Rumah Hantu Uji Ketahanan Mental

//Rumah Hantu Uji Ketahanan Mental

 

Oleh: Norussalihah Halim (TBA 5)

NILAI, 14 Nov – Elemen seram dan mendebarkan yang dibawa oleh rumah hantu anjuran mahasiswa kursus komunikasi sempena Festival Komunikasi (COMMFEST) 2018 cukup untuk menguji ketahanan mental pengunjung yang hadir.

Selain dari solekan yang realistik seakan hantu sebenar, pelbagai watak hantu seperti pocong, zombie dan hantu raya menjadi tarikan rumah hantu yang bertempat di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Saya tidak menyangka watak hantu yang dilakonkan oleh kami berkesan sehingga ada pengunjung yang masuk ke rumah hantu ini pengsan kerana lemah semangat,” kata Najmie Zulkifli, antara salah seorang yang memegang watak zombie.

Tambahnya lagi, mereka menerima pelbagai gelagat pengunjung yang mencuit hati kerana terkejut sehingga menendang muka dan mengejek hantu-hantu tersebut.

“Saya berasa puas hati kerana konsep rumah hantu anjuran kali pertama di USIM ini telah memberi pengalaman yang cukup mendebarkan melebihi daripada jangkaan saya,” kata Arif Aiman Faizi, 25, ketika berkongsi pengalamannya di dalam rumah hantu.

“Aktiviti hiburan seperti rumah hantu ini juga boleh dilaksanakan lagi pada masa akan datang kerana memberi peluang kepada mahasiswa untuk bersantai dan meluangkan masa bersama rakan-rakan,” katanya lagi.

Luqman Mohd Asri, 21, ahli jawatankuasa rumah hantu, menyatakan bahawa dengan peruntukan RM300 untuk melaksanakan rumah hantu ini, mereka memperolehi keuntungan yang lumayan daripada mahasiswa dan juga pensyarah USIM sehingga mencecah RM800 sehari iaitu bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

2019-01-01T22:48:52+00:00