Terdahulu, Malaysia telah merangka Wawasan 2020 sebagai pelan lonjakan kemajuan negara, namun pandemik COVID-19 yang berlaku telah memberi implikasi yang besar kepada sektor ekonomi dan pembangunan. Sektor pekerjaan antara sector yang terjejas dengan kenaikan kadar pengangguran di mana Jabatan Perangkaan Malaysia telah merekodkan terdapat peningkatan kadar pengangguran kepada 4.9 peratus pada Januari 2021 berbanding 4.8 peratus pada Disember 2020. Banyak pekerja mengalami pengangguran disebabkan sektor pekerjaan yang terjejas apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan berikutan penularan pandemik COVID-19 termasuklah sektor pelancongan, penerbangan, perniagaan, industri kreatif, perumahan, pembuatan, perniagaan, sumber manusia, perubatan swasta, perkhidmatan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (Non-Governmental Organization), pertanian dan perladangan.
Kajian yang dibuat oleh sebuah firma penyelidikan pasaran (IPSOS) mendapati bahawa kebimbangan terhadap pengangguran meningkat kepada 40 peratus semasa pandemik COVID-19 berbanding tahun sebelumnya. Data tinjauan yang dibuat ini juga menunjukkan sebanyak 62 peratus rakyat Malaysia mencatatkan kebimbanga terhadap wabak COVID-19 yang turut sama mempengaruhi ekonomi negara disebabkan kebimbangan untuk membuat sebarang bentuk aktiviti luar termasuklah bekerja. Antara golongan yang turut terkesan dengan masalah pengangguran ini adalah dalam kalangan belia. Selain penularan wabak COVID-19, terdapat beberapa faktor lain yang mendorong kadar pengangguran belia di Malaysia terus meningkat. Antaranya adalah kurangnya penguasaan bahasa Inggeris oleh graduan, permintaan rendah majikan untuk kursus diambil graduan dan terlalu memilih pekerjaan.
Kala ini, dapat kita lihat ramai graduan di seluruh Malaysia yang sedang bergembira meraikan kejayaan masing-masing di Hari Konvokesyen. Hari Konvokesyen bukanlah pengakhiran kepada sebuah perjuangan. Ia merupakan semboyan yang menandakan bermulanya perjalanan dan perjuangan bagi para graduan dalam melangkah ke alam pekerjaan dan sebagainya. Ada graduan yang meneruskan kecemerlangan dengan mendapat pekerjaan. Tidak kurang juga, ada yang membuat keputusan untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Namun, ada juga yang kurang bernasib baik di mana mereka masih bergelut dalam mencari pekerjaan dan kemelut pengangguran. Berdasarkan statistik, kadar kebolehpasaran graduan di Malaysia berada pada kadar melebihi 80 peratus dicatatkan sejak tahun 2018 iaitu sebanyak 80.2 peratus. Manakala kebolehpasaran belia pada tahun 2020 sebanyak 84.4 peratus berbanding 86.2 peratus pada tahun 2019 iaitu tahun sebelum krisis.
Secara amnya, sistem pendidikan merupakan penyumbang utama dan tunjang kepada pembangunan modal sosial dan ekonomi negara. Selain menyediakan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada generasi kini, ia merupakan katalis kepada kreativiti dan penjana inovasi yang mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja, dan menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi keseluruhannya. Inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak Universiti dalam meningkatkan kadar kebolehpasaran kerja untuk para graduannya haruslah dipuji. Sebagai contoh, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengambil langkah proaktif dan terkehadapan dengan menambah pelbagai intervensi dalam meningkatkan kebolehpasaran para graduannya. Seminar GE (Graduate Employability) dan Program Kebolehpasaran Graduan Nasional yang dianjurkan merupakan bukti keprihatinan dan komitmen yang ditunjukkan oleh pihak Universiti dalam menangani isu ini.
Di dalam era digitalisasi dan pandemik COVID-19 ini, para graduan harus sentiasa mempersiapkan diri mereka menghadapi masa hadapan yang tidak menentu ini. Graduan harus pantas beradaptasi dan melakukan penyesuaian kendiri dalam mengharungi era norma baharu. Selain mempunyai ilmu pengetahuan yang mantap dalam bidang yang diceburi, para graduan haruslah melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan asas etika yang mantap, serta memperkasakan daya tahan dan melengkapkan diri dengan tujuh tunjang utama kemahiran insaniah. Keupayaan berkomunikasi, berinisiatif, berfikiran kritikal dan sentiasa berkeyakinan merupakan antara elemen penting yang memaparkan keterampilan graduan yang mampu memikat hati majikan dalam pasaran kerja.
Syukurlah, di atas keprihatinan pihak kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang telah mengambil langkah proaktif dan wajar menyediakan pelbagai inisiatif sokongan kepada graduan dengan memberi fokus meningkatkan kebolehpasaran melalui program Penjana KPT-CAP (Career Advancement Programme). Penjana KPT-CAP merupakan langkah yang diambil kerajaan dalam usaha mengatasi pengangguran dan mengurangkan lambakan graduan dalam sektor pekerjaan. Ia memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu program latihan dan perantisan, padanan pekerjaan berpandukan kelayakan graduan dan pembangunan bakat keusahawanan. Justeru, para graduan haruslah memanfaatkan ruang dan peluang yang ada ini agar apa jua ilmu dan kemahiran yang digali semasa di universiti dapat digunakan untuk berbakti kepada nusa dan bangsa. Ingatlah, setiap kejayaan tidak akan datang bergolek. Para graduan haruslah sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri dan bertekad menjadi individu yang berkualiti dari segenap aspek agar mereka dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan graduan lain di peringkat global.
Penulis: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).