Audit komunikasi merupakan salah satu alat strategik yang semakin penting dalam memastikan keberkesanan operasi sesebuah organisasi. Konsep ini merujuk kepada penilaian menyeluruh terhadap proses komunikasi dalaman dan luaran organisasi, termasuk hubungan antara pekerja, komunikasi dengan pihak berkepentingan seperti pelanggan, rakan kongsi, dan pihak luar. Matlamat utama audit komunikasi adalah untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam sistem komunikasi organisasi, seterusnya merancang langkah-langkah penambahbaikan agar komunikasi lebih efektif dan sejajar dengan objektif organisasi. Maklumlah, orang tua-tua juga ada menyebut, ‘sedangkan lidah lagi tergigit’. Ia memberi maksud bahawa konflik dalam sesebuah perhubungan adalah asam garam dalam kehidupan, termasuklah dalam konteks hubungan atau komunikasi dalam organisasi.

Proses audit komunikasi biasanya melibatkan beberapa langkah utama. Pertama, organisasi akan menentukan skop dan matlamat audit berdasarkan cabaran komunikasi yang dihadapi. Data kemudiannya dikumpulkan melalui pelbagai kaedah seperti soal selidik, temu bual, kajian dokumen, dan pemerhatian. Hasil kajian ini dianalisis untuk mengenal pasti isu-isu kritikal seperti jurang komunikasi, salah faham antara individu atau jabatan, atau keberkesanan mesej yang disampaikan kepada pelanggan. Akhirnya, cadangan penambahbaikan disediakan untuk mengatasi kelemahan yang dikenal pasti dan meningkatkan kualiti interaksi antara semua pihak dalam organisasi.
Isu komunikasi sering menjadi punca kepada pelbagai masalah organisasi, termasuklah konflik antara pekerja, salah faham dengan pelanggan, dan ketidakselarasan dalam pelaksanaan tugas. Kajian oleh McKinsey et al. (2021) menunjukkan bahawa syarikat dengan komunikasi dalaman yang baik, mempunyai produktiviti 25% lebih tinggi berbanding yang tidak memberi tumpuan kepada aspek komunikasi. Di Malaysia, isu ini juga kerap menjadi tumpuan apabila terdapat aduan mengenai kekurangan perkhidmatan pelanggan atau kurangnya penyelarasan dalam jabatan kerajaan. Kajian terbaharu  yang oleh Khairunneezam, Safiyyah, Kartini dan Norsimaa (2024) terhadap  sebuah agensi utama kerajaan Malaysia, mendapati bahawa hampir 90% pekerjanya mengaku perlu menghadapi cabaran dalam memastikan komunikasi berkesan antara pelbagai peringkat pekerja dan juga dengan pihak pengurusan.

Implikasi komunikasi yang tidak efektif adalah besar dan boleh merugikan organisasi dari pelbagai aspek. Salah satunya ialah penurunan moral pekerja apabila mesej atau arahan tidak jelas, yang boleh menyebabkan salah faham dan kekecewaan. Selain itu, komunikasi yang lemah dengan pelanggan juga boleh membawa kepada kehilangan kepercayaan dan imej buruk terhadap organisasi. Dalam konteks perniagaan, ini boleh menyebabkan kehilangan peluang pasaran dan pengurangan keuntungan. Oleh itu, audit komunikasi menjadi elemen penting untuk memastikan organisasi dapat berfungsi secara optimum dan memenuhi keperluan pihak berkepentingan.

Dari perspektif Islam, komunikasi yang baik adalah sebahagian daripada prinsip yang digalakkan dalam Al-Quran dan sunnah. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku kaum supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu.” Ayat ini menunjukkan kepentingan hubungan yang harmoni dan komunikasi yang baik antara manusia untuk membina hubungan yang saling menghormati dan produktif. Rasulullah SAW juga menekankan adab dalam komunikasi, termasuk bercakap dengan jelas dan tidak menimbulkan kekeliruan. Oleh itu, audit komunikasi boleh dianggap sebagai satu usaha untuk memastikan prinsip komunikasi yang dianjurkan oleh Islam diamalkan dalam organisasi.

Statistik global dan kajian lepas turut menguatkan keperluan untuk audit komunikasi dalam organisasi moden. Menurut laporan oleh Deloitte, 73% pemimpin organisasi percaya bahawa komunikasi yang efektif adalah kunci kepada kejayaan transformasi digital. Di Malaysia, transformasi ke arah ekonomi digital yang semakin pesat memerlukan organisasi untuk menilai semula strategi komunikasi mereka agar dapat bersaing secara global. Audit komunikasi membantu organisasi memastikan bahawa penggunaan teknologi seperti e-mel, platform mesej, dan media sosial digunakan dengan cara yang efektif dan selaras dengan budaya kerja yang inklusif.

Walau bagaimanapun, cabaran dalam melaksanakan audit komunikasi tidak dapat dielakkan. Salah satu isu utama adalah kurangnya kesedaran dalam kalangan pengurusan tertinggi tentang kepentingan audit ini. Sesetengah organisasi mungkin juga menganggapnya sebagai satu kos tambahan tanpa menyedari impaknya terhadap keberkesanan operasi jangka panjang. Selain itu, rintangan daripada pekerja yang takut untuk memberi maklum balas jujur dalam proses audit juga boleh menyukarkan usaha mendapatkan gambaran sebenar tentang keadaan komunikasi dalam organisasi.

Dalam menghadapi cabaran ini, kesedaran harus ditingkatkan melalui pendidikan dan latihan, terutamanya dalam kalangan pemimpin organisasi. Ini sangat selaras dengan intipati pembentangan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, Dekan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dalam Majlis Naratif Kedekanan FKP 2025 yang berlangsung pada 23 Januari 2025 baru-baru ini. Dr Rushdan secara eksplisitnya menekankan elemen komunikasi berkesan yang terkait dengan isu collegiality  dalam kalangan ahli akademik FKP. Beliau turut merungkaikan mesej berkaitan kepentingan membugarkan komunikasi dan audit komunikasi berkesan dalam sesebuah organisasi secara implisit.

Pemimpin organisasi dan warga kerjanya haru sedar bahawa audit komunikasi bukan sekadar proses teknikal tetapi juga peluang untuk membina dan menatijahkan budaya kerja yang lebih inklusif, menghormati pandangan semua pihak, dan mempromosikan keterbukaan. Dengan sokongan kepimpinan dan penglibatan pekerja pada semua peringkat, audit komunikasi dapat menjadi alat transformasi yang membawa manfaat besar kepada organisasi.
Kesimpulannya, audit komunikasi adalah satu elemen penting yang perlu diberi perhatian oleh semua organisasi, sama ada sektor awam atau swasta. Ia bukan sahaja membantu menyelesaikan isu komunikasi tetapi juga memastikan semua pihak dalam organisasi dapat bekerja dengan harmoni dan produktif. Dengan memahami kepentingan komunikasi yang baik seperti yang dianjurkan oleh Islam dan disokong oleh kajian moden, organisasi boleh mencapai tahap keberkesanan operasi yang lebih tinggi dan memanfaatkan peluang dalam dunia yang semakin kompetitif ini.
Penulis : Prof. Madya Dr. Khairunneezam Bin Mohd Noor,
Pensyarah Kanan,
Program Dakwah dan Pengurusan Islam,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Penulis :Dr. Kartini binti Kamaruzzaman,
Pensyarah Kanan,
Program Komunikasi Media Baharu,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Penulis :Dr. Norsimaa binti Mustaffa,
Pensyarah Kanan,
Program Komunikasi Media Baharu,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Penulis :Dr. Safiyyah binti Ahmad Sabri,
Pensyarah Kanan,
Program Komunikasi,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).