Setiap tahun umat Islam di seluruh dunia merayakan hari raya qurban atau Eidul Adha, dan tahun ini Eidul Adha dijangka jatuh pada 29 Jun, sambutan hari raya itu bagi mengenang kembali peristiwa qurban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim terhadap anaknya Nabi Ismail atas perintah Allah.

Peristiwa itu dirakamkan Al Quran dalam surah as-Saffat ayat 99 hingga 111. Kelompok ayat ini berisi tentang penantian Nabi Ibrahim akan kehadiran seorang anak, perintah Allah untuk mengurbankan anak tersebut, hingga anugerah-Nya terhadap keduanya sebab ketaatan pada-Nya.

Asal-usul ibadah kurban berasal dari peristiwa sejarah penyembelihan Nabi Ismail oleh Nabi Ibrahim . Peristiwa ini akan selalu disebut-sebut pada setiap Idul Adha tiba. Hal ini untuk mengenang pengurbanan Nabi Ismail oleh Nabi Ibrahim dalam rangka menunaikan perintah Allah SWT.

Berkat ketulusan hati beliau, Allah menerima ibadah kurban mereka dan menggantikan tempat Nabi Ismail dengan seekor kibas. Namun jika ditinjau daripada aspek hakikat dan makrifat, apakah qurban itu hanya menyembelih binatang semata mata?

Hakikat Qurban itu adalah menyembelih nafsu kebinatangan (Amarah) yang menguasai diri kita agar kita dapat menyintai Allah. Sembelihan qurban itu hakikatnya menyembelih kejahatan kejahatan batin (nafsu Mazmumah) yang bersarang di hati manusia.

Maksud sebenar benar qurban adalah berpaling daripada terus menerus mengikuti ajakan hawa nafsu, berpaling daripada tunduk pada desakan perasaan iri hati, sombong, ujub, riak yang menguasai hati, pentingkan diri sendiri, menganggap diri sendiri sahaja yang benar dan perasaan cintakan dunia.

Qurban ialah menumpahkan darah iaitu kepedihan hati untuk menahan sakit yang berlawan dengan diri, melawan kehendak perasaan, enggan mengikut kehendak hati yang hanya bekehendak kepada kesenangan dunia.

Allah mengkehendaki manusia mengorbankan atau menyembelih sifat kepemilikan cinta, yang cinta itu hanya ditujukan kepada Allah semata mata, tiada lain hanya mengharapkan cintanya.

Setiap kita adalah Ibrahim dan setiap Ibrahim punya Ismail. Ismail itu mungkin berbentuk harta benda, mungkin jawatan yang disandang, gelaran dan ego. Ismail melambangkan sesuatu yang kita sayang dan enggan berpisah dengannya. Seperti mana kita sayang jawatan kita sama ada bergelar professor, professor madya, doktor falsafah atau pensyarah dan juga Ketua Eksekutif syarikat.

Jika kita lihat apa yang berlaku disekeliling kita, berapa ramai yang sanggup mengorbankan semua kesenangan duniawi untuk mendapatkan habuan ukhrawi. Boleh kita simpulkan bahawa kegagalan memahami maksud qurban menyebabkan kita masih lagi mengikut kehendak nafsu.

Sempena Eidul Adha kali ini sepatutnya kita merenung kembali pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang tanpa ragu ragu mengrbankan dengan menyembelih anak yang disayanginya kerana perintah Allah.

Marilah kita berkorban dengan melawan kehendak hati kita yang cintakan dunia, kepada cintakan akhirat. Rebutlah peluang ini sementara nyawa masih ada lagi di badan.

Dr. Hizral Tazzif Hisham
Pensyarah Komunikasi Media Baharu,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)