BEKERJA DENGAN HATI

Pengalaman menjalankan latihan industri di salah satu pesantren terkenal di Indonesia telah memberi kami peluang melihat dan merasai sendiri pengalaman serta budaya kerja sesuatu organisasi atau institusi di negara tersebut. Peluang ini amat berharga untuk kami menimba ilmu dan pengalaman baru serta mendalami budaya kerja positif masyarakat luar yang boleh dijadikan contoh apabila memasuki alam pekerjaan kelak.

Kami menjalani latihan industri di Pondok Pesantren Darunnajah 14 yang merupakan pondok pesantren cawangan yang ke 14 dibawah Yayasan Darunnajah Ulujami. Terletak di Banten, Indonesia, pesantren ini menempatkan sekurang-kurangnya 200 orang pelajar dari tahap Pendidikan awal kanak-kanak sehingga Pendidikan menengah atas.

Seperti organisasi pesantren yang lain di Indonesia, pondok pesantren ini mempunyai penjanaan kewangan yang efektif hasil daripada kebijaksanaan dan kreativiti daripada pihak tenaga pengajar yang menggembleng tenaga dan idea mereka dalam usaha meningkatkan pembangunan organisasi. Ini menjadikan Pondok Pesantren Darunnajah antara yang terbaik di Indonesia. Aktiviti yang dijadikan sebagai sumber penjanaan kewangan sampingan yang terdapat di organisasi tersebut ialah pemeliharaan ikan keli di kolam sendiri,‘guest house’ dan pendapatan dari sumber tanaman mereka sendiri seperti penanaman pokok durian, rambutan, duku, pokok jering dan sebagainya. Hasil daripada sumber ini dijadikan sebagai sumber untuk mereka membuat penambahbaikan kepada pembangunan dan perkembangan organisasi tersebut.

Budaya kerja yang sangat kami kagumi sepanjang pemerhatian kami di sini adalah sikap keikhlasan dalam diri individu yang wujud secara semulajadi tanpa perlu dibuat-buat atau dipaksa. Konsep dan etika kerja ini diamalkan oleh semua guru-guru yang bertugas di Darunnajah Nurul Ilmi ini. Selain memikul tanggungjawab sebagai pendidik dipesantren, kebanyakan guru-guru di sini banyak mengisi masa mereka dengan melakukan kerja-kerja bakti untuk pesantren seperti menolong dalam kerja-kerja pembagunan, menjalankan usaha kecil-kecilan seperti menternak ikan, bercucuk tanam dan aktiviti yang bermanfaat lainnya. Sikap positif yang kami lihat ini amat bertepatan dengan firman Allah SWT iaitu:

Allah berfirman: “Jika kamu berbuat kebaikan (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan ialah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan maka (kesan yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” -Surah al-Isra’, ayat 7

Setiap titik peluh dari kerja amal yang diberikan oleh para guru kepada pondok pesantren ini bih dikenali sebagai “Hikmah Pondok”. Ia dianggap sebagai bakti mereka tanpa mengharapkan apa-apa balasan dari mana-mana pihak selagi mana dapat memberikan kebaikan terutama untuk kemaslahatan semua warga pondok pesantren.

Semangat kekitaan, kerjasama dan kekeluargaan di Pondok Pesantren Darunnajah 14 ini juga cukup luar biasa. Sesiapa sahaja yang melangkah masuk dalam kawasan sekolah ini dianggap seperti keluarga sendiri, tidak kira sama ada pelajar, guru, ibu bapa, pekerja sokongan dan lain-lain. Sikap mereka yang sentiasa bekerjasama dengan baik dalam hal-hal berkaitan perkembangan pondok sangat menarik perhatian sesiapa sahaja yang berada disekeliling mereka. Bayangkan, gelanggang permainan dapat disiapkan dalam masa kurang seminggu dengan bantuan guru-guru dan bantuan pelajar-pelajar disana.

Impian kami untuk bersama-sama dengan keluarga Daunnajah 14 dan belajar lebih banyak budaya kerja disana terhalang apabila kami terpaksa menamatkan program latihan industri lebih awal akibat pendemic covid-19 yang melanda negara-negara seluruh dunia. Besar harapan kami untuk dapat menjejakkan kaki lagi ke pondok barokah Darunnajah Nurul Ilmi 14.

 

Artikel ini ditulis oleh Salamiah binti Abdul Hamid, Nur Syafiqah Binti Mustafa Azimi dan Nor Azrina Binti Brahim. Mereka adalah pelajar tahun 4 Program Da’wah dan Pengurusan Islam dan telah menamatkan Latihan Industri di Banten, Indonesia.