Mencakna Psikologi Keselamatan dalam Waktu Pandemik

Dr. Mohd Azmir Mohd Nizah

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 dilanjutkan sehingga 12 Mei. Menariknya, dalam keadaan keselamatan kesihatan terancam, statistik keingkaran terhadap PKP dilihat meningkat. Sehingga 27 April 2020, sejumlah 20,617 kes kumulatif telah direkodkan. Terdapat pelbagai faktor penyumbang, antaranya ialah waktu hujung minggu, hari gaji serta jumlah sekatan jalan raya yang dilakukan. Namun begitu, persoalan besar yang harus difahami ialah mengapa kes ingkar PKP ini terus berlaku? Apakah yang bermain di benak fikiran si pelaku? Pada tahap manakah psikologi keselamatan yang wujud dalam kalangan masyarakat kita?

Psikologi keselamatan harus difahami dengan jelas. Psikologi keselamatan adalah berbeza dengan Keselamatan Psikologi. Di mana bezanya? Psikologi Keselamatan ialah kombinasi proses kognitif atau minda yang berfikir berkaitan dengan risiko yang menjadi perlakuan terhadap soal keselamatan. Dua unsur penting dalam psikologi keselamatan iaitu realiti yang terdiri daripada risiko, keberkesanan dan tindakbalas. Semua ini adalah sesuatu yang boleh diukur dan dikira. Unsur kedua pula ialah perasaan, sesuatu yang abstrak, tetapi boleh diterjemah dengan perlakuan. Seringkali, keselamatan ini didagangkan dengan faktor ekonomi.

Sebagai contoh mudah, apabila kita membeli rumah; setelah mendapat kunci rumah, maka antara perkara pertama yang dibuat ialah, memasang jeriji keselamatan! Kemudian, jiran sebelah pula apabila terlihat akan pemasangan jeriji tersebut, maka dia akan menuruti tindakan yang sama, dan seterusnya. Tidak setakat itu, mungkin ada juga jiran kita yang kemudian memasang sistem keselamatan berkamera disamping pemasangan jeriji. Atau mungkin, atas keutuhan kejiranan, dan perkiraan keselamatan, khidmat pengawal keselamatan pula dilantik sebagai tindakan keselamatan dan pencegahan jenayah. Namun, sedar atau tidak, semua tindakan tersebut sebenarnya dipengaruhi secara kognitif dan psikologi dalam perkiraan keselamatan penduduk. Sedangkan, sejumlah duit (kewangan, ekonomi ataupun pelaburan) telah dibelanjakan untuk tujuan tersebut, ibarat sediakan payung sebelum hujan. Ini ada benarnya, tetapi rumah kita seolah terpenjara. Sehinggakan pihak bomba terpaksa menyediakan spesifikasi selamat bagi jeriji kerana terlalu banyak kes kebakaran yang berlaku, dan mangsa tidak dapat bertindak dengan cepat untuk keluar. Secara ringkas, psikologi keselamatan seringkali dikaitkan dengan bagaimana ketakutan, penilaian terhadap risiko dan kebimbangan diukur dan ditimbang menjadi faktor penolak terhadap kewujudan keselamatan.

Pemasangan jeriji di rumah, tindakan pencegahan atau risiko yang diambil kira. Ini dilakukan berdasarkan realiti seperti persekitaran rumah, kedudukan geografi rumah, atau kadar jenayah kawasan persekitaran. Begitu juga realiti keselamatan apabila sistem keselamatan berkamera telah dipasang, persoalan tentang keberkesanan sistem tersebut, atau perlu menambah kamera keselamatan lagi dan sebagainya. Semua ini terhasil apabila perasaan keselamatan terbina apabila, sebagai contoh, berlaku kes rompakan di kawasan kejiranan. Persepsi terhadap perilaku jiran membentuk psikologi terhadap soal keselamatan pemilik rumah. Dan ia sebenarnya boleh menjadi wabak dan berjangkit dari seorang pemilik kepada pemilik yang lain. Perasaan keselamatan tersebut juga boleh terhenti pada seseorang, yang merasakan dia tidak terancam walaupun realitinya risiko rompakan wujud. Perasaan keselamatan dan realiti keselamatan ini sebenarnya sebuah perdagangan!.

Dalam soal kes ingkar PKP, persoalan mengapa kes ingkar ini terus berlaku? Realitinya, ancaman terhadap keselamatan kesihatan dan nyawa wujud. Ia mudah tersebar, boleh wujud tanpa simptom, dan membawa maut. Hanya risiko yang berbeza. Dan risiko ini boleh diukur dengan pembolehubah yang ada. Umur, kluster, amalan kebersihan, sektor pekerjaan serta pelbagai lagi pembolehubah yang ada menjadi faktor risiko berbeza. Begitu juga, wujud realiti keselamatan apabila semua faktor diatas telah diambil tindakan pencegahan, persoalan tentang setakat mana tindakan pencegahan telah diambil menjadi realiti keselamatan. Psikologi keselamatan pula terbina apabila sebarang tangkapan, kejadian dan kes serta berita sampai kepada rakyat. Tidak hairanlah PKP ini dibuat secara berperingkat, dan hukuman juga dipertingkat. Maka akan ada rakyat berasa amat takut dan rasa tidak selamat, dan ada rakyat yang terus meletakkan kepercayaan kepada petugas keselamatan, dan ada yang terus tidak mengendahkan. Persepsi perasaan keselamatan ini berubah-ubah berdasarkan pengetahuan, kefahaman dan penerimaan rakyat terhadap risiko ancaman kesihatan atau nyawa. Paradoks ini sangat penting untuk dianalisa. Situasi diatas terhasil disebabkan oleh realiti keselamatan dan perasaan keselamatan.

Terdapat lima faktor mengapa kes ingkar PKP ini terus berlaku. Pertama, persepsi “Bukan Aku”, dimana meletakkan diri bukan sebahagian daripada kebarangkalian risiko. Kedua, sikap tidak ambil peduli, walaupun saban hari informasi telah diberi dari pelbagai media. Ketiga, ialah melihat isu keselamatan sesuatu yang abstrak, iaitu sesuatu yang tidak nampak, tidak konkrit dan berubah-ubah. Keempat, tindakbalas risiko hanya selepas menjadi mangsa pandemik, atau pesalah PKP. Dan kelima ialah dagangan keselamatan, iaitu berfikir PKP ini menyusahkan, membosankan, dan menyebabkan kehilangan pendapatan atau sumber ekonomi.

Psikologi keselamatan ini sangat penting dalam perang terhadap pandemik Covid 19 ini. Selain daripada penurunan kes-kes jangkitan, penurunan kes-kes ingkar terhadap PKP juga amat penting sebagai penanda aras perang ini. Kita telah melakukan yang terbaik setakat ini, dan usaha ini mesti diteruskan. Menjadi contoh negara lain adalah bonus dalam perang terhadap Covid 19. Bersempena Ramadhan ini, jadikan juga perang Covid 19 ini sebagai tarbiyyah ruhiyyah dalam memaknai hakikat insan.

Tuntasnya, psikologi keselamatan melibatkan dua perkara, iaitu realiti keselamatan dan perasaan keselamatan yang semuanya melibatkan soal risiko. Dan semua realiti dan perasaan keselamatan ini adalah dalam bentuk perdagangan. Dan peri pentingnya psikologi keselamatan dalam waktu pandemik, ia mempengaruhi keseluruhan mental dan perlakuan masyarakat.

 

Dr. Mohd Azmir Mohd Nizah (azmirnizah@usim.edu.my) adalah pensyarah Kanan di Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Teras dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia