Memperkasakan mahasiswa di peringkat Pengajian Tinggi merupakan salah satu matlamat utama pendidikan pada abad ke-21. Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia menyahut seruan tersebut dengan melaksanakan Postgraduate Research Conference 2023 dengan tema “Sustainable Education and Human Well-Being” bagi meraikan kelestarian pendidikan dan kesejahteraan manusia. Pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran telah diperkenalkan di seluruh institusi pendidikan tinggi di Malaysia. Kaedah pembentangan perlu dilihat sebagai satu elemen pembelajaran yang penting di mana elemen ini dapat memupuk sikap keyakinan diri dan sikap keupayan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan selain mengasah pemikiran kritis para pelajar.

Postgraduate Research Conference 2023 (PRC23) adalah program yang diasaskan oleh Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), yang bertindak sebagai pemangkin kepada pelajar pascasiswazah untuk membentangkan penyelidikan mereka. Persidangan tersebut bertindak sebagai wadah untuk berkongsi, bertukar atau mendapatkan ilmu pengetahuan berkaitan penyelidikan yang dibentangkan.

PRC2023 telah diadakan di Dewan Kuliah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan pada 18 Oktober 2023 dan dirasmikan oleh Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Prof. Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin. PRC23 turut disajikan dengan penyampaian perkongsian mengikut sub-bidang kepakaran oleh panel-panel yang dijemput seperti Prof. Datin Dr. Sapora Sipon dengan tajuk ‘Etika dalam Penyelidikan Manusia: Garis Panduan Mandatori untuk Piawaian Etika’, Prof. Madya Dr. Md Yousuf Ali dengan tajuk ‘Masa Depan Pengajian Agama: Metodologi Integratif Baharu’, Prof. Madya Dr. Mohd Rosmizi Abd Rahman dengan tajuk ‘Memimpin Penyelidikan ke Arah Kecemerlangan, Integriti dan Kerjasama yang Berkesan’, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Kasmani dengan tajuk ‘Daripada Idea kepada Kajian: Amalan Baik untuk Penulisan Saintifik’, serta Prof. Madya Dr. Fariza Puteh-Behak dengan tajuk ‘Kajian Kualitatif dan Kuantitatif: Meneroka Kaedah dan Strategi Penyelidikan Pendidikan’. Acara kemuncak PRC23 yang dinanti-dinantikan adalah ucaptama yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Othman Talib dari UCSI University berkaitan Strategi untuk Meningkatkan Kualiti Penyelidikan.

Buat julung kalinya, PRC23 telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan. Seramai 115 pembentang telah yang menyertai PRC23. Ia melibatkan pembentang dari Universiti Sains Islam Malaysia dan pembentang dari universiti-universiti lain seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Universiti Putra Malaysia, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), University of Bristol, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM).

PRC23 membawa lima sub-tema utama merangkumi Sains Sosial dan Pendidikan, Pembangunan Manusia dan Psikologi-Kaunseling, Komunikasi dan Media, Pengajian Agama, Sejarah dan Tamadun, serta Kepimpinan dan Pengurusan. Apa yang menariknya PRC23 membuka peluang kepada para pembentang untuk berpeluang memenangi Anugerah Pembentang Terbaik selain hasil kajian diterbitkan dalam penerbitan prosiding dan penerbitan dalam jurnal berindeks MyCite bagi kertas kerja yang terpilih.

Kejayaan dalam melaksanakan PRC23 adalah mustahil tanpa kerjasama semua jawatankuasa yang terlibat termasuklah sokongan individu secara langsung atau tidak langsung. Dorongan yang diberikan oleh Pengarah Program PRC23, Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz, dalam memastikan kelancaran program tersebut berjalan lancar merupakan tunjang agar setiap jawatankuasa memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Uniknya penubuhan jawatankuasa PRC23 adalah hasil gabungan pensyarah akademik dan pelajar-pelajar di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan. Sungguhpun tugas melaksanakan program ini bukanlah mudah, namun jika dilakukan secara bersama-sama, pekerjaan yang berat akan menjadi ringan. Seperti kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Sekiranya usaha dan kerjasama yang jitu dapat diteruskan, PRC23 dijangka berpotensi dilaksanakan sebagai persidangan tahunan yang membuka ruang kepada pelajar pacasiswazah untuk terus mengembangkan idea dan penyelidikan menerusi wadah ini.

Dr. Kartini binti Kamaruzzaman
Pensyarah Komunikasi Media Baharu
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia
Dr. Norsimaa binti Mustaffa
Pensyarah Komunikasi Media Baharu
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia