Nilai, 24 Jun 2026 – Seramai 125 orang pelajar Tahun 3 Program Da’wah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), telah berjaya menyertai program Da’wah Strategy Management in Southeast Asia: Insights from Singapore yang berlangsung di DKF 1.2 FKP pada jam 2.30 hingga 5.00 petang. Program ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada kursus Da’wah Strategy and Planning serta Islam in Southeast Asia.

Program ini turut dihadiri oleh para pensyarah iaitu Prof. Dato’ Dr. Zulkiple Abd Ghani, Dr. Muhammad Hashim, Dr. Saleha Idris, dan Dr. Suhailiza Md. Hamdani bagi menyokong pelaksanaan program tersebut.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Program, Dr. Nik Suhaida Nik Abdul Majid, yang turut memperkenalkan penceramah jemputan, Ustaz Mohd Shahrul Faizie bin Zaini, selaku Penerbit Kanan (Da’wah) Jamiyah Singapore. Beliau merupakan bekas Penolong Penerbit dan Pengacara TV AlHijrah serta alumni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menerima Pingat Jaya Cemerlang Anugerah Pelajaran Diraja pada tahun 2011. Selain itu, beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Presiden PMFKP dan DIMAC bagi sesi 2010/2011.

Program ini bertujuan memberikan pendedahan yang lebih mendalam mengenai pelaksanaan da’wah dalam konteks negara yang mempunyai masyarakat Islam sebagai golongan minoriti, khususnya di Singapura. Sepanjang sesi perkongsian, penceramah menghuraikan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pendakwah di negara tersebut, di samping menjelaskan pendekatan strategik yang dilaksanakan oleh Jamiyah Singapore dalam memastikan usaha da’wah terus berkembang secara berkesan.

Antara cabaran utama yang diketengahkan ialah kekangan undang-undang serta dasar kerajaan Singapura yang menetapkan bahawa pendakwah tidak dibenarkan menyentuh isu politik atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung sensitiviti penganut agama lain. Pendekatan ini bertujuan memastikan keharmonian masyarakat majmuk sentiasa terpelihara.

Selain itu, ruang dakwah di kawasan awam juga agak terhad berikutan pelaksanaan dasar sekular negara tersebut. Pendakwah dan sukarelawan tidak dibenarkan menjalankan aktiviti dakwah secara terbuka seperti Street Da’wah yang lazim dilaksanakan di Malaysia. Hal ini kerana Singapura mengamalkan konsep negara sekular yang tidak menjadikan mana-mana agama sebagai agama rasmi, sekali gus mengekalkan sikap neutral terhadap semua agama.

Penceramah turut menjelaskan bahawa kerajaan Singapura melaksanakan proses tapisan yang ketat terhadap pendakwah luar negara sebelum mereka dibenarkan menyampaikan ceramah atau kuliah. Antara aspek yang dinilai termasuk latar belakang penceramah serta penglibatan mereka dalam isu-isu sensitif seperti politik.

Dalam masa yang sama, Ustaz Mohd Shahrul Faizie turut berkongsi beberapa strategi dakwah yang dilaksanakan oleh Jamiyah Singapore bagi menghadapi cabaran tersebut. Antara pendekatan utama ialah memperkukuhkan aspek pendidikan melalui pelbagai kelas dan program pengajian Islam yang dijalankan di pusat Jamiyah. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap ajaran Islam serta melahirkan individu yang memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh.

Selain pendidikan, Jamiyah Singapore juga aktif melaksanakan perkhidmatan masyarakat yang tidak hanya tertumpu di masjid, malah diperluaskan melalui pelbagai inisiatif kebajikan seperti penyediaan Food Bank bagi membantu golongan yang memerlukan. Bantuan ini disalurkan tanpa mengira latar belakang agama atau kaum, melibatkan masyarakat Islam dan bukan Islam. Pendekatan ini memperlihatkan pelaksanaan dakwah secara bil hal, iaitu menyampaikan mesej Islam melalui amalan kebajikan dan khidmat kepada masyarakat, sekali gus memperkukuhkan imej Islam sebagai agama yang menitikberatkan nilai kasih sayang, kebajikan dan perpaduan.

Program diteruskan dengan sesi soal jawab yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar. Pelbagai persoalan berkaitan situasi dakwah, kehidupan masyarakat Islam dan pengalaman berdakwah di Singapura berjaya dijawab dengan jelas oleh penceramah. Sebagai tanda penghargaan atas kesudian beliau berkongsi ilmu dan pengalaman, majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata serta sesi fotografi bersama.

Program ini diharapkan dapat membuka perspektif baharu kepada para pelajar mengenai realiti dan cabaran dakwah dalam masyarakat minoriti Islam, di samping memberi inspirasi untuk merancang strategi da’wah yang lebih kreatif, berhikmah dan bersesuaian mengikut konteks setempat. Penganjuran program seumpama ini juga diharapkan dapat melahirkan pendakwah yang lebih berpengetahuan, berfikiran strategik serta mampu menyumbang kepada pembangunan ummah pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Penulis:
WAN SAFIYYAH BINTI WAN AZIZ – Timbalan pengarah program
NURUL AISYAH IZZATI BINTI ANUAR- Multimedia dan publisiti