Wabak Covid-19: Penyesuaian Kendiri terhadap Norma Baharu

Dr Abdul Rashid Bin Abdul Aziz @Dorashid

 

Pandemik Covid-19 yang sedang menular di Malaysia dan dunia menjadi mimpi ngeri kepada semua. Ini kerana, berpandukan statistik terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak Covid-19 telah mencatat lebih 3 juta kes dengan angka kematian 272,859 orang serta melibatkan 215 buah negara yang terjejas dijangkitinya. Di Malaysia wabak Covid-19 telah memberi dampak yang sangat besar kepada sistem politik, ekonomi, sosial, kesihatan, dan pendidikan negara. Malah, telah mengubah cara dan gaya hidup manusia termasuklah cara kebanyakan individu bekerja, bersosial, belajar, keluar membeli-belah dan melakukan aktiviti kehidupan yang lain.

Ekoran dari wabak yang berlaku ini, kerajaan Malaysia telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 bertujuan untuk memutuskan rantaian wabak dengan mengawal penularan virus. Ironinya, kewujudan norma baharu ini memberi kesan yang buruk terhadap aspek psikologikal sekiranya individu gagal membuat penyesuaian kendiri terhadap perubahan drastik tersebut. Justeru, apakah penyesuaian kendiri yang perlu dilakukan dalam kemelut yang sedang melanda kini?

Secara umumnya, setiap benda hidup dimuka bumi ini melalui proses penyesuaian dan adaptasi untuk memenuhi keperluan, mencapai kesejahteraan diri dan keamanan sejagat. Walaupun istilah penyesuaian dan adaptasi ini mempunyai perbezaan, namun seringkali digunakan dalam menggambarkan keadaan yang sama disebabkan wujud pertindihan dalam kedua takrif tersebut. Penyesuaian juga membantu makhluk untuk mencapai keperluan diri dan persekitaran untuk kelangsungan hidup (survival). Oleh itu, dapat difahami bahawa penyesuaian kendiri merujuk kepada proses seseorang beradaptasi dengan diri serta persekitaran dalam kehidupan bagi mencapai keperluan dan matlamat yang diharapkan.

Namun demikian, penyesuaian juga boleh membawa kepada gangguan psikologi dan bagaimanakah untuk kita menguruskan penyesuaian dengan baik agar beroleh manfaat dan bukannya mudarat. Hal ini kerana, penyesuaian bukanlah mekanisme baru terhadap sesuatu perubahan, bahkan individu seringkali dituntut untuk bersifat dinamik bagi setiap fasa kehidupan yang dilalui berhubungkait dengan penyesuaian kendiri dan persekitaran. Sejak lahir hingga melangkah ke alam kanak-kanak, remaja, transisi ke zaman sekolah, kolej dan universiti, memasuki alam pekerjaan, perkahwinan, bergelar ibu dan ayah hinggalah menghadapi setiap cabaran sepanjang hidup memerlukan individu membuat penyesuaian kendiri. Penyesuaian juga diperlukan apabila individu berhadapan dengan peristiwa, impak atau perubahan yang besar dalam hidup mereka seperti kehilangan dan kematian orang tersayang serta berhadapan penyakit kronik atau wabak sepertimana Covid-19. Natijahnya, penyesuaian boleh membawa kepada kesan buruk psikologi seperti tekanan, kebimbangan, murung, cemas, gagal mengawal kemarahan, kecelaruan minda dan masalah tingkahlaku sekiranya tidak diurus dengan baik.

