PENDEDAHAN TEKNOLOGI MEDIA BAHARU TERHADAP KANAK-KANAK: PERANAN IBU BAPA
Dr Nor Hamizah bt Ab Razak
Jika sebelum ini didikan, asuhan serta nilai moral dalam kalangan kanak-kanak kebanyakannya adalah diterapkan oleh ibu bapa, guru-guru di sekolah serta masyarakat setempat. Namun, kehidupan hari ini adalah berbeza. Masyarakat yang turut merangkumi orang dewasa, remaja termasuklah kanak-kanak kini telah dipengaruhi oleh teknologi moden, internet dan perkembangan media sosial dan seterusnya membentuk satu revolusi yang mengubah kehidupan. Pada zaman serba moden ini juga, segala bentuk maklumat, pendidikan, hiburan boleh didapati di hujung jari sahaja. Perkara ini menjadikan teknologi menjadi sangat penting dan kebergantungan masyarakat terhadap teknologi juga sangat tinggi. Kanak-kanak juga tidak terkecuali di mana banyak masa diluangkan dengan hanya melayari media sosial, bermain game dan sebagainya. Berbeza dengan 20 tahun dahulu, kebanyakan kanak-kanak menghabiskan masa dengan riang nya bersama rakan-rakan. Berbasikal, mandi sungai, beriadah dengan bermain guli, bermain teng-teng, bermain baling selipar dan tidak ketinggalan permainan kegemaran ramai, pukul berapa datuk harimau. Adalah fitrah semula jadi kanak-kanak diciptakan dengan keinginan suka bermain, meneroka, mencuba, memerhati dan secara tidak langsung aktiviti-aktiviti tersebut telah merangsang perkembangan sosial dan emosi mereka.
Namun pada hari ini, kanak-kanak membesar bertemankan teknologi moden. Kebanyakan masa kanak-kanak dihabiskan dengan menghadap telefon pintar, laptop dan seumpamanya. Bagaimana perkara ini terjadi? Pertama adalah faktor kepesatan teknologi. Kemajuan teknologi dalam inovasi terkini telah menghasilkan pelbagai peralatan media seperti televisyen, internet, komputer, telefon pintar yang serba canggih dan secara tidak langsung menjadikan nya keperluan yang penting dalam kehidupan masyarakat. Sehinggakan kanak-kanak kecil juga lebih berminat kepada gajet berbanding dengan aktiviti fizikal. Kedua adalah faktor kekurangan masa bersama keluarga. Umum mengetahui aktiviti bersama keluarga menyumbang kepada pertumbuhan yang paling positif apatah lagi apabila keluarga meluangkan masa, tenaga dan cinta dalam perkembangan kanak-kanak seperti membaca kepada mereka, bermain dengan mereka dan mempunyai perbualan yang bermakna. Namun, pada hari ini kebanyakan kanak-kanak tidak berpeluang merasai pengalaman tersebut. Ini kerana, desakan taraf hidup yang tinggi telah memaksa kedua ibu bapa bekerja. Kesannya, masa terluang bersama anak-anak adalah terhad. Di samping itu, dalam mengejar arus pemodenan masa kini, ibu bapa lebih memberi penekanan kepada pencapaian akademik sehingga ada ketikanya kanak-kanak langsung tiada masa bermain atau beriadah. Selain itu, faktor jenayah yang kian meningkat dalam masyarakat telah memaksa ibu bapa untuk memastikan anak-anak berada di rumah sahaja. Kanak-kanak serta remaja tidak dibenarkan untuk keluar bermain bersama rakan di luar rumah tanpa pengawasan ibu bapa. Terkini adalah faktor bencana seperti pandemik Covid-19 yang menghalang kanak-kanak untuk bersosial bersama rakan-rakan. Faktor-faktor tersebut telah menyebabkan kanak-kanak tiada pilihan dan membuka peluang kepada mereka untuk menghabiskan masa dengan menonton television, you tube dan sebagainya.
Tidak dinafikan, menonton media television atau akses kepada internet bukan lah aktiviti yang pasif. Malah menyediakan ruang pendidikan kepada kanak-kanak dengan memproses secara aktif setiap bahan atau kandungan yang diterima. Di usia kanak-kanak, mereka memiliki keupayaan yang luar biasa untuk menyerap segala yang dipelajari dan mengadunkan ke dalam pemikiran, tingkah laku dan emosi mereka. Oleh itu, kandungan media atau sumber internet yang positif diperlukan sebagai salah satu medium pembelajaran bagi kanak-kanak. Walau bagaimanapun, terdapat juga kandungan media yang tidak sesuai terhadap kanak-kanak malahan berupaya mengganggu perkembangan sosial dan emosi mereka. Kandungan-kandungan media yang banyak menyebarkan fahaman seks yang keliru, pornografi, porno aksi, kekerasan, keganasan melampau dan kehidupan yang menyimpang dari budaya dan agama secara tidak langsung mengganggu perkembangan kanak-kanak yang akan terserlah melalui tingkah laku dan keperibadian. Walaupun kebanyakan ibu bapa sedar akan pengaruh negatif sumber media kepada anak-anak, namun ibu bapa sendiri tidak mampu untuk mengeluarkan anak-anak pengaruh media.
Perkara ini sangat merisaukan memandangkan generasi kanak-kanak hari ini penentu kepada pembangunan negara masa depan. Ibu bapa perlu memainkan peranan yang aktif terhadap anak masing-masing kerana ibu bapa merupakan agen yang paling dekat dan berpengaruh terhadap anak-anak. Oleh itu, ibu bapa harus membantu dan membimbing anak-anak ketika berhadapan dengan media dan teknologi secara positif.
Membantu anak-anak berhadapan dengan media dan teknologi bukanlah bermaksud menghalang kanak-kanak daripada terdedah dengan media dan teknologi. Ini kerana, mengeluarkan anak dari risiko hanya akan memperluas jarak mereka dengan persekitaran sosial. Sekiranya suatu hari nanti di luar kawalan ibu bapa kanak-kanak tersebut telah berhubung dengan teknologi atau terdedah dengan kandungan media yang negatif, rasa ingin tahu ditahan begitu banyak dan membawa kepada kesukaran untuk diuruskan. Menyediakan persekitaran yang positif dalam keluarga membantu proses pembelajaran kanak-kanak untuk menjadi individu yang kuat terhadap segala bentuk cabaran. Menyediakan persekitaran positif ini boleh merangkumi usaha untuk membina suasana komunikasi atau interaksi terbuka dalam keluarga sehingga ibu bapa dan kanak-kanak dapat berbincang secara bebas. Dengan hubungan ini, anak-anak tidak akan mengalami kebimbangan dalam menyampaikan segala maklumat yang diperoleh ketika aktiviti bersama skrin. Seterusnya, ibu bapa perlu menjadikan diri sebagai menjadi agen pembudayaan dengan menonton bersama kanak‐kanak agar dapat bersama‐sama terlibat dalam dialog secara aktif tentang visual dan cerita yang ditonton. Secara tidak langsung, ibu bapa dapat membentuk selera rancangan yang patut ditonton oleh kanak‐kanak seterusnya menjadi agen pembudayaan yang positif dalam perkembangan kanak‐kanak. Di samping itu, ibu bapa haruslah bijak memilih gaya asuhan yang sesuai demi perkembangan positif anak-anak khususnya anak-anak yang masih di bangku sekolah. Di era revolusi teknologi ini, kebanyakan anak-anak khususnya para remaja sememangnya terdedah dan bergantung kepada teknologi dan akibatnya mereka jarang berkomunikasi dengan ibu bapa.
Oleh itu ibu bapa perlulah sentiasa mendekati serta mewujudkan hubungan yang dekat atau erat dengan anak-anak. Anak-anak perlulah selalu diajak untuk berbincang ketika membicarakan sesuatu masalah atau peraturan-peraturan yang dibuat di rumah agar wujud komunikasi yang baik di samping turut menanamkan nilai-nilai agama Islam dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Pun begitu, selain daripada mengaplikasikan kemahiran-kemahiran yang bincangkan bersama dengan anak masing-masing, ibu bapa juga perlu berpengetahuan luas. Setiap ibu bapa perlu memiliki ilmu berkaitan dengan teknologi terutamanya penggunaan telefon pintar dan komputer riba untuk membolehkan mereka memantau laman sesawang yang dikunjungi oleh anak-anak. Terdapat beberapa kaedah penyaringan laman web yang perlu diketahui oleh ibu bapa contohnya perisian Internet Security and Acceleration, Cybernany, NetNanny, CyberPatrol, NetFilter Home, Cybersitter yang dibina bertujuan untuk menyaring setiap kandungan laman web dengan tepat.
Dr Nor Hamizah bt Ab Razak adalah pensyarah kanan di Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM.