RAMADAN YANG BERBEZA, PELUANG UNTUK MERAIH LABA
Dr. Wan Mohd Fazrul Azdi bin Wan Razali
Lazimnya, skrip Ramadan kita setiap tahun hampir sama. Malamnya menunaikan terawih secara berjemaah di masjid. Masjid yang jarang-jarang penuh pada bulan-bulan selain Ramadan, jadi sesak pula dengan kehadiran ramai jemaah. Juadah berbuka puasa pula ke bazar Ramadan. Ada pelbagai menu seperti ayam golek, kuih tepung pelita, air katira dan banyak lagi. Pada hujung minggu atau jika bercuti, sekeluarga pulang ke kampung untuk mengambil peluang bersahur dan berbuka puasa dengan ibu bapa dan sanak saudara yang tercinta.
Namun begitu, pengalaman Ramadan 1441 Hijrah kali ini adalah berbeza. Tiada lagi solat terawih berjemaah dan ibadat iktikaf di masjid. Hanya tuan Imam, bilal dan siak sahaja yang dibenarkan berjemaah mengimarahkan masjid. Tiada lagi bazar Ramadan seperti saban tahun. Jika hendak merasa popia basah, ikan bakar atau jus mangga, sama ada mencuba sendiri di dapur atau membuat pesanan melalui aplikasi grabfood atau foodpanda.
Dalam erti kata yang lain, Ramadan yang berbeza ini memberikan cabaran yang berbeza kepada kita semua. Banyak rutin harian pada bulan Ramadan ini perlu diubah dan tidak lagi seperti tahun-tahun sebelumnya. Kesemuanya dengan rutin yang baharu atau new normal. Pendek kata, Ramadan 1441 Hijrah ini sarat dengan pelajaran dan pengajaran buat semua umat Islam. Bukan sahaja di Malaysia, malah di seantero dunia.
Antara pelajaran dan pengajaran utama yang dapat dipetik pada Ramadan kali ini adalah sifat sabar. Sabar dalam Islam adalah sifat yang sangat mulia. Para Rasul seperti Nuh a.s., Ibrahim a.s., Musa a.s., Isa a.s. dan Muhammad s.a.w. adalah para Rasul ulul azmi kerana keteguhan dan kesabaran mereka yang sangat tinggi. Mereka semua sangat bersabar dalam menghadapi pelbagai tribulasi dan mehnah dalam kehidupan seperti yang tercatat dalam lembaran sirah kehidupan mereka.
Dalam definisi para ulama, sabar adalah menahan diri daripada melakukan sesuatu yang melanggar perintah Allah taala. Sabar itu ada tiga jenis dan keadaan. Sabar dalam menghadapi bala dan musibah. Sabar dalam melawan hawa nafsu yang mengajak kepada maksiat. Sabar mengekalkan diri dalam ketaatan dan melaksanakan segala perintahNya.
Dalam surah al-Baqarah 2: ayat 155-157, Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (155) (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (156) Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya. (157)
Ramadan kali ini berbeza kerana kita semua diuji dengan pandemik virus Covid -19 yang telah meragut banyak nyawa dan menyukarkan kehidupan ramai orang di seluruh dunia. Ramadan kali ini bukanlah Ramadan yang biasa kerana kita semua perlu menempuh ibadat puasa, di samping meneruskan perjuangan bagi memastikan kesan pandemik virus Covid-19 ini berkurangan, dan seterusnya berakhir.
Namun semua cabaran ini tidak boleh dibiarkan sia-sia. Ujian kita pada Ramadan ini bukan setakat mengekalkan momentum ibadat sebagai tetamu Ramadan. Malah, sebagai pejuang menghadapi setiap cabaran dan kesusahan yang diakibatkan oleh pandemik virus Covid-19. Terdapat laba dan keuntungan yang besar menanti kita semua, jika kita dengan sabar menempuh setiap dugaan Ramadan 1441 Hijrah ini dengan jayanya.
Labanya bukan sedikit. Orang-orang yang bersabar itu diganjari dengan balasan yang tanpa had oleh Allah s.w.t. Ini dijanjikan oleh Allah s.w.t dalam Surah Al-Zumar 39: ayat 10. Firman Allah taala yang maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad, akan firman Ku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hamba Ku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”
Dr. Wan Mohd Fazrul Azdi ialah Pensyarah Kanan, Program Pengajian Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM dengan pengkhususan dalam bidang akidah dan perbandingan agama. Beliau juga adalah Pengarah di Pusat Pengajian Teras, USIM.