‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ adalah merupakan tema sambutan Ma’al Hijrah bagi tahun 1442H/2020M. Seperti yang telah diwar-warkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri dalam ucaptamanya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersempena Seminar Kebangsaan Penyelidikan Pengurusan Hal Ehwal Islam Di Malaysia pada 11 Ogos lalu, sambutan Maal Hijrah pada tahun ini akan dilaksanakan dalam skala yang kecil dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah  ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Hal ini merupakan salah satu langkah pencegahan penularan wabak Covid-19. Meskipun sambutan Ma’al Hijrah pada tahun ini berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, namun pengajaran dan iktibar dari peristiwa ini harus dijadikan contoh tauladan oleh setiap umat Islam di negara ini dalam berhadapan dengan kehidupan norma baharu Covid-19.  Pandemik Covid-19 yang melanda hingga kini bukan sahaja perlu dipulihkan dengan rawatan, bahkan anjakan besar dalam pola kehidupan perlu dilaksana bagi memastikan penurunan dalam jumlah kes penularan wabak ini. Rantaian kes yang diberi jolokan kluster ‘sivagangga’ dan ‘makcik gelang pink’ seharusnya tidak dipandang enteng bagi memastikan keselamatan sejagat dari virus pembunuh yang telah meragut jutaan nyawa. Perangkaan data terbaru Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan wabak yang mencetuskan masalah kesihatan awam dunia ini telah mencatat lebih dari 21 juta kes di seluruh dunia dan angka kematian sebanyak 763,390 orang. Malah ia melibatkan 216 buah negara yang terjejas berikutannya. Di Malaysia pula, wabak Covid-19 telah memberi kesan yang sangat besar kepada sistem politik, ekonomi, sosial, kesihatan, dan pendidikan negara. Impaknya juga turut melibatkan institusi keluarga sehinggalah kepada aspek kesejahteraan manusia. Persoalannya, apakah persediaan diri yang harus dibuat bagi bertahan dalam kemelut yang tidak berkesudahan ini?

Jika ditelusuri dari aspek makna, hijrah dan perubahan adalah sinonim dan saling melengkapi yang membawa makna pembaharuan kepada sesuatu keadaan, kehidupan mahupun diri manusia. Sama ada kita sedar atau tidak, kehidupan menuntut kepada perubahan dalam setiap fasa dan masa. Dalam ertikata lain, manusia perlu berhijrah dari sesuatu yang buruk kepada yang baik dan daripada yang baik kepada yang lebih baik. Takrif hijrah dari segi bahasa adalah perpindahan dan meninggalkan sesuatu tempat serta dalam konteks sejarahnya merujuk kepada perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah, namun dari perspektif lain hijrah juga membawa makna perubahan dalam perbuatan yang dikaitkan dengan transformasi diri ke arah kebaikan meliputi sistem kepercayaan, pemikiran dan tindakan yang bersepadu atau JERI (Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek). Perubahan diri secara holistik ini juga melibatkan unsur keimanan yang akhirnya membawa kepada keadaan diri yang lebih baik atau kesejahteraan diri.

Norma baharu ini sememangnya menuntut kepada hijrah dalam kehidupan. Hijrah disini merujuk kepada perubahan atau transformasi diri bertepatan dengan konsep ‘Taghyir al-Nufus’ di dalam Islam iaitu perubahan nilai kepercayaan, cara pemikiran dan perbuatan dalam bekerja ke arah yang lebih baik. Oleh yang demikian setiap ujian serta musibah yang melanda dalam fasa wabak ini hendaklah diambil ibrah dari sudut hikmah, tauladan dan pedoman darinya. Untuk tujuan itu, perubahan hendaklah meliputi aspek fizikal (jasmani), mental (pemikiran), spiritual (rohani) yang akhirnya memberi kesan kepada emosi yang tenang dan sejahtera. Hal ini hanya berjaya digarap sekiranya manusia sedar bahawa disebalik ujian yang melanda ini bukanlah penamat kepada suatu jalan mati atau titik noktah dalam kehidupan, tetapi dijadikan sebagai wadah permulaan untuk perubahan dalam diri ke arah yang lebih baik dan lebih dekat kepada Allah SWT.

 Secara realitinya, sepanjang tempoh penularan wabak Covid-19 hinggalah kepada transisi fasa norma baharu, corak dan gaya hidup setiap dari kita mengalami perubahan yang besar. Impak dari Covid-19 ini menyebabkan rata-rata individu telah meluangkan masa di rumah bersama keluarga. Maka sebaiknya masa yang panjang ini digunakan dengan aktiviti bermanfaat untuk seisi keluarga. Pada masa ini ayah dan ibu dapat memantau kegiatan, perkembangan dan tingkah laku anak-anak mereka, manakala pasangan suami dan isteri dapat meluangkan masa bersama untuk memperbaiki hubungan yang sedia ada agar menjadi lebih baik. Tuntasnya, setiap yang berlaku ini, memerlukan individu melakukan proses penghijrahan dalam menyesuaikan diri dengan keadaan norma baharu. Implikasi dari hijrah ini juga dapat dilihat dari aspek pemantapan iman di mana rasa redha dengan ketentuan Allah swt dapat dipupuk, di ajar dan seterusnya membolehkan individu bertahan dengan segala cabaran yang datang dengan penuh keazaman dan keyakinan. Bahkan sunnah dan keperibadian Rasululah SAW dalam baginda berhadapan dengan ujian dijadikan sebagai contoh tauladan yang praktikal. Ini kerana, Rasulullah SAW adalah qudwah hasanah iaitu suri teladan yang terbaik buat kita semua contohi,

Konklusinya, cabaran yang bertali arus dari wabak Covid-19 ini menjadi asas kukuh kepada pembentukan kekuatan diri yang mantap, tahan diuji (daya ketahanan) dan tabah menempuh arus perubahan. Seharusnya setiap individu, mengambil ikhtibar dan pengajaran dari apa yang berlaku sepanjang kehadiran wabak Covid-19 ini dan berusaha menghayati serta mempraktikkan konsep hijrah seperti yang dituntut dalam Islam. Hal ini menjadikan umat Islam sebagai individu yang memiliki jati diri yang tinggi dan tidak mudah terkesan dengan apa jua keadaan atau musibah yang berlaku. Ia seterusnya menjadikan Islam yang merupakan agama syumul akan sentiasa dipandang tinggi dan disanjung dek kerana sahsiah dan keperibadian yang tinggi dalam setiap penganutnya.

Penulis: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz @Dorashid, adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia