WAJAH KEGANASAN ISRAEL

Dr Abdul Rashid Abdul Aziz

 

Kekejaman! Penganiayaan! Serangan Ganas! Penderitaan!

Inilah antara kata-kata yang menggambarkan situasi dialami oleh rakyat Palestin. Dunia telah dikejutkan dengan siri serangan ganas dan tidak berperikemanusiaan Israel terhadap Palestin baru-baru ini ketika umat Islam membuat persiapan menjelang perayaan Aidilfitri. Ratusan rakyat Palestin syahid dalam kekejaman yang dilakukan oleh Israel ini. Tambah menyedihkan adalah antara mereka yang syahid terdiri daripada golongan kanak-kanak dan wanita yang lemah dan tidak berdaya melawan perbuatan kejam rejim Zionis. Darah dan air mata menjadi saksi penderitaan, kesengsaraan dan kekejaman yang dialami oleh mereka. Setelah apa yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel ini, adalah sangat adil dan bertepatan sekiranya masyarakat dunia melabel mereka sebagai pengganas atau terrorist. Apakah itu pengganas? Adakah kita benar-benar faham makna disebaliknya? Jangan biarkan diri dikaburi dengan justifikasi Israel yang tanpa segan silu mendakwa tercetusnya peperangan ini adalah sebagai tindakan mempertahankan diri. Ia adalah pernyataan yang tidak berasas dan helah bagi menghalalkan peperangan kejam terhadap rakyat Palestin.

Dalam teori Realisme yang dipelopori oleh Heraclitus, Thucydides dan Niccolo Machiavelli menekankan bahawa sesuatu peperangan terjadi kerana sifat semulajadi manusia yang tamak dan rakus. Hal ini menjadi asas kepada berlakunya konflik. Malah, dorongan untuk memiliki kuasa yang maksimum adalah keinginan sejagat dan semulajadi bagi manusia. Bertitik tolak daripada sikap buruk ini, maka terjadinya perebutan dan persaingan antara negara bagi memiliki kekuasaan yang maksimum. Teori ini jelas menggambarkan Perang Arab-Israel yang bermula sejak tahun 1948 adalah usaha Israel untuk menunjukkan kekuatannya dan agenda tersembunyi yang didokongi oleh kuasa besar yang lain. Kini, jelaslah bahawa keganasan yang berlaku terhadap Palestin ini menggambarkan wajah sebenar Israel yang penuh dengan sifat tamak, rakus dan mementingkan diri sendiri.

Di dalam kamus Oxford, istilah pengganas didefinisikan sebagai individu yang menggunakan kekerasan dan intimidasi yang tidak sah, terutama terhadap orang awam dalam usaha mencapai sesuatu tujuan politik. Manakala, para sarjana berpendapat bahawa istilah terrorisme pula pada dasarnya ditafsirkan kepada tiga kriteria utama iaitu (1) bermotifkan politik; (2) menimbulkan ketakutan; dan (3) mengakibatkan kemusnahan. Kesemua teori, naratif dan kriteria terrorisme yang dinyatakan ini menggambarkan tindakan rejim pengganas Israel terhadap Palestin selama ini.

Hakikatnya Israel sudah menjadi kelompok pengganas selama 73 tahun, bermula apabila berlakunya peristiwa al-Nakbah pada 15 Mei 1948. Peristiwa buruk yang dinamai sebagai Nakbah ini bermaksud malapetaka atau bencana besar serta merupakan detik hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya. Penubuhan negara Israel di atas bumi Palestin telah diisyhtiharkan secara rasminya pada tarikh tersebut. Peristiwa ini banyak dinukilkan oleh para sejarawan di mana rejim Zionis Yahudi telah bertindak kejam dengan mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin ke luar negara, manakala 30 ribu lagi diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka. Selain itu, rejim Zionis telah menghancurkan sebanyak 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin pada ketika itu. Sehingga kini, perjuangan dan penderitaan yang dialami oleh penduduk Palestin masih belum berakhir. Walaupun pelbagai cara telah digunakan untuk membebaskan bumi Palestin dari cengkaman kekejaman Israel dan usaha untuk mengembalikan semula hak-hak mereka yang telah dirampas, namun ianya masih bertemu jalan buntu.

Jika ditelusuri kisah kaum Yahudi yang telah dirakam dalam Al-Quran. Terdapat ayat yang menyatakan bahawa keganasan paling kejam terhadap manusia telah dilakukan oleh kaum Yahudi. Hal ini menyebabkan kemurkaan Allah SWT dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan walaupun setelah mereka diberikan kemuliaan oleh Allah SWT. Allah telah berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 61 yang bermaksud:

“…Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sepatutnya mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal yang demikian itu, disebabkan mereka kufur (mengingkari) terhadap ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaran-Nya); dan mereka pula membunuh para nabi tanpa sebarang alasan yang benar. Oleh yang demikian, perkara itu berlaku kerana mereka menderhakai Allah dan mereka pula sentiasa melampaui batas.”

Kezaliman, kekejaman, serangan bertubi-tubi dan melampau yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin ini jelas mencabuli undang-undang antarabangsa. Malah, perbuatan terkutuk ini turut melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan fasal jenayah perang dalam Konvensyen Geneva Keempat pada 1949. Justeru, sebagai Umat Islam dan masyarakat dunia yang prihatin dengan hak-hak kemanusiaan, setiap dari kita haruslah bersama-sama menyuarakan pendirian tegas bagi menggesa agar tindakan segera diambil bagi menyelamatkan keadaan di Palestin. Terdapat pelbagai cara dan kaedah yang dapat dilakukan bagi menghentikan kezaliman ini. Selain berdoa dan menyumbang kepada gerakan pro-palestin, media sosial dan elektronik seharusnya menjadi platform utama hak Palestin diperjuangkan dan kedaulatan mereka ditegakkan. Perang naratif di media sosial ini dapat membantu untuk memberi penjelasan yang sebenar akan situasi yang dihadapi oleh pihak Palestin yang sering dianaktirikan oleh media barat yang rata-ratanya memihak kepada Israel. Sekiranya masyarakat dunia bersatu hati menentang kezaliman dan kekejaman yang berleluasa ini, pastinya kita dapat membela nasib rakyat Palestin yang telah sekian lama menderita di bawah rejim pengganas Isreal.

 

 

 

Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).