NILAI, 21 Julai – Mahasiswa Tahun 3 Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengharumkan nama universiti apabila berjaya meraih beberapa pengiktirafan menerusi penyertaan dalam dua program mobiliti antarabangsa di Indonesia pada Semester Akademik A251.

Melalui penyertaan dalam International Study Excursion 2026 yang berlangsung pada 13 hingga 17 Mei lalu, mahasiswa Komunikasi berjaya membawa pulang Anugerah Kertas Penyelidikan Terbaik (Best Paper Award) sempena International Conference on Emerging New Media and Social Sciences (ICEMSS 2026).

Sementara itu, penyertaan dalam program Find Your Roots 2026 yang diadakan pada 14 hingga 17 Julai lalu turut membuahkan kejayaan apabila mahasiswa USIM memenangi Anugerah Peserta Mobiliti Terbaik, Anugerah Projek Video Berkumpulan Terbaik, dan Anugerah Pasukan Terbaik.

Kejayaan ini membuktikan bahawa penyertaan dalam program mobiliti antarabangsa bukan sahaja meningkatkan kecemerlangan akademik mahasiswa, malah memperkukuh kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan serta memberi pendedahan kepada kepelbagaian budaya dan sejarah Indonesia sebagai sebuah negara kepulauan.

Salah seorang peserta program, Saudara Aiman Zakwan, berkata penyertaan tersebut merupakan pengalaman pertamanya mengikuti program mobiliti antarabangsa dan telah membuka ruang untuk mempelajari pelbagai ilmu baharu serta memahami budaya masyarakat Indonesia dengan lebih dekat.

“Saya berpeluang mempelajari pelbagai ilmu baharu selain mengenali budaya masyarakat Indonesia, termasuk makanan tradisional, bahasa dan sejarah di setiap lokasi yang kami lawati. Pengalaman tinggal bersama keluarga angkat di Kampung Edukasi Duren Sari merupakan kenangan yang paling bermakna kerana bukan sekadar memberi peluang mengikuti pembelajaran di dalam kelas, malah interaksi bersama penduduk kampung melalui aktiviti khidmat komuniti memberikan pengalaman yang amat bernilai,” katanya.

Pensyarah pengiring program, Dr. Fauziah Hassan pula berkata, penyertaan mahasiswa dalam program mobiliti antarabangsa perlu terus diperkasakan kerana ia mampu membentuk keyakinan diri, meningkatkan kemahiran insaniah serta melahirkan graduan yang lebih kompetitif di peringkat global.

“Harapan saya adalah untuk memberi peluang kepada lebih ramai mahasiswa menyertai program seumpama ini. Walaupun terdapat pelbagai cabaran, saya akan terus berusaha membantu dan memberi keyakinan kepada mahasiswa agar berani merebut peluang pembelajaran di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd. Jailani berkata, program mobiliti antarabangsa memberikan impak yang besar terhadap pembangunan sahsiah dan kompetensi mahasiswa melalui pengalaman pembelajaran merentas budaya.

“Saya sentiasa menyokong program yang memberi nilai tambah kepada mahasiswa supaya mereka dapat memanfaatkan tempoh pengajian di universiti dengan pengalaman pembelajaran antarabangsa yang mampu membentuk perspektif global dan meningkatkan daya saing mereka,” katanya.

Kedua-dua program tersebut merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara USIM dengan Universitas Muhammadiyah Sidoarjo dan Universitas Muhammadiyah Surakarta melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai dan ini menunjukkan kerjasama aktif yang membuktikan komitmen kedua-dua institusi dalam memperkukuh jaringan akademik antarabangsa, memperluaskan peluang mobiliti pelajar serta memperkasakan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi.

Kedua-dua program ini iaitu International Study Excursion (ISE) 2026 dan Find Your Roots 2026, yang masing-masing dianjurkan oleh Universitas Muhammadiyah Sidoarjo (UMSIDA) dan Universitas Muhammadiyah Surakarta (UMS), Indonesia.