Pembelajaran dalam talian sebagai norma baharu 

oleh Dr Rosninawati Hussin

Selamat hari guru kepada semua warga pendidik walau di mana sekalipun baktimu disumbang. Setiap tahun pada tanggal 16 Mei merupakan hari sambutan untuk guru-guru bagi mengingati dan menghargai pengorbanan guru dalam mendidik. Sehubungan itu, tahun ini tema untuk sambutan Hari Guru tahun 2020 adalah “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”.

Mengupas akan tema ini, ingin sekali dikaitkan dengan suasana pendidikan era norma baharu pada tahun ini di kala wabak COVID-19 menyerang. Wabak yang telah meragut ratusan ribu nyawa di seluruh dunia ini secara langsung telah menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan masyarakat. Justeru di Malaysia, untuk membendung penularan wabak ini kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dari 18 Mac 2020. Selama hampir dua bulan PKP berlangsung, rakyat di negara ini terpaksa menukar rutin harian apabila hampir semua rakyat tidak dibenarkan pergi ke pejabat untuk bekerja dan pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi juga tidak dapat menimba ilmu secara bersemuka dengan guru-guru dan pendidik mereka. Semuanya harus dilakukan di rumah, perlu bekerja dan belajar dari rumah.

PKP berlanjutan ke PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) yang bemula pada 4 Mei 2020. Walaupun beberapa prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan semasa PKPB, namun untuk pelajar-pelajar, belajar di sekolah mahupun di pusat pengajian masih tidak dibenarkan oleh kerajaan. Maka, pembelajaran dalam talian terus berlangsung bagi menggantikan pertemuan bersemuka. Proses ini nampak mudah, namun cabaran mendidik tetap ada, bukan sahaja untuk guru, para pelajar, malah dalam kalangan ibubapa. Namun, demi membina generasi baharu yang berilmu segala cabaran ini tetap dihadapi. Tidak bermakna juga, apabila pembelajaran berlaku di rumah, tugas guru menjadi lebih mudah, ibubapa pula yang memikul tanggungjawab mengajar anak-anak. Tugas mendidik tetap diteruskan oleh para guru mahupun pendidik amnya. Pembelajaran dalam talian menyediakan beberapa platform yang dapat membantu meneruskan silibus pengajian demi memastikan pendidikan anak-anak tidak ketinggalan.

Pembelajaran dalam talian merupakan satu keperluan penting dalam pendidikan Revolusi Industri 4.0 untuk generasi sekarang. Makanya, pada kala COVID-19 melanda, pertemuan bersemuka antara guru dan pelajar digantikan secara dalam talian melalui aplikasi persidangan video seperti Zoom, Skype, MS Team, Google Hangout, Whatsapp, Google Meet dan macam-macam lagi aplikasi ada disediakan untuk menyokong pembelajaran norma baharu ini. Memandangkan aplikasi-aplikasi ini dianggap baru oleh sesetengah pendidik, mereka juga perlu diberi latihan yang intensif untuk memastikan pengajaran mereka berkesan kepada pelajar. Para pendidik juga perlu berguru, mendalami ilmu baharu ini demi memastikan ilmu yang dikongsi, maksima impaknya.

Selari dengan pembelajaran abad ke-21 (PAK21), tuntutan pembelajaran dalam talian yang dituntut dalam norma baharu ini bukanlah sesuatu yang janggal dalam pendidikan. Objektif PAK21 ialah melatih pelajar menjadi lebih komunikatif, kolaboratif, kreatif dan kritis berfikir, yang sudah pasti guru-guru perlu lebih maju ke hadapan dalam bidang teknologi agar dapat berkongsi ilmu dengan lebih efektif. Guru tidak lagi berfungsi sebagai orang yang memberi ilmu malah, peranan mereka ditambahbaik dengan gelaran moderator yang bukan sahaja mengajar tetapi mendidik pelajarnya untuk mendapatkan ilmu. Sejajar dengan kemajuan teknologi, ilmu bisa diperoleh di hujung jari. Oleh itu, guru memberi panduan bagaimana pelajar boleh mendapat ilmu dari pelbagai sumber dan kemudian dipersembahkan melalui aplikasi khas untuk pendidikan yang tersedia dalam talian. Sebagai contoh, subjek yang berasaskan pembacaan atau teori, agak bosan jika pembelajarannya menuntut banyak pembacaan dan menyalin nota.

Guru yang kreatif akan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih seronok seperti mengarahkan pelajar mencari sendiri topik yang dibincangkan dalam talian. WIKIPEDIA dan GOOGLE antara rujukan utama pelajar, mungkin sumber WIKIPEDIA tidak sahih namun, GOOGLE adalah portal carian popular yang pelajar boleh guna untuk mencari rujukan yang lebih meyakinkan. Malah, beberapa penerbit buku juga ada mendigitalkan buku teks sebagai e-book untuk rujukan dalam talian. Ini memudahkan pelajar untuk membuat rujukan. Rumusan dari pembacaan e-book, pelajar boleh mereka peta minda melalui aplikasi XMind, tugasan ini boleh juga dilakukan secara berkumpulan, yang mana kemahiran berkomunikasi, bekerja secara berkumpulan dan kepimpinan dapat diasah.

Kemahiran teknologi maklumat (IT) pelajar turut diasah melalui pelbagai aplikasi lain seperti Keynote untuk menyediakan pembentangan tugasan yang diberi. Pembentangan juga boleh dilakukan secara digital dengan berkongsi skrin (screen sharing). Berbalik kepada peranan moderator, komunikasi antara guru dan pelajar tidak hanya terhad secara bersemuka, malah beberapa saluran tersedia seperti Telegram, Whatsapp, Google Classroom atau iMessage. Aplikasi ini membantu guru menyampaikan maklumat, mengingatkan tentang tugasan serta boleh menjadi platform sesi soal jawab. Ada banyak aplikasi lain lagi yang guru-guru boleh gunakan bersama pelajar seperti iMovie, Keynote, Google Classroom, Garage Band dan sebagainya.

Akhir sekali, sesungguhnya menuntut ilmu itu tiada hadnya. Berguru untuk ilmu juga tidak dihadkan kepada pelajar dan cikgu sekolah. Ilmu itu sangat luas. Berguru penting untuk memastikan ilmu yang ditimba tidak salah mahupun sesat. Dan seorang guru yang ilkhlas mengajar tidak akan berkira dengan pelajarnya tatkala berkongsi ilmu, betullah kata pepatah, guru itu ibarat lilin, yang sanggup membakar dirinya demi menerangi kehidupan orang lain. Pengenalan kepada norma baharu yang terarah kepada pengajaran berpusatkan pelajar (student based-learning) tidak mengehadkan peranan guru untuk berbakti. Pelbagai inisiatif telah diambil untuk memastikan generasi muda negara dididik dengan sempurna selaras dengan perkembangan dunia semasa dalam melengkapi keperluan Revolusi Industri 4.0.

 

Dr Rosninawati Hussin adalah Ketua Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia