Sejak November 2019, sudah lebih 2 tahun dunia dilanda ancaman pandemik Covid-19. Pelbagai ikhtiar yang telah dibuat bagi menamatkan pandemik ini demi kemaslahatan masyarakat umum di seluruh dunia seperti perintah kawalan pergerakan, penjarakan fizikal, pemakaian topeng muka, sanitasi kawasan umum dan pencucian anggota badan. Dalam konteks perubatan pula, Nabi SAW pernah bersabda, yang menggesa umatnya untuk berikhtiar mencegah segala penyakit:

قالَتِ الأَعْرَابُ: “يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلاَ نَتَدَاوَى.” قَالَ: ‏”‏نَعَمْ يَا عِبَادَ اللَّهِ تَدَاوَوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلاَّ وَضَعَ لَهُ شِفَاءً أَوْ قَالَ دَوَاءً إِلاَّ دَاءً وَاحِدًا.” قَالُوا: “يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُوَ؟” قَالَ: ‏”‏الْهَرَمُ.”

Maksudnya: bertanya seorang Badwi kepada Rasulullah SAW: “Apakah kita tidak berubat?” Jawab Rasulullah SAW: “Ya berubatlah, wahai semua hamba Allah. Sesungguhnya Allah tidak menjadikan suatu penyakit, melainkan Allah menjadikan ubatnya juga, kecuali satu penyakit sahaja.” Bertanya mereka: “Wahai Rasulullah SAW, apakah penyakit itu?” Jawab Rasulullah SAW: “penyakit tua.” (Sunan al-Tirmidhi, hadis Hasan Sahih).

Penyakit Covid-19 adalah berpunca daripada jangkitan coronavirus atau SARS-CoV-2. Jangkitan ini boleh mengakibatkan seseorang itu menghadapi masalah pernafasan, selesema, batuk dan demam. Dalam kes-kes yang teruk, jangkitan ini boleh menyebabkan radang paru-paru (pneumonia) yang dahsyat dan juga berupaya mengakibatkan kematian. Sehingga tarikh 31 Januari 2022, seramai lebih 5.6 juta nyawa yang telah diragut oleh virus ini (World Health Organization, 2022). Di Malaysia pula sahaja, seramai 31,978 orang telah menjadi korban (Kementerian Kesihatan Malaysia 2022).

Namun kesan buruk pandemik ini tidaklah terhad kepada komplikasi kesihatan dan kematian sahaja. Kesan-kesan lain pandemik ini adalah mengakibatkan ketidakstabilan dalam masyarakat daripada aspek psikologi, pendidikan, kerohanian, ekonomi, politik dan kewangan. Kesan-kesan buruk ini jugalah yang perlu diberikan perhatian oleh semua ahli masyarakat bagi memastikan sebuah kehidupan yang seimbang dan harmoni dapat dinikmati oleh semua orang.

Sebagai salah satu ikhtiar perubatan bagi mengekang bahaya pandemik Covid-19 ini, program vaksinasi Covid-19 telah dilaksanakan secara meluas di seluruh dunia umumnya dan di Malaysia secara khusus. Di Malaysia, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah dilaksanakan bermula Februari 2021 bagi menghentikan penularan jangkitan virus Covid-19. Vaksin adalah salah satu daripada pelbagai ikhtiar perubatan dalam menghentikan atau mengurangkan bahaya daripada pandemik Covid-19 ini (Kementerian Kesihatan Malaysia 2022).

Vaksin adalah suatu produk yang dihasilkan dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus yang telah dimatikan atau dilemahkan, yang kemudiannya dimasukkan ke dalam badan manusia. Vaksin tidak menyebabkan jangkitan kepada penerimanya kerana vaksin mengandungi virus yang telah dimatikan atau dilemahkan. Vaksin yang dimasukkan ke dalam tubuh manusia ini lazimnya akan merangsang sistem daya lawan jangkitan atau sistem imuniti badan bagi membentuk kekebalan terhadap jangkitan daripada virus tersebut (Kementerian Kesihatan Malaysia 2022). Dalam sejarah perubatan dunia, kaedah vaksinasi telah digunakan untuk mengurangkan dan menghapuskan risiko pelbagai penyakit seperti: Hepatitis B, Polio, Rubela, Influenza bermusim, dan banyak lagi (World Health Organization 2022; Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia 2015).

