KREDIBILITI MEDIA ARUS PERDANA ELAK BERITA PALSU

Dr Hizral Tazzif Hisham

Isu kredibiliti dan berita palsu adalah dua isu hangat yang melingkari media sosial hingga ia mencapai tahap serius. Berita palsu ialah berita yang tidak mempunyai sumber atau sumber berkenaan amat meragukan kepada pembaca. Misalnya sumber berita itu memetik kata kata seorang tukang masak untuk menceritakan fakta mengenai COVID 19. Bukankah itu meragukan lainlah kalau beliau menceritakan pengalaman beliau menghadapi penyakit COVID 19.

Atau kategori berita palsu ialah berita tidak mempunyai sumber. Misalnya, Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan tetapi berita itu tiada sumber. Yang kedua sumber itu perlu dinyatakan atau digambarkan. Misalnya gambar mugshot mengenai Ketua Polis Nilai. Gambar mugshot merujuk kepada gambar saiz passport individu yang dinayatakan dalam passport berkenaan.

Sejak kemunculan media sosial ini, ia membuka peluang seluas-luasnya kepada rakyat Malaysia untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku di dalam hati, memberikan pendapat dan maklum balas terhadap sebarang polisi kerajaan dan pelbagai macam lagi.

Tambahan pula sekarang, penggunaan media sosial bukan lagi terhad di komputer atau laptop malah sudah menjangkau kepada telefon pintar. Ini menyebabkan kepantasan penyebaran berita berkenaan tidak dapat ditandingi berita media tradisional yang siarannya perlu mengikut jadual (penyiaran) dan lambat (akhbar yang perlu menunggu keesokan hari untuk mengetahui berita berkenaan).

Berdasarkan rangkaian media sosial yang meluas dan dapat melaporkan peristiwa yang berlaku secara masa nyata (real time) maka banyak lah berita yang diviralkan tidak memeiliki pengesahan kesahihan maklumat berkenaan.

Bagi mengelakkan pengguna terkeliru mengenai berita yang disalurkan kepada pengguna, kerajaan sudah menyediakan laman web berita benar untuk menyemak kesahihan maklumat yang disalurkan. Ini antara langkah proaktif kerajaan bagi menangani penyebaran berita palsu.

Sikap sebahagian besar netizen yang gemar memviralkan apa yang mereka peroleh daripada teman mereka tanpa menyemak kesahihan maklumat berkenaan menambah parah lagi keadaan. Mereka seharusnya menyemak dahulu kandungan berkenaan sebelum menyebarnya dan ini akan dapat membantu mengurangkan penyebaran berita palsu.

Walaupun media arus perdana semakin kurang diminati golongan muda namun satu perkara yang tidak boleh dinafikan iaitu media arus perdana mempunyai mekanisme untuk menyemak dan mengesahkan maklumat berkenaan sebelum is disiarkan. Misalnya Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan memeriksa setiap maklumat yang diterima, menapis dan mengesahkan maklumat berkenaan dengan menalipon sumber maklumat bagi tujuan pengesahan.

Selain daripada itu, kerajaan boleh memanfaatkan teknik pengredan maklumat berasaskan Sistem Admiraliti iaitu penggunaan huruf A hingga F dan nombor 1 hingga 6 sebagai kaedah untuk mengetahui sama ada maklumat yang diterima itu benar atau palsu.

Misalnya huruf A mewakili kesahihan maklumat berkenaan yang mana ia boleh dipercayai sepenuhnya dan nombor 1 mengesahkannya. Ini boleh digunakan dengan menggredkan maklumat yang disebarkan oleh media sosial. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga boleh menyenaraikan blog yang telah digredkan kebolehpercayaan maklumat yang disalurkan.

Walaupun tidak boleh dilaksanakan sepenuhnya kepada media sosial lain seperti FB, Twitter, IG dan sebagainya, namun sekurang-kurangnya ia dapat memberi panduan kepada pengguna blog mana yang dipercayai maklumatnya.

Selebihnya pengguna perlu menggunakan ilmu dan pemikiran mereka, termasuk menyemak dengan pelbagai sumber kesahihan berkenaan.

Maklumat amat berguna kepada rakyat Malaysia bagi membuat keputusan tepat terhadap sesuatu perkara namun kebanjiran maklumat yang mengelirukan akan menyebabkan rakyat Malaysia tidak dapat membuat keputusan sewajarnya akan akhirnya merugikan negara.

 

Penulis ialah Pensyarah Kanan Program Komunikasi Media Baharu Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM dengan pengkhususan dalam bidang media baharu, media tradisional dan filem.