MEMBUKA AIB DI MEDIA SOSIAL: MASIHKAH PUNYA RASA MALU?

Dr Rezki Perdani Sawai

 

Media sosial adalah antara platform komunikasi yang popular dan bukanlah satu perkara yang asing pada masa kini. Hampir setiap hari manusia menghabiskan masa melayari media sosial untuk membuat perkongsian peribadi, perniagaan mahupun urusan kerja. Umumnya, pendedahan diri dalam media sosial adalah apa jua mesej, atau maklumat mengenai diri seseorang yang dikongsikan secara dalam talian atau laman web

Meskipun, pendedahan diri penting dalam pembentukan dan perkembangan hubungan interpersonal, pembentukan kepercayaan serta bertindak sebagai ganjaran sosial yang memudahkan pembinaan hubungan, namun bagaimanakah jika perkongsian tersebut membuka aib sendiri atau orang lain?. Tanpa disedari, media sosial telah menjadi platform untuk meluahkan perasaan sama ada perasan sedih, gembira, keterujaan hinggakan medium ini kadangkala menjadi tempat membuka aib diri sendiri atau orang lain. Jika dahulu, individu meluahkan perasaan kepada insan terdekat seperti ahli keluarga sendiri namun kini senario yang berlaku adalah berbeza. Perkongsian di media sosial juga tidak semestinya dilihat oleh mereka yang ada pertalian sahaja, malah terdapat dalam kalangan mereka kenalan jauh dan orang asing yang tidak dikenali. Orang asing ini kemudiannya dapat mengetahui segala apa sahaja yang dikongsikan di layar media tersebut sekali gus boleh membawa kepada natijah buruk seperti penyebaran maklumat berunsur fitnah dan eksploitasi.

Pada dasarnya, kata ‘malu’ dalam bahasa Arab diterjemahkan sebagai ‘al-haya’ iaitu merujuk kepada tingkah laku wajar dan sesuai. Berdasarkan dari tinjauan lepas, perkataan Haya juga merujuk kepada tingkah laku yang sopan sehinggalah membawa kepada memelihara martabat kemanusiaan dan kehormatan  bangsa. Malah, al-Chazali mentakrifkan Haya kepada penolakan melakukan atau mengatakan apa yang buruk dan tidak bermoral. Oleh itu, dapatlah difahami bahawa sekiranya seseorang itu memiliki rasa malu, maka mereka akan menjauhkan ucapan yang tidak baik seperti mengeluarkan kata-kata kesat, ejekan, menghina dan mencaci orang lain. Walau bagaimanapun, apabila rasa malu hilang, seseorang akan melakukan perbuatan sesuka hatinya dan tidak peduli lagi akan perbuatan dan ucapannya.

Islam menekankan kepentingan menjaga lidah seseorang dari sebarang kejahatan. Imam Al-Ghazali juga telah menggariskan 20 jenis dosa yang boleh dibuat dengan lidah. Antaranya ialah ghibah, fitnah, berbohong, memaki, sumpah palsu dan sebagainya. Justeru, penggunaan lidah perlu dijaga sewajarnya. Mengumpat adalah perbuatan yang tidak baik, bahkan terdapat satu bab dalam Al-Quran dinamakan surah al-Humazah yang bermaksud pemfitnah. Allah SWT mengancam dengan memberi peringatan kepada orang-orang yang membuat fitnah dalam ayat tersebut. Aib diri seseorang hanya dapat dipelihara apabila setiap manusia menjaga lidah, perlakuan dan perbuatan dari mengucapkan atau menulis komen yang berunsur fitnah, memaki dan sebagainya.

Hakikatnya, perkara aib diri merupakan satu rahsia yang perlu disimpan. Walaupun ada segelintir manusia yang berbangga dengan maksiat dan keburukan yang dilakukan sehingga memaparkan perbuatan tersebut di dalam media sosial, tetapi ia bukanlah sesuatu yang dibenarkan dalam agama. Ini kerana, Islam mengajar penganutnya supaya menutup aib sendiri sebagaimana sabda Rasulullah SAW di dalam hadis riwayat al-Bukhari yang bermaksud,

“Sesiapa yang melakukan dosa sedemikian (syirik, mencuri dan zina) dan dihukum keranannya, maka hukuman itu adalah kifarah baginya. Dan sesiapa yang melakukan dosa sedemikian lalu Allah menutupinya, maka terpulang kepada Allah sama ada untuk mengampunkannya atau mengazabnya”.

Sehubungan itu, setiap individu bukan sahaja ditegah untuk menyebarkan aib sendiri, malah aib orang lain. Perkongsian maklumat peribadi dan apa jua hantaran (posting) di media sosial juga hendaklah dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak leka dalam menyebarkan, memberi komentar dan apa sahaja tulisan yang membongkar aib. Oleh itu, perlunya untuk setiap orang mengetahui masa yang sesuai untuk membuat pendedahan diri dan bagaimanakah seharusnya memulakan pendedahan tersebut. Pendedahan diri boleh dimulakan dengan berkongsi perkara-perkara asas untuk membina hubungan, dan mengawal diri dari berkongsi cerita yang tidak berkepentingan atau terlalu peribadi kepada paparan umum. Pendedahan diri yang terbaik berfungsi apabila seseorang membuat saringan keperluan untuk setiap perkongsian, mengawal emosi dengan baik sebelum memuat naik sesuatu hantaran serta mengelakkan diri dari menggunakan platform media sosial untuk menghentam, membuat propaganda dan memburukkan individu lain. Di samping itu, dengan amalan sikap hormat-menghormati apabila bertindak balas terhadap perkongsian di media sosial dengan menjaga aib diri dan juga aib orang lain merupakan langkah terbaik dalam membuat pendedahan diri.

Kesimpulannya, menjaga aib adalah salah satu dari sifat orang yang memiliki rasa malu. Sekiranya individu mengawal diri dan penggunaan media sosial dengan baik, ia dapat memberi pulangan yang baik kepada diri sendiri. Ini kerana, teknologi dan era digital yang berkembang pesat perlu disaring dengan ilmu dan iman bagi mengoptimumkan penggunaannya ke arah kebaikan dan dakwah agar dapat memberi manfaat, bukanlah yang menjerumuskan diri ke lembah kehinaan seorang khalifah yang tinggi martabat nilai penciptaanya.

 

Rujukan

Abdul Aziz, A.R., Shafie, A.A. H., Ali, Z. & Dzainal, N.D.S. (2020). Pengamalan Nilai Agama dalam Mengatasi Kemurungan Semasa Pandemik COVID-19. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 5 (12), 31-44.

Al-Ghazali. (2003). Morality of a Muslim. Trans. Arabic. Rustamov Mosccow: Ansar.

Gilliland, R. (2000). The roles of shame and guilt in hypersexual behavior. Theses and Dissertations. Paper 2568, Brigham Young University.

Nordin, Nur Hidayu; Mohammad, Nur Syuhada; Mohamad, Ahmad Marzuki (2019). Media Sosial dan Instagram Menurut Islam in Jasmi, Kamarul Azmi (Ed.), Prosiding Seminar Sains Teknologi dan Manusia 2019 (SSTM’19) pada 15 Disember 2019, Fakulti Kejuteraan Kimia dan Tenaga, UTM.

Rezki Perdani Sawai. (2019). Development and Validation of Muslim Moral Emotion Inventory Among Malay Youth in Klang Valley. Universiti Putra Malaysia: Unpublished Thesis Disertation.

 

 

Penulis: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

 

Dr Rezki Perdani Sawai adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).