Terdapat sebilangan kecil individu yang mendapat kesan sampingan selepas menerima imunisasi atau dipanggil Adverse Effects Following Immunisation (AEFI) seperti kesan bengkak pada tempat suntikan, lenguh-lenguh, pening, dan demam. Namun sehingga 22 Januari 2022, setelah sebanyak 61,723,654 dos vaksin diberikan, bilangan AEFI yang dilaporkan di Malaysia adalah sangat kecil iaitu 0.4 per 1,000 dos vaksinasi. Oleh itu, vaksinasi adalah kaedah yang mudah, selamat dan berkesan bagi melindungi majoriti individu daripada penyakit berjangkit (Bahagian Regulatori Farmasi Negara 2022; Kementerian Kesihatan Malaysia 2022)

Dalam perspektif Islam, vaksinasi ini adalah salah satu ikhtiar perubatan dalam menghadapi pandemik Covid-19. Ramai ulama dan banyak pertubuhan Islam yang telah mengeluarkan pandangan rasmi berkenaan keharusan penggunaan kaedah vaksinasi ini. Antara ulama muktabar dan pertubuhan Islam antarabangsa ini adalah seperti berikut (Al-Bayan Siri-7 2020):

  • Taha Ahmad Al-Zaidi (lahir 1969), Anggota Majlis Tertinggi Majma’ Fiqh Iraq.
  • Profesor Dr. Muhammad al-Zuhaili (lahir 1941), Anggota Majma’ Fuqaha’ al-Syari’ah Amerika.
  • Universiti al-Azhar al-Syarif, Mesir.
  • Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
  • Majma’ Fuqaha’ al-Shari’ah, Amerika.
  • Majlis Ulama Indonesia.
  • Muzakarah Pandangan Hukum Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Malaysia.


Menurut Syeikh al-Azhar, Profesor Dr. Ahmad Tayyib (lahir 1946): “Sekiranya penggunaan (vaksin) tersebut boleh menghilangkan wabak corona atau menjadi ubatan dengan apa yang telah dilakukan oleh pakar-pakar dalam kajian mereka dan terdapatnya darurat atau keperluan yang amat, ketika itu hukumnya harus.” Dalam pandangan Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dipengerusikan oleh Syeikh Profesor Abdullah ibn Bayyah (lahir 1935) pula berpandangan: “Kami memberi fatwa kepada umat Islam akan keharusan penggunaan vaksin Covid-19 dan kami menyeru mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan pelaksanaan suntikan vaksin. Dan menghormati segala langkah untuk memelihara dan penjagaan sebagaimana kami menyeru mereka agar sentiasa kembali kepada Allah dengan berdoa dan membanyakkan istighfar.” Dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020, ketetapan yang telah dibuat adalah: “Hukum Penggunaan Vaksin COVID-19 adalah harus dan ianya wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia” (Al-Bayan Siri-7 2020).

Kesimpulannya, vaksinasi Covid-19 ini adalah salah satu ikhtiar perubatan bagi mengekang bahaya pandemik virus Covid-19. Ramai ulama dan banyak pertubuhan Islam yang telah mengeluarkan pandangan rasmi berkenaan keharusan penggunaan kaedah vaksinasi ini. Malah, keberkesanan vaksinasi ini juga dapat dilihat berdasarkan penurunan jumlah pesakit di wad biasa dan wad kecemasan, serta bilangan kematian yang telah menurun mendadak seperti dalam laporan rasmi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dr. Wan Mohd Fazrul Azdi bin Wan Razali
Pensyarah Kanan,
Program Pengajian Akidah dan Agama,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia