NILAI, 6 Oktober 2026 – Tiga mahasiswa tahun akhir Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), mencipta pengalaman antarabangsa apabila diberi peluang mengikuti Program Pertukaran Pelajar di Universitas Islam Negeri Sultan Maulana Hasanuddin Banten (UIN Banten), Indonesia dengan tajaan penuh pada 20 hingga 26 September 2026.
Program tersebut melibatkan mahasiswa daripada tiga program pengajian di FKP, iaitu Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Program Komunikasi dan Program Kaunseling, sekali gus memberi ruang kepada mahasiswa untuk memperluas pengalaman akademik, memahami budaya masyarakat setempat serta membina jaringan antarabangsa.

Menurut Dekan Fakultas Dakwah UIN Banten, Prof. Dr. H. Endad Musaddad, penganjuran program pertukaran pelajar tersebut bertujuan memperkenalkan UIN Banten kepada pelajar antarabangsa selain memberi pendedahan kepada mereka mengenai pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di institusi berkenaan.
“Program ini juga penting dalam memperluas jaringan dan hubungan kerjasama antara UIN Banten dengan universiti luar negara. Melalui interaksi secara langsung, mahasiswa bukan sahaja dapat bertukar pengalaman akademik, malah dapat mengenali budaya dan kehidupan masyarakat di negara lain,” katanya.
Sepanjang berada di UIN Banten, mahasiswa FKP menyertai pelbagai aktiviti akademik, kebudayaan dan kemasyarakatan, antaranya lawatan kampus, aktiviti sit-in class, khidmat masyarakat di Desa Cisimeut Raya dan Tanah Ulayat Masyarakat Baduy, persembahan kebudayaan serta kunjungan ke pesantren.
Penglibatan dalam aktiviti tersebut memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di universiti dalam konteks masyarakat sebenar, di samping meningkatkan kemahiran komunikasi, kebolehsuaian budaya, kerja berpasukan dan keyakinan berinteraksi dalam persekitaran antarabangsa.
Bagi Nur Athirah Ariyana binti Sufian, peluang mengikuti program berkenaan merupakan pengalaman yang sangat bermakna, khususnya kerana ia merupakan kali pertama beliau menjejakkan kaki ke Indonesia.
“Setelah hampir empat tahun belajar di USIM, peluang untuk mengikuti program sebegini telah membuka minda saya tentang cara pembelajaran di tempat lain. Selain itu, mengunjungi pesantren juga merupakan pengalaman baharu kerana banyak perkara yang dapat saya kongsikan kepada adik-adik di sana dan mempraktikkan semula apa yang telah saya pelajari di USIM,” katanya.
Sementara itu, Dekan FKP USIM, Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, menyifatkan peluang tersebut sebagai satu pengalaman berharga yang wajar dimanfaatkan oleh mahasiswa dalam membina keupayaan diri serta perspektif global.
“Mahasiswa FKP perlu menghargai dan memanfaatkan peluang seperti ini kerana pengalaman antarabangsa bukan sahaja memberikan pendedahan kepada mereka terhadap sistem pendidikan dan budaya yang berbeza, tetapi turut membantu membina keyakinan, kematangan serta jaringan profesional.
“Saya amat menghargai pihak pengurusan UIN Banten yang telah memberikan peluang dan tajaan kepada mahasiswa FKP untuk mengikuti program pertukaran pelajar ini. Kerjasama seperti ini perlu terus diperkukuh bagi membuka lebih banyak ruang mobiliti dan kolaborasi antarabangsa kepada mahasiswa pada masa akan datang,” katanya.
Penyertaan mahasiswa FKP dalam program tersebut turut memperlihatkan komitmen USIM dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi melalui peluang mobiliti, pertukaran ilmu dan pengalaman rentas budaya.
Selain memberi manfaat kepada mahasiswa dari aspek akademik dan pembangunan kendiri, program seperti ini turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan institusi antara USIM dan UIN Banten serta meneroka peluang kerjasama yang lebih luas dalam bidang pendidikan, penyelidikan, penerbitan dan mobiliti mahasiswa pada masa akan datang.
Tiga mahasiswa yang terpilih ialah Nur Athirah Ariyana binti Sufian daripada Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Nor Hidayah Sayuti daripada Program Komunikasi dan Nur Fatin Aqilah binti Mohd Kazri daripada Program Kaunseling.
![]() |
![]() |
|---|---|
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |





