Penindasan rakyat Palestin: Teruskan usaha membongkar kekejaman Israel

Mohd Faizal Kasmani

 

Isu penindasan dan rampasan tanah Palestin merupakan satu isu yang sangat rumit dan dianggap luar biasa terutama bagi masyarakat Islam hari ini. Bagi mereka yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang isu di Palestin, pelbagai persoalan dan kehairanan timbul daripada penindasan dan kekejaman secara terang-terangan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin. Kenapa ia berlaku? Kenapa dunia Islam yang lain di sekeliling membiarkannya? Bagaimana di era moden hari ini, perkara ini boleh terjadi dan dibiarkan.

Rampasan terhadap rumah penduduk Palestin di Sheikh Jarrah dan serangan ke atas Gaza yang mengorbankan ramai kanak-kanak dan rakyat Palestin adalah episod kekejaman terbaru oleh Israel. Kekejaman seperti ini dan lebih teruk lagi telah berlaku sejak 70 tahun lalu, iaitu sejak rejim Zionis mengisytiharkan sebahagian tanah Palestin sebagai negara Israel pada tahun 1948. Apakah faktor utama yang menyebabkan terjadinya rampasan, penindasan dan jenayah apharteid di era moden yang amat mengharukan ini?

Rampasan tanah di Palestin dan pengusiran rakyat Palestin adalah agenda terancang oleh institusi Zionis bermula sekitar akhir tahun 1800. Dibangunkan oleh Theodor Herzl, agenda paling utama pergerakan Zionis ini adalah untuk menubuhkan negara Israel di tanah Palestin. Asas kepada pengambilan tanah Palestin adalah bersandarkan kepada idelogi keagamaan yang dipegang kuat oleh puak Zionis ini. Alasan utama yang digunakan adalah, menurut mereka, seperti yang dinyatakan dalam Kitab Torah, tanah tersebut telah diberikan oleh tuhan kepada kaum Yahudi yang dihalau daripada Mesir sekitar 1400 sebelum masihi. Perkara ini juga dinyatakan juga dalam Kitab Bible versi Old Testament dan penaklukan Palestin oleh pergerakan Zionis ini sangat disokong dan diterima terutama oleh kumpulan penganut agama Kristian yang dikenali sebagai Christian Zionism. Kerana itu juga negara-negara Kristian walaupun dari denominasi yang berbeza tidak menentang rampasan tanah Palestin dan kewujudan negara Israel. Ini kerana asas keperluan penubuhan negara Yahudi tersebut dikongsi oleh penganut kedua-dua agama.

Selain itu, institusi Zionis juga amat terancang dalam melobi dan menubuhkan institusi pelobi di negara kuasa besar di seluruh dunia. Hasilnya, kerajaan Amerika sejak awal penubuhan Israel berjanji untuk melindungi negara itu melalui bantuan ketenteraan serta pembangunan infrastruktur. Tahun lalu sahaja, rejim Israel menerima bantuan ketenteraan berjumlah 3.3 bilion dollar daripada Amerika Syarikat, melebihi daripada mana-mana negara di seluruh dunia.  Lebih membantu adalah penduduk Yahudi yang menyokong agenda Zionis ini mempunyai kependudukan yang ramai di Amerika Syarikat dan di negara-negara Eropah. Mereka juga memegang kuasa ekonomi yang kuat di negara-negara ini. Di Amerika contohnya The American Israel Public Affairs Committee (AIPAC) sangat mempunyai kuasa dalam mengawal perjalanan politik dan perniagaan di Amerika Syarikat. Setiap calon presiden di Amerika sebagai contoh mahu atau tidak, perlu menyokong agenda Zionis yang dibawa oleh AIPAC untuk mendapat sokongan daripada pengundi Yahudi dan menerima derma bagi kempen presiden mereka.

Tetapi sebelum itu lagi institusi Zionis ini telah melobi kerajaan Britain yang telah menjajah tanah Palestin daripada empayer Ottoman sekitar awal 1900. Mereka telah berjaya memujuk dan membuatkan kerajaan Britain ketika itu menandatangani deklarasi Balfour pada tahun 1917 bagi membenarkan institusi Zionis menubuhkan negara Israel untuk kaum Yahudi di Palestin. Justeru penjajah British lah yang menjadi penyebab dan yang bertanggungjawab, memberi kebenaran dan memberi jalan kepada pergerakan Zionis menubuhkan negara mereka sekaligus merampas tanah daripada rakyat Palestin. Pada 1947, Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) bersatu membenarkan pelan untuk membahagikan Palestin kepada tanah Yahudi dan tanah Arab dan pada Mei 1948 Israel telah diisytiharkan sebagai sebuah negara dengan David Ben-Gurion, sebagai Perdana Menteri pertama.

Bagi rakyat Palestin, penubuhan negara Israel adalah diisytiharkan sebagai hari Nakhba atau hari malapetaka, kerana ketika itulah secara rasminya rakyat Palestin kehilangan tanah yang dirampas oleh rejim Zionis. Lebih 700 ribu rakyat Palestin dihalau dan hilang tempat tinggal, dan lebih 500 kawasan penduduk Palestin dirampas dan dihancurkan pada ketika itu. Mereka diisytiharkan oleh Israel sebagai stateless atau tiada mempunyai warganegara dan bersepahlah mereka ke negara-negara jiran dan di sempadan Jordan dan Syria sebagai pelarian. Bermulalah wujudnya kem-kem pelarian Palestin yang berada dalam keadaan yang amat menyedihkan.

Bagaimana dengan negara Arab di sekeliling tanah Palestin? Adakah mereka membiarkan sahaja tanah Palestin diambil? Jawapannya tidak. Pada tahun 1948, tercetusnya perang Palestin dimana tentera Arab daripada daripaad Mesir, Transjordan, Syria, Saudi Arabia, Lubnan dan Yemen bertempur dengan tentera Zionis untuk mendapatkan semula tanah Palestin dan menolak pelan pembahagian oleh PBB. Namun tentera Zionist telah berjaya menewaskan tentera Arab. Lebih menyedihkan pada perjanjian genjatan senjata oleh Israel dan negara Arab pada tahun 1949, Israel mendapat lebih kawasan berbanding pelan asal yang dibenarkan oleh PBB. Selepas perang itu, Semenanjung Gaza menjadi dibawah penaklukan Mesir, manakala kawasan Tebing Barat adalah dibawah Transjordan. Ketika ini Baitulmuqaddis terbahagi dua, dimana Baitulmuqaddis Barat berada dibawah Israel manakala Baitulmuqaddis Timur atau Kota lama dimana terletaknya Masjid Al Qasa adalah dibawah kerajaan Jordan.

Namun negara Zionis sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan lebih banyak tanah Palestin terutamanya, keseluruhan Baitulmuqaddis yang mereka panggil Jurusalem. Pada masa yang sama rakyat Palestin yang dihalau dari rumah masing-masing sentiasa berjuang menuntut hak mereka semula. Keadaan antara Jordan, Mesir, Syria dan Israel selepas 1948 juga sentiasa tegang sehingga membawa kepada satu lagi perang yang cukup penting yang dinamakan perang enam hari pada tahun 1967. Ringkasnya, tentera Israel yang dibantu dengan peralatan ketenteraan udara dan darat yang canggih daripada Amerika Syarikat dan British ternyata terlalu kuat buat tentera Jordan, Syria dan Egypt. Pada June 1967, Israel telah merampas Semenanjung Gaza, kawasan Tebing Barat, Semenanjung Sinai dan Bukit Golan daripada negara Arab yang tewas pada perang enam hari tersebut. Walaupun dibawah beberapa resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR) tentera Israel perlu berundur dan tidak berhak ke atas wilayah yang ditawan ketika Perang Enam Hari tersebut, namun ia tidak dipedulikan dan rejim Zionis tetap menceroboh tanah Palestin secara haram. Israel telah menguasai keseluruhan Baitulmuqaddis dan mereka terus menerus merampas tanah penduduk Palestin secara berstruktur dan menghalau jutaan rakyat Palestin yang terpaksa keluar dari tanah masing-masing.

Hari ini Palestin seperti tidak wujud. Yang ada hanya enclaves atau kepungan-kepungan perumahan di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Semenanjung Gaza kini ditadbir oleh Hamas manakala Tebing Barat ditadbir oleh parti politik Fatah. Kedua-duanya selalunya tidak sehaluan. Israel sememangnya telah memastikan bahawa semenanjung Gaza dan Tebing Barat itu dipisahkan dan dikelilingi oleh penempatan haram Israel supaya rakyat Palestin tidak bersatu dan Israel dapat mengawal ekonomi dan pergerakan rakyat Palestin. Pelbagai checkpoints atau pusat pemeriksaan diletakkan disekeliling semenanjung Gaza menjadikan kehidupan di kawasan itu sangat menyiksakan. Apabila berlakunya pemberontakan kerana penindasan yang melampau, tentera Israel akan menyerang balas dengan mengebom kawasan di Gaza dengan alasan militia Hamas yang memulakan serangan. Realitinya, mereka telah dengan sengaja memastikan kehidupan rakyat Palestin di Gaza terseksa supaya rakyat Palestin bangkit dan ia dijadikan alasan untuk Israel mengebom Gaza.

Itulah yang telah berlaku sehingga hari ini. Terbaharu tentera Zionist telah merampas kawasan Perumahan Sheikh Jarrah dan cuba untuk menyerang Masjid Al Aqsa. Walaupun mereka telah menguasai Masjid Al Aqsa, rakyat Palestin yang tinggal di kota lama Baitulmuqaddis masih menjaga Al Aqsa dengan beriktikaf di sana setiap malam kerana jika dibiarkan, kerajaan Zionist tidak mustahil akan menghancurkan Al Aqsa kerana ia dikatakan bekas tapak kawasan suci kaum Yahudi iaitu the temple mount.

Jadi apa yang membezakan serangan dan penindasan tentera Zionis kali ini dengan yang berlaku sebelum ini? Perbezaan terbesar adalah kekejaman rejim Zionis kali ini diketahui dan dipertontonkan di seluruh dunia oleh media sosial. Satu artikel yang ditulis di akhbar The Jurusalem Post bertarikh 18 Mei 2021 bertajuk “Israel needs to better coordinate the image war” menyatakan kerisauan tentang rejim Israel yang dakwa artikel tersebut telah menang akan serangan ke atas Hamas baru-baru ini, tetapi tewas akan sokongan di kalangan masyarakat antarabangsa kerana simpati yang lebih diberikan terhadap rakyat Palestin.

Rakyat Malaysia sendiri sangat berpengaruh dalam membongkarkan penindasan kejam oleh tentera Israel melalui Facebook, Twitter dan Instagram. Ini sangat penting kerana sebelum ini Israel cuba menunjukkan kepada kuasa barat dan rakyat seluruh dunia bahawa mereka mengebom Gaza atas alasan mempertahankan diri dan cuba merampas tanah rakyat Palestin secara berstruktur tanpa diketahui masyarakat dunia. Hari ini semua itu terbongkar.

Diharapkan dengan tekanan ini, sokongan masyarakat Barat terhadap kerajaan Zionis ini dan sokongan kuasa besar Barat ke atas Israel semakin berkurangan. Ini akan menjadikan negara itu tidak lagi mempunyai lesen percuma untuk melakukan apa sahaja terhadap rakyat Palestin yang tinggal sekitar 4 juta orang sahaja itu. Sama-sama kita terus menekan rejim Zionis dan membongkarkan kekejaman mereka.

#freepalestin.

Professor Madya Dr Mohd Faizal Kasmani adalah Pensyarah program Komunikasi Media Baharu dan Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia