Peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang drastik sejak akhir tahun lepas telah memaksa kerajaan meneruskan kesinambungan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) kepada rakyat Malaysia bermula awal tahun ini. Namun begitu, Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 ini bukanlah sesuatu yang ‘asing’ kerana setiap individu telah melaluinya dalam siri PKP yang lepas. Hakikatnya, perintah ini dilaksanakan kembali demi menjaga penularan virus yang berada pada aras yang membimbangkan sejak gelombang ketiga membadai pada September 2020.
. Bahkan hingga kini, Malaysia telah mencatat lebih dari 5 ribu kes untuk rekod kes harian dan mencatat jumlah kumulatif melebihi dari 200 ribu kes jangkitan. Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Menteri Kanan Keselamatan, PKP 2.0 kali ini memfokuskan kepada aspek kesihatan rakyat namun dalam masa yang sama kerajaan tidak akan mengabaikan kepentingan ekonomi tidak kira melalui syarikat berskala besar mahupun peniaga kecil. Ini bagi mengimbangi jurang kesihatan dan kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat yang memberi impak kepada kemerosotan isi rumah. Selain dari aspek ekonomi, pekerjaan dan kesihatan tubuh badan, sekiranya krisis berpanjangan dan perintah kuarantin kekal dalam jangkamasa lama, kebanyakan individu akan kembali bergelut dengan banyak ketidakpastian sepanjang tempoh mereka diasingkan yang membawa kepada masalah tekanan. Hal ini akan menyebabkan tahap kesihatan mental seseorang bertambah buruk. Malahan, ia juga boleh menimbulkan rasa bosan, kecewa, marah dan kesepian. Pemikiran negatif dengan isu berkaitan wabak COVID-19 yang tersebar dan meragut nyawa juga memburukkan lagi keadaan. Justeru, aras kesejahteraan dilihat mampu menjadi benteng kepada penurunan gejala dan tahap tekanan ini.
PKP 2.0 seharusnya perlu ditangani dengan baik disebabkan setiap individu telah bersedia dengan daya tindak yang dipelajari pada siri PKP yang lepas. Oleh yang demikian, ia seharusnya menjadi titik tolak kepada perancangan dan kendalian yang lebih baik dalam menghadapinya. Individu yang terlibat dengan PKP 2.0 dinasihatkan agar lebih peka terhadap aspek kesihatan mental mereka dan ahli keluarga, sekaligus untuk mengurangkan tekanan yang dialami. Setiap individu adalah disaran agar sentiasa menyuntik nilai optimis dalam diri. Hal ini kerana, individu yang optimis akan menjemput lebih banyak peristiwa positif dalam hidup yang membawa rasa tenang, kurang tertekan dan bahagia.
Secara umumnya, optimis ini adalah proses kognitif yang berlaku di dalam minda yang memberi impak kepada emosi dan tingkah laku seseorang, manakala magnet pula adalah daya tarikan yang berlaku. Ini kerana, minda ibarat magnet yang menarik apa sahaja yang seseorang itu fikirkan dan membawa kepada natijah yang bakal diperolehi. Secara definisinya, minda optimis bermaksud seseorang itu kerap mempunyai harapan, penilaian dan fikiran yang baik dalam menghadapi sesuatu perkara. Pengkaji bidang optimisme, menyatakan bahawa optimis adalah satu angkubah dalam diri seseorang yang mencerminkan sejauh mana individu itu berfikir tentang hal, perkara dan persepsi yang baik tentang sesuatu yang bakal berlaku. Dalam perspektif Islam pula, Imam al-Ghazali mentakrifkan optimis adalah kelapangan hati dalam menantikan hal yang diharapkan pada masa yang akan datang. Tahap optimis yang tinggi telah dikaitkan dengan kebahagiaan dan kesejahteraan kendiri yang lebih baik dalam menghadapi sebarang kesusahan atau kesukaran. Menjadi individu yang optimis di kala wabak COVID-19 yang semakin mengganas dan siri Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP 2.0 ini bukanlah sesuatu yang mudah, malah merupakan satu perkara yang mencabar setiap individu. Namun demikian, sekiranya seseorang itu mampu bersikap optimis, ia akan memberi pulangan yang berbaloi dan bermanfaat kepada individu tersebut dalam mencapai kesejahteraan dirinya.
Bagi individu yang sedang menjalani tempoh PKP 2.0 dengan tinggal berseorangan, mereka boleh menjadi optimis dengan menyusun kembali matlamat hidup yang ingin dicapai. Masa yang ada harus digunakan untuk merangka pelan tindakan dalam menghadapi wabak ini. Misalnya menyertai kursus-kursus persijilan tertentu ataupun mempelajari kemahiran baru secara dalam talian. Bagi kelompok ibu bapa pula yang perlu melaksanakan tugas pemantauan terhadap aktiviti seharian anak-anak termasuklah pembelajaran, mereka perlu menjadikan rumah sebagai ruang untuk segala aktiviti yang bermanfaat dilakukan. Meskipun keadaan ini merupakan cabaran terhadap ibu dan bapa bagi menyesuaikan kembali norma baharu dalam kehidupan seharian, tetapi ia perlu dijayakan bermula dengan menyemai nilai optimis dalam diri dan insan sekitar. Sikap optimis perlu dibangkitkan dalam minda untuk menjadi ‘perisai’ diri dari terjerumus dalam kancah emosi yang negatif. Di samping itu, saling memberi kata positif, berfikiran positif, menyebarkan aura positif dan menyokong antara satu sama lain di dalam rumah mahupun melalui platform media sosial boleh menjana sikap optimis dan seterusnya mencapai kebahagiaan diri.
Dalam tempoh fasa PKP 2.0 ini, individu hendaklah sentiasa memikirkan perkara yang baik dan positif sebagai langkah membentuk minda optimis. Ia boleh dilakukan dengan cara ‘menyuntik pemikiran’ optimis didalam minda misalnya memikirkan bahawa pandemik COVID-19 adalah wabak yang boleh diatasi sekiranya seseorang patuh kepada arahan SOP dalam tempoh PKP 2.0 dengan baik untuk menghindar diri serta masyarakat dari jangkitan wabak (berfikiran positif). Malah, tempoh PKP 2.0 adalah masa yang sesuai untuk aktiviti kekeluargaan dan fasa ‘bonding & engagement’ bersama ahli keluarga. Di samping itu, apabila seseorang berfikir tentang hikmah pandemik yang berlaku kepada diri, keluarga dan memenuhi aktiviti semasa norma baharu yang dijalani. Misalnya aspek membersihkan rumah secara gotong royong, aktiviti riadah dan aktiviti seharian dilakukan secara bersama sebagai teras amalan utama dan cara hidup. Minda juga harus sentiasa didahulukan dengan proses berfikir yang baik dahulu dan positifkan semula pemikiran atau skrip negatif yang muncul dalam kotak fikiran. Hal ini juga dapat mencipta jalan yang baik untuk diterokai, ruang serta peluang yang masih ada untuk dibuat semasa menjalani PKP 2.0. Bahkan, dengan melazimi cara berfikir dan bertutur yang baik, bersangka baik, mencari nilai yang baik untuk diteladani akan mendatangkan hal-hal yang baik dalam kehidupan
Pemikiran yang baik juga mencetuskan emosi positif dan tingkah laku yang membawa kepada kebaikan dan kesejahteraan diri. Oleh itu, sepanjang wabak COVID-19 melanda, individu, pekerja, pelajar, mahupun institusi keluarga perlu melakukan adaptasi dan tranformasi cara berfikir yang lebih baik mengoptimumkan aktiviti yang bermanfaat dan penggunaan ruang masa yang ada untuk keakraban dalam perhubungan sepanjang PKP bersama ahli keluarga yang sekian lama terlerai disebabkan kesibukan urusan bekerja dan belajar sebelum ini. Walaupun dalam menghadapi pelbagai tekanan psikologi ekoran kehilangan sumber pendapatan, pekerjaan, urusan kerja tergendala, namun ia bukan asbab untuk terus berpeluk tubuh dan membiarkan hari yang berlalu dengan tekanan kerana setiap manusia mampu membuat pilihan dan perubahan untuk menjana minda sihat bagi kesejahteraan diri dan orang lain.
Penulis: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).