Tindakan Kolektif dan Identiti Kolektif Mendepani Covid-19

Dr. Kartini Kamaruzzaman

Situasi semasa wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan telah memberi impak yang cukup besar di Malaysia dan seluruh negara. Penjarakan fizikal dan peningkatan aktiviti atas talian menjadi norma baharu dalam kehidupan harian kita. Namun, sekiranya penduduk Malaysia beranggaran 32.6 juta, bagaimanakah kita dapat bersatu padu menghadapi cabaran ini? Hal ini tidak mungkin dapat dicapai sekiranya rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan kepercayaan agama tidak bertindak secara kolektif.

Tindakan kolektif atau ‘collective action’ bermaksud sesuatu tindakan yang dilakukan bersama oleh ahli kumpulan bertujuan untuk meningkatkan status kehidupan mereka atau mencapai objektif bersama meskipun berlainan latar belakang. Walau bagaimanapun, tindakan kolektif tidak dapat direalisasikan tanpa hadirnya kesedaran individu atau entiti seperti organisasi untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan tersebut. Proses ini dikenali sebagai identiti kolektif atau ‘collective identity’ yang melibatkan tiga elemen utama. Pertama ialah kepentingan definisi kognitif yang ditakrifkan melalui proes pemikiran dan kepercayaan yang kemudiannya diterjemahkan melalui amalan, nilai dan sikap bersama. Kedua ialah kepentingan mengaktifkan jaringan hubungan dan komunikasi antara individu melalui kaedah interaksi dan diskusi yang boleh dilakukan samada di luar atau atas talian. Ketiga adalah kepentingan mewujudkan kesedaran melalui pembentukan perasaan dan emosi yang membolehkan individu di dalam sesuatu kumpulan merasakan semangat kebersamaan.

Jika kita teliti, kerajaan dan penguat kuasa Malaysia telah memainkan peranan penting dalam menangani krisis Covid-19, sebagai contoh, melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan jangkitan dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat. Petugas kesihatan turut berkorban masa dan tenaga berjuang menyelamat dan merawat pesakit di hospital mahupun di pusat-pusat kuarantin. Badan kerajaan dan bukan kerajaan termasuklah universiti awam dan swasta turut mengambil inisiatif untuk membekalkan set pelindung muka dan pakaian perlindungan peribadi (PPE) kepada kakitangan petugas kesihatan. Begitu juga dengan mana-mana organisasi lain mahupun individu yang memberikan sumbangan berbentuk bantuan kewangan dan keperluan harian kepada mereka yang memerlukan.

Bagaimana pula dengan individu yang duduk di rumah? Adakah mereka tidak membantu atau tidak mempunyai peranan penting? “Anda ingin menjadi seorang wira? Teruskan duduk di rumah”. Inilah petikan ayat di dalam sebuah poster digital yang dimuat naik di laman sesawang rasmi Jabatan Perdana Menteri Malaysia (JPM) bagi menjawab keraguan kita. Malah anjuran tersebut turut disebarkan di media sosial melalui kaedah penggunaan hashtag dan kata kunci seperti #StayHome dan #DudukRumah sebagai simbol dan mesej untuk membentuk perpaduan masyarakat menangani Covid-19.

Lantaran itu, jika kita tergolong di dalam kalangan individu tersebut, kita juga adalah wira negara. Kerana kita memainkan peranan penting menyahut seruan kerajaan Malaysia untuk sama-sama mencapai matlamat memutuskan rantaian Covid-19. Ini kerana, usaha memerangi Covid-19 tidak hanya bergantung kepada pemerintah dan petugas kesihatan. Malah, usaha menangani krisis tersebut tidak akan berkesan tanpa sokongan dan kerjasama rakyat Malaysia. Justeru, masyarakat awam yang sepatutnya terlebih dahulu menjaga diri masing-masing dari terkena jangkitan atau dari menyebabkan penyakit tersebut tersebar. Kerana jika mereka rebah, ini akan menyulitkan para petugas kesihatan untuk terus mempertahankan benteng keselamatan yang terakhir.

Hal ini turut disentuh melalui lensa Islam yang juga menekankan kepentingan tanggungjawab seorang Muslim dan kewajipan sesama masyarakat untuk membantu meringankan beban masing-masing, lebih-lebih lagi ketika dilanda musibah atau kesulitan. Hadith riwayat al-Bukhari menjelaskan: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim yang lain, dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.”

Malah, tanggungjawab ini menunjukkan Islam amat menitikberatkan sifat kasih sayang sesama makhluk-Nya. Dari sifat mengasihi akan terbit sifat mahmudah yang lain seperti rasa prihatin, bertolak ansur, sabar dan belas kasihan. An-Nu’man bin Basyir RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan seseorang Mukmin sesama Mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama satu badan. Apabila ada salah satu anggota badan yang menanggung kesakitan, maka seluruh badannya akan turut terjaga dan merasakan sakitnya” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadith tersebut mengajarkan kita supaya mengeratkan ikatan persaudaran sesama Muslim dan memupuk semangat kebersamaan dan saling memerlukan dalam kehidupan bermasyarakat. Dalam mendepani krisis Covid-19, tindakan kolektif dan identiti kolektif bukan sahaja terbentuk melalui pemikiran dan kesefahaman, bahkan juga melalui nilai kebersamaan seperti dalam situasi apabila mayarakat Malaysia saling mendoakan, memberi kata-kata semangat, dan bantu-membantu untuk meringankan beban yang dipikul. Ini termasuklah kerjasama aktiviti untuk duduk di rumah, menjaga jarak fizikal dan kebersihan diri yang kini menjadi teras dan prinsip bersama. Kita adalah rakyat Malaysia dan kita perlu bertindak secara kolektif untuk hentikan rantaian Covid-19. Insya Allah, dengan rahmat dan kasih sayang Allah, semoga segala usaha dipandang-Nya dan kemenangan akan berpihak kepada kita.

 

Dr. Kartini Kamaruzzaman adalah pensyarah kanan, program Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.