Akhbar pertama yang dicetak di Malaysia, ialah akhbar berbahasa Inggeris yang dikenali sebagai The Prince of Wales Island Gazette pada tahun1806 di Pulau Pinang.Dunia akhbar berbahasa Melayu di Tanah Melayu bermula pada 29 Mei 1939. Ia adalah salah satu sumber persejarahan Tanah Melayu seterusnya Malaysia yang tidak boleh dinafikan kepentingannya (Rahman, 2015). Fenomena ini dapat diperhatikan kepada kewujudan beberapa akhbar berbahasa Melayu yang muncul pada pertengahan pertama abad ke-20. Di antara akhbar Melayu yang paling awal kewujudannya ialah Al-Imam dari tahun 1906 hingga tahun 1908 dan Neraca pada dekad kedua abad ke-20.Berdasarkan rekod Arkib Negara pula, surat khabar Jawi Peranakan, yang mula diterbitkan 138 tahun dahulu pada tahun 1876 adalah akhbar Melayu pertama. Akhbar tulisan jawi yang dicetak di Singapura ini telah diterbitkan pada hari Isnin setiap minggu. (Arkib Negara, https://bit.ly/2qIxhao).
Utusan Melayu pula yang kemudian dikenali sebagai Utusan Malaysia adalah akhbar yang paling dekat dengan rakyat Malaysia. Sejak diasaskan 80 tahun lalu, ia melalui banyak ranjau dan liku sebagai sama ada sebagai akhbar yang mendokong dan tidak aspirasi kerajaan yang memerintah. Akhbar Melayu ketika itu bukan dimiliki orang Melayu, tetapi oleh saudagar Arab di Singapura. Akhbar Utusan Melayu itu pun diterbit hasil keringat orang Melayu yang mengumpulkan dana berupa intan permata, emas suasa yang mereka pakai (Zaini, 2019). Utusan Malaysia pada awal penerbitannya, adalah saluran utama penduduk Semenanjung Tanah Melayu untuk menyuarakan pendapat mereka terhadap penjajah British dan ditulis menggunakan tulisan Jawi. Laporan ABC menyebut pada tahun 2004 jualan harian akhbar Utusan Malaysia adalah sebanyak 256,247 naskhah tetapi pada 2009 jualan harian akhbar menjunam ke 169,548 naskhah dan jumlah itu kian menurun sehingga Disember 2018 sebanyak 97,393 naskhah (ABC, 2019).
Bukan sahaja Utusan Malaysia, malah akhbar bahasa Melayu lain seperti Harian Metro, Berita Harian dan Kosmo!. Laporan ABC turut menunjukkan jualan Harian Metro merudum daripada 313,690 naskhah (Januari-Jun 2014) kepada hanya 74,314 naskhah (Januari-Jun 2019).
Penurunan dalam penggunaan telefon pintar mungkin disebabkan oleh pengguna sudah mula jenuh atau perubahan gaya hidup yang lebih mengurangkan penggunaan telefon pintar mereka. Namun, pada pandangan penulis, walaupun penggunaan telefon pintar telah menurun, ia masih kekal sebagai sumber utama akses kepada berita bagi majoriti rakyat di Malaysia.
Hakikatnya kemerosotan mendadak edaran yang berlaku ke atas akhbar bahasa Melayu berikutan gelombang kejatuhan media cetak di seluruh dunia. Menurut Liana (2018), akhbar versi cetak mengalami kemerosotan sirkulasi di seluruh dunia (Lowrey & Shan, 2016; McChesney, 2016; Pew Research Centre, 2017). Dalam masa yang sama, kita juga maklum akan kepesatan kewartawanan digital yang bagai menyergah institusi berita yang gah sebelum ini dilihat sebagai sumber maklumat masyarakat (Picard, 2003). Hari ini, kita jelas dapat melihat pola kepesatan teknologi maklumat yang sangat mempengaruhi kewartawanan serata dunia, dan tidak terkecuali Malaysia.
Pengkaji sudah ‘menghidu’ senario kemerosotan ini malah pemain industri juga, bagaimanapun ada dalam kalangan mereka tidak menjangkakan ia akan berlaku dengan sangat pantas selain industri media tradisional belum bersedia sepenuhnya untuk berhadapan dengan ledakan media baharu hari ini, namun kepantasan teknologi Internet yang di luar jangkaan ketika ini menyebabkan pemain-pemain industri terpaksa bekerja bertungkus lumus supaya akhbar mereka terus relevan. Akhbar bahasa Melayu tertua di negara ini Utusan Malaysia misalnya, sudah menamatkan operasi selepas 80 tahun dalam bisnes berkenaan. Penerbitan kembarnya Kosmo! turut mengalami nasib yang sama (BH, 2019).
Di Amerika Syarikat pula, perbincangan dilakukan lebih dalam bentuk penulisan popular (juga di UK) dan penulisan akademik ditunjangi sarjana terkemuka seperti Profesor Robert McChesney. Rata-rata, Barat melihat masa hadapan kewartawanan tertumpu kepada perkembangan kewartawanan digital di samping beberapa isu penting yang perlu diberi perhatian yang dikategorikan sebagai risiko dan ancaman, peluang dan kewartawanan digital (Wahl-Jorgesen et al., 2016).
Kecenderungan pembaca lebih gemar kepada media dalam talian mengakibatkan operasi sidang pengarang industri media cetak terpaksa beralih terus dengan nisbah operasi 60 hingga 70 peratus kepada dalam talian berbanding 30 hingga 40 peratus untuk media cetak berdasarkan pengalaman penulis sendiri sebagai wartawan di media cetak arus perdana selama 21 tahun. Seperti yang dinyatakan oleh Suriani (2018) bahawa rata-rata semua editor selesa dengan perkembangan akhbar talian mereka. Tiada seorang pun yang negatif dengan perkembangan ini, malah kebanyakannya melihat bentuk itu adalah masa hadapan akhbar di Malaysia. Namun, para editor perlu beringat tentang ketidakpastian model perniagaan akhbar dalam talian yang rata-rata merunsingkan Barat.
Terdapat empat faktor utama yang dapat dirumuskan melalui temu bual bersama sidang editorial berdasarkan objektif kajian yang menjadi punca utama empat akhbar utama bahasa Melayu versi cetak terbabit yang kini mengalami edaran yang merudum sejak tahun 2014.
‘Gangguan’ digital
Kesemua informan dalam kalangan sidang editorial secara dasarnya amat bersetuju bahawa kemajuan Internet atau ‘gangguan’ digital merupakan punca utama kepada peralihan pembacaan berita dari akhbar cetak kepada dalam talian. Mereka sependapat bahawa Internet adalah alat utama yang menyebabkan pembaca akhbar kini semakin tidak lagi membaca akhbar versi cetak. Kepesatan rangkaian selular yang dipertingkatkan kepada 5G bakal ‘memburukkan’ nasib media cetak. Rangkaian 5G Malaysia telah mencapai hampir 50 peratus liputan kawasan berpenduduk (COPA) dengan sekitar 3,900 lagi pada akhir 2022, sekali gus melepasi sasarannya sebanyak 40 peratus (Malaysiagazzete, 2023).
Bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang juga wartawan veteran, Datuk Seri Azman Ujang berkata mengakui kewujudan akhbar digital mengakibatkan akhbar versi cetak semakin tidak laku.
Senario ini sudah dinyatakan oleh para pengkaji lebih 60 tahun lalu. Menurut H. Marshall McLuhan percaya bahawa menghubungkan maklumat elektronik akan mencipta desa global yang saling terhubung dengan meruntuhkan batasan ruang dan waktu komunikasi, membolehkan orang berinteraksi dan hidup dalam skala global (Barnes, 2001; McLuhan, 1962; McLuhan & Powers, 1989). Internet telah memberikan akses yang lebih mudah dan pantas kepada pembaca untuk mendapatkan berita terkini dan maklumat dari sumber yang pelbagai. Dunia tanpa sempadan ini menyebabkan banyak pembaca beralih ke media dalam talian dan meninggalkan pembacaan akhbar versi cetak.
Selain itu, media dalam talian juga menawarkan berbagai kelebihan dan kemudahan, seperti berita terkini yang sentiasa dikemaskini secara data masa nyata, penjimatan belanja kerana tidak perlu membeli akhbar fizikal selain kemudahan akses melalui peranti digital seperti telefon pintar.
Bagaimanapun, meskipun populariti media dalam talian semakin meningkat mendadak, ada juga pembaca yang masih memilih membaca akhbar versi cetak kerana mereka lebih gemar merasa, menyentuh serta memegang kertas dan menghindari terlalu lama terpapar pada layar elektronik. Namun, secara keseluruhan, trend menuju media dalam talian sebagai sumber berita utama terus meningkat seperti yang dinyatakan oleh Reuters melalui Digital News Report (2022) bahawa media cetak terus mengalami penurunan dari 45 peratus pada tahun 2017 kepada 17 peratus tahun lepas.Persaingan daripada akhbar dalam talian yang lebih pantas selain media sosial menjadi pilihan golongan muda. Media sosial dapat memberikan akses mudah dan pantas kepada mana-mana laporan berita oleh agensi di seluruh dunia serta memungkinkan pembaca untuk terlibat secara langsung dalam diskusi dan berkongsi pandangan mereka dengan mudah.
Peranti digital menjadi penyumbang utama pembaca mudah mengakses akhbar digital. Ia lebih mudah dan pantas. Generasi muda cenderung dengan teknologi dan lebih akrab dengan penggunaan Internet serta media sosial, sehingga mereka lebih memilih untuk mengakses berita melalui platform digital. Hasil kajian mendapati, media sosial digunakan secara meluas oleh remaja generasi Z dengan pelbagai tujuan sumber (Jamiah, 2016). Selain itu, media sosial juga menawarkan berbagai jenis kandungan yang menarik seperti video, gambar dan artikel ringan yang disesuaikan dengan keutamaan mereka.
Namun, perlu diingat bahawa tidak semua kandungan di media sosial dan Internet boleh dipercayai sebaliknya ia adalah berita palsu atau tidak tepat. Oleh kerana itu, penting bagi pembaca untuk melakukan penapisan fakta sebelum mempercayai atau berkongsi maklumat tersebut.
Laporan berpihak dan persepsi negatif
Menurut Institut Reuters (2022), surat khabar bahasa kebangsaan dan surat khabar vernakular telah lama dikenal pasti sering berpihak ‘kepada tuannya’ dan memiliki kecenderungan politik. Digitalisasi telah menyebabkan kedudukan mereka yang dominan dicabar dan dipertikaikan. Surat khabar yang dahulu nama besar dalam industri kini sudah berada paling bawah dalam senarai kepercayaan pembaca.
Menurut Mohd Izzuddin (2019) Harian Metro, Berita Harian, dan New Straits Times sebagai contoh, dikawal oleh Media Prima Berhad, sebuah syarikat pelaburan yang dimiliki oleh UMNO. Parti politik tersebut memiliki pegangan langsung sebanyak 7.96 peratus – melalui Gabungan Kesturi Sdn. Bhd. dan Altima Inc. dalam Media Prima, yang mengendalikan empat rangkaian televisyen percuma dan enam penerbitan cetak, serta beberapa stesen radio (Lee, 2018).
Utusan Malaysia yang bertahan lama yang ditubuhkan sebagai Utusan Melayu pada tahun 1939, adalah satu lagi kumpulan media cetak yang dikawal oleh UMNO; ia memegang 49.77 peratus saham (The Edge). Kosmo dimiliki oleh Kumpulan Utusan. Namun Utusan Malaysia kini dimiliki oleh Media Mulia Sdn Bhd.
Sementara itu, penerbit The Star, Star Media Group Bhd. dimiliki sebanyak 43.03 peratus oleh MCA, parti komponen utama dalam Barisan Nasional. Syarikat ini berfungsi sebagai sumber pendapatan utama bagi parti tersebut. Untuk akhbar Tamil, Nanban ditubuhkan oleh MIC, walaupun ia asalnya ditubuhkan oleh bekas Presiden KIMMA pada tahun 1986 (Sani, 2014).
Sidang editor dituduh sebagai berat sebelah dalam laporan berita khususnya berita-berita berkaitan politik mengakibatkan generasi baharu berpindah ke medium lain. Namun itulah peranan media tradisional itu seperti kata Jeniri (2007), akhbar bertindak sebagai wadah bagi parti politik, kerajaan dan para pemimpin untuk menyalurkan segala dasar, rancangan serta kegiatannya. Bagaimanapun generasi Z, sudah tidak menggemari pendekatan seperti itu dan menyebabkan mereka mencari wadah yang lebih santai, tidak memihak serta menepati cita rasa mereka. Kebolehpercayaan belia terhadap maklumat di media baharu adalah lebih tinggi berbanding dengan maklumat yang disampaikan melalui media tradisional. Ini menunjukkan kebergantungan yang ketara terhadap media sosial baharu (Nursyahida, 2021).
Kesan pemilikan dan kecenderungan kepada parti politik atau berpihak amat buruk sekali. Sejarah tercatat apabila akhbar paling berpengaruh di negara ini iaitu Utusan Malaysia ditutup pada 9 Oktober 2019 selepas 80 tahun diterbitkan. Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan menyifatkan nasib malang yang menimpa Utusan Melayu (M) Berhad itu adalah kesan daripada kegagalan menghalang akhbar bahasa Melayu tertua negara itu dari dikuasai UMNO, sekitar tahun 1962 (Malaysiakini, 2019).
Faktor laporan berat sebelah tidak menjadi punca akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro dan Kosmo! semakin tidak diminati tetapi senario berkenaan adalah trend pembacaan berita masa kini yang semakin berubah mengikut peredaran masa khususnya membabitkan golongan muda yang merupakan pemegang taruh utama dunia digital dan media sosial.
Trend perubahan ini berlaku berikutan gelombang kebebasan media yang semakin baik di Malaysia. Namun, dalam era teknologi maklumat abad ke-21, akhbar bukan sahaja berperanan menyebarkan maklumat yang telus, tetapi juga melindungi masyarakat daripada penularan maklumat palsu yang boleh menggugat kestabilan dan keharmonian negara. Pencapaian Malaysia dalam indeks kebebasan media Wartawan Tanpa Sempadan (Reporters Sans Frontières, RSF) amat dibanggakan, dengan negara ini mencatat peningkatan setinggi 22 anak tangga ke tangga 101 dalam kalangan 180 negara tersenarai dalam indeks terkini (Saifuddin, 2020). Kebebasan media datang bersekali dengan perkembangan pesat media digital yang sekali gus ‘membunuh’ industri media cetak.
Trend ini ditunjukkan dalam dapat kajian ini apabila hanya 20 peratus daripada pembaca yang ditemubual mempunyai persepsi negatif terhadap akhbar bahasa Melayu. Antara tanggapan negatif mereka seperti antaranya yang dinyatakan Responden 12 bahawa akhbar ini banyak menipu orang Melayu dengan propaganda dari barat dan timur. Responden 25 pula sependapat dengan Responden 4 yang menyatakan surat khabar yang ada terlalu condong kepada parti politik tertentu atau kerajaan. Sedangkan bagi mereka berita-berita harus disampaikan secara terbuka dan tanpa berat sebelah.
Sementara 80 peratus informan lagi positif terhadap akhbar bahasa Melayu dengan menyatakan akhbar itu adalah sumber pembacaan yang baik, mudah difahami, mempunyai banyak maklumat, dipercayai sejak dahulu kerana menyediakan laporan berita sejak puluhan tahun, masih relevan dan penerbitannya memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Masih terdapat kepentingan untuk akhbar cetak dalam masyarakat kita. Akhbar cetak juga masih diperlukan untuk mencapai pembaca yang tidak mempunyai akses kepada Internet dan untuk membekalkan pembaca dengan berita yang lebih mendalam dan komprehensif. Dapatan ini menunjukkan bahawa faktor persepsi negatif terhadap akhbar bahasa Melayu bukan penyebab utama kemerosotan sirkulasi. Masih ada masa hadapan untuk akhbar cetak bahasa Melayu.
Konvergen The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP)
Menurut The Balance Small Business (2021), kebanyakan surat khabar sekarang telah beralih kepada model perniagaan digital dengan menawarkan berita dan langganan dalam talian. Syarikat-syarikat terbabit juga mula menyediakan lebih banyak kandungan video dan kandungan interaktif bagi meningkatkan pengalaman pembaca mereka.
Fakta ini adalah bagi menentukan objektif khusus ketiga iaitu peranan sidang pengarang dalam menangani krisis kemerosotan penjualan akhbar. Pada tahun 2018, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) mengumumkan barisan kepimpinan baharu syarikat berkenaan sebagai langkah penerbit terkemuka di Malaysia itu untuk bertransformasi menjadi penerbit digital terkemuka (NST, 2018). Industri media mengalami perubahan signifikan dalam cara pembaca mengakses berita dan NSTP pada ketika itu bijak memperuntukkan platform digital untuk menyediakan ruang yang lebih mudah diakses, menarik, dan dinamik untuk pembaca. Dengan kehadiran digital yang kuat, NSTP dapat mencapai khalayak baru, memberikan berita lebih cepat dan lebih efektif serta memberikan pengalaman yang lebih dekat untuk pembaca.
Penggabungan seperti yang dilakukan NSTP itu atau integrasi teknologi yang sebelumnya berbeza (dalam talian dan cetak) menjadikan produk syarikat berkenaan satu platform yang lebih efektif dan efisien. Ini bermakna teknologi yang sebelumnya terpisah seperti telefon, televisyen dan komputer, semakin berkait rapat seterusnya menjadi satu entiti dalam bentuk produk atau perkhidmatan yang baharu. Menurut Azizah dan Siti Ezaleila (2014), kajian kesediaan wartawan Malaysia menghadapi era konvergen menunjukkan bahawa kebanyakan organisasi media negara memahami dan peka terhadap perkembangan pesat teknologi konvergen. Para wartawan bersedia dan positif tentang langkah pengubahsuaian, malahan organisasi media bersedia menambah pelaburan kelengkapan TMK yang akan membantu mereka menghadapi persaingan era digital.
Bukan sekadar itu, pengurusan NSTP turut menggabung silang sidang pengarang mereka yang berasingan mengikut akhbar masing-masing (produk media cetak NSTP ialah akhbar New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro) di bawah satu pengurusan. Cara bekerja yang digunakan ialah semua wartawan yang sebelum itu bertugas mengikut akhbar masing-masing berbahasa Inggeris dan Melayu serta berbeza gaya penulisan, digabungkan dan bertugas di bawah satu sistem silang platform iaitu NSTP Convergence. Kaedah editorial NSTP Convergence bekerja ialah, jika sebelum ini terdapat tiga wartawan yang bertugas untuk tiga akhbar berbeza, kini hanya seorang wartawan yang bertugas untuk ketiga-tiga akhbar berkenaan dan berita yang dihantar oleh wartawan terbabit akan diedit oleh tiga pengarang berita masing-masing dari NST, Berita Harian dan Harian Metro untuk disesuaikan dengan tiga akhbar sebelum pembaca membaca berita berkenaan. Selain itu, tugasan wartawan juga bertambah apabila mereka perlu menyediakan berita dalam talian versi ringkas dan padat yang merupakan tumpuan utama syarikat hasil penggabungan berkenaan diikuti versi media cetak.
Kumpulan NSTP yang dimiliki konglomerat media iaitu Media Prima Berhad (MPB) melalui Laporan Tahunan MPB 2021 mencatatkan, penurunan kos percetakan akhbar iaitu kepada sebanyak RM22.923 juta berbanding RM28.938 juta pada tahun 2020. Senario itu mengulangi pengurangan kos tahun-tahun sebelumnya seperti yang dinyatakan melalui Laporan Tahunan MPB 2019 yang menyatakan, kos pengeluaran kertas akhbar (newsprint) dan surat khabar telah menurun sebanyak 14 peratus kepada RM51.6 juta berbanding RM60 juta pada tahun 2018 disebabkan oleh pengurangan penggunaan kertas akhbar dan bahan cetakan yang sejajar dengan penurunan jumlah sirkulasi akhabar-akhbar terbitan kumpulan itu termasuk Berita Harian dan Harian Metro.
