-dua negara.
Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti akademik dan pembangunan kendiri termasuklah sesi motivasi dan kepimpinan, sit-in class, pertandingan dan pembentangan seminar. Selain itu, para peserta juga berpeluang mengikuti lawatan budaya dan pendidikan di sekitar Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dalam usaha memperkenalkan Malaysia.
Menurut Dekan FKP, Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, penganjuran program ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk menimba ilmu dan pengalaman antarabangsa, malah menjadi platform penting dalam membina hubungan strategik serta jaringan profesional antara institusi pendidikan tinggi serantau.
“Program mobiliti seperti ini memainkan peranan penting dalam melahirkan mahasiswa yang lebih terbuka, berdaya saing dan mempunyai pemahaman global selaras dengan keperluan dunia pendidikan masa kini,” katanya lagi.
Selain itu, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKP, Dr Kartini Kamaruzzaman menyifatkan melalui program ini, peserta bukan sahaja belajar di dalam bilik kuliah, tetapi turut didedahkan dengan pengalaman budaya, komunikasi antarabangsa dan pembinaan jaringan persahabatan merentas negara. Walaupun program ini berlangsung dalam tempoh yang singkat, impaknya diharapkan mampu memberi kenangan dan pengalaman yang bermakna kepada semua peserta,” katanya.
Selain pengisian akademik, para peserta turut berpeluang menikmati pengalaman budaya Malaysia menerusi lawatan ke beberapa lokasi pelancongan dan pusat kebudayaan yang memperkenalkan keunikan masyarakat majmuk negara ini.
Para peserta turut menyatakan penghargaan terhadap layanan mesra yang diberikan sepanjang program berlangsung serta berharap hubungan kerjasama antara universiti dapat diteruskan pada masa akan datang.
Penganjuran International Leadership Mobility Program 2026 dilihat sebagai salah satu usaha berterusan FKP dalam memperkukuh jaringan antarabangsa, memperkasakan pembangunan pelajar global dan meningkatkan keterlihatan USIM di peringkat antarabangsa serta secara tidak langsung mempromosikan USIM sebagai destinasi utama untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi.
![]() |
![]() |
|---|---|
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |





