Internet Scammer atau penipu di laman maya adalah individu atau kumpulan yang menggunakan internet untuk melakukan aktiviti penipuan. Mereka menggunakan pelbagai taktik untuk menipu orang, seperti emel phishing, laman web palsu, dan kejuruteraan sosial. Di Malaysia, penipuan termasuk penipuan jualan dalam talian, penipuan perdagangan dalam talian, penipuan Afrika, penipuan Macau, penipuan Emel Perniagaan Terjejas (Business Email Compromised– BEC), pinjaman palsu, dan penipuan SMS. Modus operandi scammer ini berbeza bergantung kepada jenis penipuan. Sebagai contoh, sesetengah scammer menggunakan laman web dan aplikasi pelaburan palsu untuk menarik mangsa ke dalam pelaburan palsu. Lain-lain kaedah adalah menggunakan emel phishing dan mesej untuk menipu orang supaya mendedahkan maklumat peribadi mereka, seperti butiran akaun bank dan kata laluan. Scammer juga boleh menyamar sebagai kakitangan perkhidmatan pelanggan untuk mendapatkan kepercayaan mangsa mereka.
Menurut statistik dilaporkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes penipuan dalam talian di Malaysia meningkat dalam beberapa tahun terakhir. Pada tahun 2019 misalnya, terdapat 13,703 kes dilaporkan, dengan kerugian sebanyak RM539 juta. Tahun berikutnya, jumlah kes meningkat kepada 17,227 dengan kerugian sebanyak RM511.2 juta. Pada tahun 2021, terdapat 20,701 kes yang didaftarkan dengan kerugian sebanyak RM560.8 juta. Antara Januari dan Julai tahun ini saja, 12,092 kes dilaporkan dengan kerugian sebanyak RM414.8 juta.
Dalam satu laporan pada awal bulan ini, Malaysia disenaraikan di tangga kelapan dalam kalangan 11 negara ASEAN berhubung tahap keyakinan dalam mengenal pasti cubaan jenayah penipuan dalam talian. Dapatan itu terkandung dalam Laporan ‘Scam Asia 2023’ terbitan ‘Global Anti-Scam Alliance’ (GASA) dan Gogolook, pengendali aplikasi ‘Whoscall Malaysia’ bertujuan membanteras jenayah komersial yang membolehkan pengguna mengetahui identiti pemanggil dan mengenal pasti nombor disyaki scammer‘.
Malaysia mempunyai beberapa undang-undang untuk melindungi warganya daripada scammer di internet. Ini termasuk Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Kanun Keseksaan, Akta Hakcipta 1987, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Perdagangan Strategik 2010, dan Akta Hasutan 1948. Akta Jenayah Komputer 1997 adalah undang-undang khusus pertama yang dikuatkuasakan di Malaysia untuk menangani jenayah siber. Ia menjadikan pelbagai kesalahan siber seperti penjenayah, penyebaran virus komputer, dan komunikasi yang tidak sah bagi sesiapa yang mencuba mengakses komputer oleh orang yang tidak dibenarkan sebagai jenayah.
Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 misalnya, mengawal pemprosesan data peribadi dalam urus niaga komersial dan memberi hak kepada individu untuk mengawal data peribadi mereka. Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengawal industri komunikasi dan multimedia di Malaysia dan menyediakan penubuhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). MCMC bertanggungjawab untuk menguatkuasakan peruntukan undang-undang dan melindungi kepentingan pengguna.
Begitu pun, tanggungjawab untuk melindungi diri daripada jenayah siber oleh scammer ini terletak kepada masyarakat sepanjang menggunakan internet. Masyarakat boleh mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memilih kemaskini perisian automatik untuk memastikan peranti mereka dilindungi daripada jenayah siber. Masyarakat juga boleh menggunakan kata laluan yang kuat dan pengesahan dua faktor untuk melindungi akaun mereka.
Selain itu, semua pihak harus berhati-hati terhadap emel phishing dan mesej, dan elakkan dari mengklik pautan yang mencurigakan. Gunakan rangkaian peribadi maya (VPN) apabila mengakses rangkaian Wi-Fi awam dan elakkan daripada berkongsi maklumat peribadi dalam talian, terutama di platform media sosial. Masyarakat harus memantau secara berkala akaun bank dan laporan kredit mereka untuk sebarang aktiviti mencurigakan.
Begitu juga dengan usaha perlindungan siber dalam kalangan masyarakat yang mungkin memerlukan sedikit perbelanjaan seperti penggunaan perisian antivirus dan firewall untuk melindungi peranti daripada perisian berbahaya dan ancaman siber lain. Seterusnya, kita semua harus memantapkan pengetahuan dan pendidikan berkaitan ancaman siber terkini dan kekal maklum tentang amalan terbaik untuk melindungi peranti dan maklumat peribadi di alam maya.
Oleh itu, sebagai seorang Muslim kita semua hendaklah menjadi pengguna internet yang pintar dan jangan kita semua mudah mempercayai dan terpengaruh dengan janji dan ganjaran palsu yang terdapat di media sosial tanpa diselidiki dahulu kebenarannya. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hujraat ayat 6 :Maksudnya;”Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya”.
Balasan dan azab di sisi Allah SWT bagi orang yang suka menipu ini sangat pedih di hari akhirat kelak. Sekalipun orang yang suka menipu itu sentiasa merahsiakan sifat buruknya, Allah selaku Zat Yang Maha Tahu akan membongkar segala penipuan yang telah dilakukannya di dunia dan di hari akhirat kelak. Rasulullah S.A.W. bersabda; Ertinya;“Wahai Ka’ab bin ‘Ujroh, sesungguhnya setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya.(Riwayat Imam Al-Tirmizi).
Jelas kepada kita semua bahawa Islam mengharamkan semua jenis bentuk penipuan, sama ada penipuan itu berlaku secara berhadapan atau pun di dalam internet. Sebagai seorang Muslim yang mengaku beriman kita hendaklah menjadi hamba Allah yang cerdas serta berhati-hati ketika berurusan dengan mana-mana individu secara dalam talian. Jika kita pernah ditipu oleh seseorang, maka kita lebih patut berhati-hati supaya tidak ditipu lagi buat kali yang kedua, kerana seorang Mukmin yang cerdik adalah seorang yang belajar dari kesilapan yang pernah dilakukannya.
Kalau kita belum pernah ditipu, kita tetap pernah mendengar atau melihat pihak lain yang ditipu. Jangan sampai penipuan berulang kali terkena kepada masyarakat satu demi satu. Kita semua hendaklah mengambil pengajaran dari kes penipuan yang menimpa orang lain. Nabi SAW bersabda dalam satu hadis : Ertinya;“Tidaklah seorang yang beriman itu akan disengat (oleh sesuatu yang berbisa) dari lubang yang sama buat kali yang kedua”. (Riwayat Al-Bukhari).
Penulis :
Prof. Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor, |
---|