Justeru strategi Kumpulan NSTP dan MPB amnya dapat menangani masalah kemelesetan pendapatan media cetaknya ialah melalui pelaburan yang tinggi kepada sektor digital syarikat tetapi edaran versi cetaknya amat merosot.
Laporan Tahunan MPB 2021 menyatakan, NSTP sebuah kumpulan akhbar negara, telah berjaya membina jumlah peminat media sosial yang besar di pelbagai platform seperti Facebook, Instagram, YouTube, TikTok dan Twitter. Pada Disember 2021, jumlah gabungan jangkauan sosial mereka dilaporkan mencapai 93.4 juta orang.
Platform dengan jumlah pengikut terbesar ialah Facebook dengan Berita Harian Online mempunyai 5.9 juta pengikut, diikuti oleh Harian Metro dengan 5.7 juta pengikut dan saluran YouTube TV3 Malaysia dengan 5 juta pengikut. Kejayaan ini menunjukkan bahawa NSTP telah dapat memanfaatkan media sosial dengan baik untuk berinteraksi dengan khalayak mereka dan membina kehadiran dalam talian yang kukuh.
Seterusnya, pencapaian ini juga mencerminkan strategi media sosial yang berjaya yang dijalankan oleh NSTP. Dengan memanfaatkan pelbagai platform media sosial yang popular, NSTP dapat menjangkau khalayak yang lebih luas dan berinteraksi dengan mereka dalam cara yang lebih efektif. Ini membolehkan mereka untuk meningkatkan kesedaran dan pengiktirafan mereka, mempromosikan kandungan dan membina hubungan dengan khalayak.
Dalam era digital yang semakin maju ini, kehadiran dalam talian yang kukuh amat penting bagi organisasi media. Dengan mempunyai kehadiran yang kukuh dalam media sosial, NSTP dapat memastikan bahawa mereka tetap relevan dan dapat memenuhi permintaan audiens yang semakin berubah. Selain itu, kehadiran dalam talian yang kukuh juga dapat membantu organisasi media untuk meningkatkan kredibiliti mereka dan memperluaskan jangkauan.
Oleh itu, keberhasilan NSTP dalam membina jumlah pengikut media sosial yang besar tidak hanya mencerminkan populariti mereka di kalangan khalayak, tetapi juga kebolehan mereka untuk beradaptasi dengan perubahan dalam era digital ini dan mengambil peluang yang tersedia dalam media sosial.
Konvergen Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB)
Kumpulan media paling berpengaruh ini menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo! Ahad. Industri persuratkhabaran negara mencatatkan sejarah hitam apabila Kumpulan Utusan mengisytiharkan penutupan operasi pada 9 Oktober 2019 selepas 80 tahun berbakti kepada seluruh rakyat negara ini berikutan krisis kewangan yang melanda syarikat itu.
Kumpulan Utusan seperti juga NSTP turut melaksanakan konvergen operasi mereka dalam usaha mengintegrasikan semua sumbernya ke arah silang platform pada 2018. Namun pelaksanaannya tidak besar-besaran seperti dilakukan NSTP. Pada awal operasi akhbar dalam taliannya, Utusan Online dan Kosmo! Online hanyalah sekadar salinan daripada versi media cetaknya.
Krisis kewangan yang melanda Kumpulan Utusan akhirnya memaksa syarikat itu ‘digulungtikarkan’ pada 9 Oktober 2019 walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkannya. Malaysiakini (2020) melaporkan, Pengerusi Eksekutif Utusan, Dato’ Abd Aziz Sheikh Fadzir memberi alasan bahawa aliran tunai yang lemah, hutang meningkat dan jualan merudum punca syarikat tersebut ditutup.
Mantan Pengarang Utusan Malaysia dan Penolong Ketua Pengarang Utusan, Dato’ Zaini Hassan (2020) dalam tulisannya di portal berita BEBASnews mendedahkan ramalan pengarang-pengarang kanan Utusan sebelum syarikat itu ‘digulungtikarkan’ bahawa akhbar-akhbar terbitannya sukar untuk melonjak kembali disebabkan konflik dengan pengguna telefon pintar. Bagaimanapun akhbar berpengaruh berkenaan diterbitkan semula pada 20 Julai 2020. Media Mulia dikaitkan dengan hartawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang mana syarikatnya Aurora Mulia memiliki saham dalam Media Prima Bhd (Malaysiakini, 2020).
Situasi berkenaan mendedahkan impak yang berbeza kepada syarikat akhbar walaupun keputusan yang sama diambil iaitu melaksanakan sistem silang platform seperti yang dilakukan Kumpulan NSTP.
Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0)
IR4.0 merujuk kepada Revolusi Perindustrian Keempat, iaitu perubahan besar dalam teknologi dan penggunaannya dalam perindustrian. Perubahan ini melibatkan teknologi seperti kecerdasan buatan, penggunaan big data, Internet of Things (IoT) dan pemprosesan cloud, antara lainnya. Menurut Dr Sawal Hamid Md Ali dari Universiti Kebangsaan Malaysia (2020), IR4.0 adalah mengenai sistem dan sistem siber-fizikal yang boleh menghubungkan dunia digital dengan sistem biologi seperti manusia melalui Internet.
Kesan kepada media dalam talian adalah besar kerana teknologi dan inovasi dalam IR4.0 telah membolehkan media dalam talian untuk mengembangkan lebih banyak lagi aplikasi dan perkhidmatan baharu. Contohnya, penggunaan algoritma kecerdasan buatan membolehkan platform media sosial untuk memahami pola tingkah laku pengguna dan menghasilkan kandungan yang lebih relevan dan menarik. Teknologi pemprosesan cloud membolehkan media dalam talian untuk menyimpan data dan kandungan secara mudah dan berkesan. Selain itu, IoT membolehkan peranti untuk berkomunikasi dengan satu sama lain dan memberikan maklumat yang lebih tepat pada masa yang tepat.
Teknologi IR4.0 ini mempunyai potensi besar untuk terus menghubungkan berbilion-bilion individu ke dalam satu jaringan (web), meningkatkan kecekapan perniagaan dan organisasi secara drastik serta membantu menubuhkan semula persekitaran semula jadi melalui pengurusan aset yang lebih baik (Mashitoh, 2021).
Namun, IR4.0 juga mempunyai kesan negatif kepada media dalam talian seperti penyebaran berita palsu dan kebimbangan tentang kesan teknologi pada pekerjaan manusia. Terdapat juga ramai individu yang menggunakan kemudahan teknologi secara sewenang-wenangnya. Mereka menularkan ‘berita’ meskipun tidak mengetahui status kesahihan maklumat yang disebarkan sama ada benar atau palsu sehingga akhirnya didapati ia mengelirukan.
Rentetan daripada hal tersebut, pergaduhan dan huru-hara akan tercetus lantas menyebabkan kesejahteraan serta perpaduan masyarakat tergugat dan hancur (Abdullah, 2021). Situas ini bukan sahaja membawa ancaman terhadap keselamatan rakyat malah akan menjejaskan ketenteraman dan keselamatan negara (Yahaya, 2021).
Kesan negatif lain IR4.0 atau Internet kepada syarikat akhbar ialah pendapatan iklannya belum lagi mencapai pendapatan yang mampu mengimbangi kerugian berikutan kejatuhan sirkulasi akhbar versi cetak malah selepas bertahun-tahun berdepan cabaran pembaharuan digital, sektor media di Malaysia terus merudum ke tahap terendah dalam sejarah .
KESIMPULAN
Faktor kejatuhan edaran akhbar Melayu disumbangkan banyak faktor yang menyebabkan akhbar itu tidak lagi dilihat sebagai wadah yang mampu membangunkan minda rakyat. Kemajuan teknologi terutama Teknologi Media dan Komunikasi (TMK) antara penyumbang utama kepada kejatuhan akhbar Melayu, ini kerana teknologi kini memungkinkan ia mengambil alih kemampuan manusia untuk menyebar luas maklumat.Maka model pernigaan baru perlu dicari agar industri media sentiasa relevan dengan perkembangan semasa dan teknologi.
Penulis : Dr Hizral Tazzif Hisham Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) |
---|