Tuntasnya, impak penyesuaian kendiri yang baik terhasil berdasarkan beberapa indikator seperti keupayaan, sikap, dorongan, keinginan-matlamat, tabiat dan kefahaman individu. Dalam konteks wabak Covid-19, penyesuaian kendiri tetap berlaku sekiranya individu menerima mahupun menolak norma baharu. Secara ringkasnya, setiap individu melalui penyesuaian kendiri dalam dua fasa. Pertama adalah penyesuaian kendiri-dalaman (internal) iaitu individu membuat penyesuaian pada dirinya untuk memenuhi kehendak dan perubahan luaran bagi mencapai kesejahteraan diri. Ia melibatkan komponen sikap (meliputi elemen tingkahlaku diri, kognitif dan emosi). Kognitif merujuk kepada minda positif iaitu meletakkan persepsi dan pemikiran yang baik dan positif atas setiap dasar, perintah dan polisi yang ditetapkan oleh pihak kerajaan berhubung wabak Covid-19 yang beraspirasikan kesejahteraan sejagat. Sekiranya minda subur dengan elemen positif terhadap norma baharu sepanjang tempoh PKP ini, maka individu dapat melihat dan menetapkan sesuatu matlamat dengan jelas seterusnya melalui penyesuaian kendiri dengan baik waima halangan serta ujian mendatang. Misalnya dengan memahami konsep perubahan itu adalah lumrah kehidupan atau istilah ‘change is constant’ menjadikan individu menerima perubahan dengan berlapang dada.

Selain itu, penyesuaian melalui kawalan terhadap tingkahlaku diri dan emosi memainkan peranan penting dalam mengawal tindakan dan emosi menerusi strategi daya tindak yang betul. Misalnya apabila penjarakan fizikal dilaksanakan, individu masih boleh berinteraksi melalui media sosial dan talian, kebiasaan baharu tidak bersalaman pula diganti dengan ucapan lisan, memakai topeng muka (mask) sekiranya perlu dan arahan kerap mencuci tangan dipatuhi apabila individu berurusan dengan pihak lain bagi mencipta rasa selamat. Hal ini turut ditegaskan dalam Perutusan Khas sempena wabak Covid-19 oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia. Individu juga harus memastikan maklumat yang diperolehi adalah dari sumber sahih dan diperakui pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara. Ini bagi mengelakkan maklumat palsu yang berlegar di media sosial menimbulkan kebimbangan sekiranya individu gagal menyaring informasi yang tepat. Kawalan emosi yang baik juga dipengaruhi oleh elemen kognitif dan tingkahlaku diri ini bagi mencipta emosi positif seperti gembira, ceria, tenang dan seronok.

Penyesuaian kendiri-luaran (external) pula berhubungkait dengan faktor persekitaran yang berubah, sehubungan itu menuntut seseorang untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut. Misalnya dalam sektor pekerjaan, pendidikan dan juga aktiviti luar yang terhad mengundang proses penyesuaian persekitaran menerusi kaedah pembelian barang, pembelajaran dan khidmat secara atas talian (online platform). Peruntukan masa yang lebih panjang di rumah dan tiada lagi istilah melancong antara perkara yang menjadi norma baharu. Oleh itu, individu akan mengolah dan membuat penyesuaian dengan sumber yang mereka ada untuk memenuhi tuntutan persekitaran. Menariknya, rumah bukan lagi menjadi tempat untuk kita beristirehat apabila pulang bekerja, tetapi segala kegiatan dilakukan di rumah. Penyesuaian dengan persekitaran rumah sebagai ruang bekerja, belajar, aktiviti riadah keluarga dan beristirehat hendaklah dilakukan mengikut peranan dan fungsinya dalam mencapai keperluan individu atau bersama. Malah, proses ini boleh menjadi sesuatu yang menggembirakan sekiranya individu menetapkan matlamat diri dan ahli keluarga, seterusnya berusaha untuk mencapai matlamat tersebut. Misalnya membuat jadual harian di rumah, menggariskan fungsi kerja setiap isi rumah, melakukan aktiviti bersama, bersikap toleran dan mengambil berat sekaligus membina ikatan kemesraan (bonding) dalam perhubungan.

Kesimpulannya, norma baharu ini dapat dijalani dengan tenang dan memberi impak positif kepada setiap individu sekiranya penyesuaian kendiri dilakukan serta diurus dengan baik. Hal ini seterusnya menjamin fasa PKP berjalan lancar, sesuai dalam memaknai perumpamaan ‘A blessing in disguise’ iaitu sesuatu yang tampak buruk namun memberikan hikmah tersembunyi disebaliknya.

 

Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia