Graduan sulung Komunikasi Media Baharu:
Mendepani budaya media digital ke arah masyarakat yang tinggi nilai pekertinya

Dr Mohd Faizal Kasmani

 

Tidak dapat kita nafikan bahawa media baharu telah mentransformasikan kehidupan kita. Jika di era media konvensional seperti radio dan televisyen, seluruh keluarga akan duduk dan berkumpul untuk menonton rancangan TV yang digemari, pada hari ini perkara tersebut jarang sekali berlaku. Setiap dari kita mempunyai masa dan gajet tersendiri untuk menikmati rancangan atau program kegemaran masing-masing.

Jika berdekad yang lalu hal politik selalunya dibincangkan di kedai kopi atau di belakang tabir rumah masing-masing, hari ini setiap dari kita mempunyai pandangan tersendiri berkaitan isu politik semasa. Setiap dari kita mempunyai “suara” masing-masing di media sosial.

Ini adalah manifestasi kepada apa yang dinyatakan oleh Marshall McLuhan sebagai “medium adalah mesej”. Menurut McLuhan medium sesuatu teknologi itu adalah lebih berpengaruh dalam mentransformasi sesuatu masyarakat berbanding mesej yang disampaikan.

Hari ini kita bukan lagi menjadi sekadar “khalayak” atau “pengguna”, tetapi juga sebagai  “pengeluar” atau apa didefinisikan oleh Alvin Toffler sebagai “prosumer”. Melalui Youtube, Twitter dan Facebook pengguna hari ini bebas berkongsi kepakaran, pandangan dan pengetahuan masing-masing. Dari satu sudut, ia memberi manfaat yang tidak ternilai kepada penghasilan maklumat kerana di sinilah komuniti maya dapat mensinergi pengetahuan di alam digital. Melalui perkongsian ini, masyarakat lebih terhubung dan lebih terbuka, tidak mengira sempadan bangsa, agama dan negara.

Dari satu sudut yang lain, media baharu telah membuka kepada ledakan dan perkongsian maklumat yang tidak terkawal. Melalui rangkaian media sosial, kesemua dari kita telah berkongsi maklumat peribadi yang kemudiannya menjadi “big data” dan digunakan oleh pihak-pihak berkepentingan untuk tujuan tertentu tanpa kita sedari. Di zaman ini, “big data” dilihat lebih bernilai dari wang ringgit.

Bukan itu sahaja cara kita berkomunikasi juga telah berubah. Komunikasi bersemuka tidak lagi menjadi dominan. Gadget seperti telefon bimbit dan komputer menjadi medium perantara antara satu individu kepada individu yang lain. Hasilnya, melalui papan kekunci dan skrin gadjet masing-masing masyarakat hari ini lebih bebas menyampaikan maklumat walaupun ada kalanya secara tidak tepat atau tidak berhemah. Maka bertaburanlah “fake news”, gossip dan kata-kata yang tidak bermanfaat yang selalunya tidak disampaikan jika komunikasi dilakukan secara bersemuka.

Justeru program Komunikasi Media Baharu melalui graduan sulungnya pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia ke 18 ini mempunyai tugas yang besar dalam mendepani budaya media digital masakini.

Graduan komunikasi media baharu bukan sahaja dilatih untuk mempunyai kemahiran dalam bidang media selaras dengan keperluan industri digital, tetapi juga didedahkan dengan kemahiran untuk menganalisa kesan dan impak penggunaan teknologi media baharu sama ada dari aspek psikologi, politik, sosio-ekonomi dan budaya.

Selama empat tahun graduan media baharu diajar tentang kemahiran menghasilkan kandungan media kreatif yang bermanfaat selaras dengan nilai-nilai Islam. Melalui tenaga akademik yang berpengalaman di industri dan pakar dalam bidang seperti politik, komunikasi visual, kewartawanan dan pengiklanan dalam talian, graduan media baharu didedahkan dengan perspektif berbeza dan unik terhadap praktis amalan penggunaan media digital dan kesannya kepada masyarakat glokal.

Tahniah diucapkan kepada graduan sulung program Komunikasi Media Baharu dengan Kepujian. Diharap melalui penimbaan ilmu berpaksikan integrasi ilmu Naqli dan Aqli di USIM mampu menjadi pemangkin untuk para graduan menyumbang kepada penghasilan kandungan media kreatif dan penggunaan media secara beretika, sekaligus meningkatkan kesejahteraan dan mewujudkan masyarakat yang kekal berhikmah dan tinggi nilai pekertinya.

 

Profesor Madya Dr Mohd Faizal kasmani adalah pensyarah di program Komunikasi Media baharu, Universiti Sains Islam Malaysia