BANTEN, INDONESIA, 22 Ogos – 5 September – Seramai 6 orang pelajar yang mewakili setiap program pengajian di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) iaitu Nur Soffiah Faqiehah Ahmad Bukhari, Nur Farra Elisya Mohd Shaari, Nur Adliyana Zulkiflee, Wan Amira Sofia Wan Abd Halim Amir, Irdina Mohd Yusoff dan Sharifah Nur Athirah Syed Mohd Feisal telah terpilih untuk menyertai program pertukaran pelajar antarabangsa dan International Summer Camp 2026 di Universitas Sultan Ageng Tirtayasa (UNTIRTA), Indonesia di bawah penyelarasan Dr. Kartini Binti Kamaruzzaman (Timbalan Dekan, Akademik dan Antarabangsa), FKP. Program ini juga mendapat sokongan Dekan FKP dan Ketua-Ketua Program pengajian di FKP serta sumbangan daripada pihak Pusat Wakaf dan Zakat dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.
Program International Summer Camp 2026 merupakan kolaborasi di antara Universitas Sultan Ageng Tirtayasa (UNTIRTA) dengan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Ia merupakan satu inisiatif pertukaran pelajar antarabangsa yang berimpak tinggi. Mengangkat tema “Future-Ready Leaders: Bridging Cultures, Building Impact”, program ini bertujuan melahirkan pemimpin masa hadapan yang berdaya saing, tangkas, serta peka terhadap kepelbagaian budaya dan isu kelestarian global. Inisiatif ini dilaksanakan secara hibrid yang merangkumi sesi pembelajaran atas talian secara kolaboratif, diikuti dengan aktiviti fizikal di lapangan. Sepanjang program, para peserta terlibat dalam pelbagai modul merangkumi Transformasi Digital dan Teknologi, Warisan Banten, Seni Tradisional Banten dan Pemerkasaan Komuniti.
Melalui penyertaan dalam International Summer Camp 2026 yang berlangsung pada 22 Ogos hingga 5 September 2026, keenam-enam pelajar berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang memperkenalkan mereka kepada budaya dan sejarah kota Serang, Banten, Indonesia. Seterusnya, mereka juga berpeluang untuk merasai sendiri kehidupan dan cara tradisional yang digunakan oleh masyarakat orang asli (Baduy Luar) selama 2 hari 1 malam di Desa Kanekes. Pengalaman selama dua minggu banyak membentuk karakter serta pengalaman yang bermakna dalam diri, bukan sahaja daripada ilmu pengetahuan yang diperoleh ketika melawat tempat-tempat bersejarah di sana, malah hubungan silaturrahim yang terjalin bersama rakan-rakan dari pelbagai negara iaitu Thailand, Indonesia dan Malaysia juga menjadikan program ini lebih menarik.

Gambar semasa latihan dan persembahan akhir angklung
“Antara pengalaman yang paling bermakna bagi saya ketika berada di sana adalah apabila saya dipilih untuk menjadi konduktor angklung iaitu alat muzik tradisional masyarakat Banten, Indonesia. Pada awalnya, saya menolak tawaran tersebut kerana takut melakukan kesilapan ketika menjadi konduktor tetapi selepas diyakinkan oleh rakan-rakan serta pensyarah di sana, saya mengambil keputusan untuk mencubanya walaupun masih ada rasa ragu-ragu. Pengalaman ini menjadi bermakna kepada saya kerana ini adalah peluang untuk saya belajar sesuatu yang baru dan peluang ini hanya hadir sekali seumur hidup dan berlaku di Indonesia sahaja. Selain daripada itu, alat muzik angklung ini juga menyatukan saya dengan rakan-rakan daripada pelbagai negara, kami berlatih bersama, memberi galakan kepada satu sama lain dan akhirnya kami semua berjaya mempersembahkan dua persembahan angklung yang sangat indah untuk didengari oleh para penonton pada ketika itu. Andai waktu boleh diputar, pengalaman berharga inilah yang akan menjadi pilihan saya selain daripada pengalaman 2 hari 1 malam di Baduy Luar kerana pengalaman ini yang mengeratkan lagi hubungan silaturrahim bersama rakan-rakan dan akhirnya membentuk satu karakter baru dalam diri saya.” – Nur Adliyana Zulkiflee.

Gambar ketika di Baduy Luar dan Pakaian Tradisional semasa di Majlis Penutupan
“Bagi saya pula, antara pengalaman yang paling saya suka ialah apabila berpeluang memakai pakaian tradisional Minang. Ini merupakan kali pertama saya memakai pakaian tradisional daripada budaya lain. Pada awalnya, saya melihatnya sebagai satu aktiviti biasa, tetapi selepas memakainya, saya rasa pengalaman tersebut sangat istimewa. Saya dapat merasai sendiri keunikan pakaian tradisional dan pada masa yang sama lebih menghargai budaya serta warisan masyarakat Indonesia. Tidak lupa juga pengalaman yang paling saya ingat ialah ketika berada di Baduy Luar. Perjalanan ke sana agak jauh dan kehidupan masyarakatnya sangat berbeza daripada kehidupan kita yang biasa. Mereka hidup dekat dengan alam semula jadi dan mempunyai akses yang sangat terhad kepada internet serta kemudahan elektrik. Pada mulanya, agak pelik kerana kami sudah biasa menggunakan telefon dan internet dalam kehidupan seharian. Namun, perkara tersebut sebenarnya membuatkan hubungan antara kami menjadi lebih rapat. Tanpa internet dan telefon, kami lebih banyak berinteraksi secara fizikal dan meluangkan masa bersama. Keadaan yang sederhana itu membuatkan peserta dari tiga negara lebih mudah bergaul dan mengenali antara satu sama lain. Bagi saya, inilah salah satu perkara paling istimewa sepanjang Summer Camp 2026 kerana ukhuwah yang terbina bukan melalui media sosial, tetapi melalui masa yang kami habiskan bersama.” – Sharifah Nur Athirah Syed Mohd Feisal

Gambar di Kampung Pekijing
“Pengalaman yang tidak akan pernah saya lupakan adalah ketika kami berkunjung ke salah sebuah kampung di sana, iaitu Kampung Pekijing. Sebelum ini, kami hanya diperkenalkan dengan kampung tersebut melalui kelas secara dalam talian. Namun, selepas berpeluang berkunjung sendiri ke kampung itu, saya dapat melihat dengan lebih dekat suasana kehidupan masyarakat di sana serta berinteraksi secara langsung dengan mereka. Bukan itu sahaja, saya dapat merasai sendiri kehidupan yang sederhana tetapi penuh dengan nilai kekeluargaan, keramahan dan semangat komuniti. Pengalaman ini membuatkan saya sedar bahawa kebahagiaan tidak semestinya bergantung kepada kemewahan, sebaliknya boleh hadir melalui hubungan yang baik sesama manusia. Saya juga sempat bertanya kepada kanak-kanak di situ sama ada mereka mengenali Upin dan Ipin, dan respon mereka menjadi salah satu kenangan yang mencuit hati saya. Siapa sangka, Upin dan Ipin turut dikenali oleh kanak-kanak di Kampung Pekijing? Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya berasa bangga apabila mengetahui bahawa mereka dapat mengenali dan belajar sedikit sebanyak tentang Malaysia melalui animasi tersebut. Perkara kecil ini mungkin nampak sederhana, tetapi bagi saya, ia menjadi salah satu penghubung yang mengeratkan hubungan antara kami walaupun kami hanya meluangkan masa yang singkat bersama mereka. Kalau anda bertanya kepada saya, saya pasti ingin kembali mengunjungi Kampung Pekijing sekiranya diberi peluang pada masa akan datang. Bagi saya, kunjungan ini bukan sekadar sebuah lawatan, tetapi satu pengalaman yang mengajar saya untuk lebih menghargai kesederhanaan, hubungan sesama manusia dan keindahan mengenali budaya serta kehidupan masyarakat di tempat lain.” – Nur Farra Elisya Mohd Shaari.

Gambar Bangunan-Bangunan Bersejarah di Banten, Indonesia
“Salah satu pengalaman yang paling menarik sepanjang menyertai Summer Camp 2026 ialah peluang untuk meneroka Banten Lama dan mengenali sejarahnya dengan lebih dekat. Sepanjang lawatan, kami berkesempatan mengunjungi beberapa tapak bersejarah seperti Istana Keraton Kaibon, Muzium Banten Lama, Istana Surosowan, Kuil Avalokitesvara serta Benteng Speelwijk. Pada awalnya, saya hanya mengetahui Banten sebagai salah satu kawasan di Indonesia, namun selepas melihat sendiri peninggalan sejarah yang masih ada, saya mula memahami betapa kaya dan pentingnya sejarah dan budaya kawasan ini. Setiap lokasi yang kami kunjungi seolah-olah membawa kami kembali ke zaman dahulu. Melihat tinggalan bangunan, artifak dan struktur lama membuatkan saya membayangkan kehidupan masyarakat Banten pada masa dulu. Daripada lawatan ini, saya menyedari bahawa kelestarian bukan hanya berkaitan dengan menjaga alam semula jadi, tetapi juga melibatkan usaha memelihara budaya, sejarah dan warisan yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu. Sejarah yang masih dipelihara sehingga hari ini menunjukkan kepentingan masyarakat untuk menghargai dan menjaga warisan agar dapat terus dikenali oleh generasi akan datang.” – Irdina Mohd Yusoff.
Salah satu pengalaman yang paling bermakna sepanjang menyertai International Summer Camp 2026 ialah lawatan saya ke Kaibon Palace, Banten. Lawatan ini memberikan saya peluang untuk mengenali sejarah dan warisan masyarakat Banten dengan lebih dekat. Melalui penerangan yang diberikan, saya dapat memahami bahawa Kaibon Palace bukan sekadar tinggalan sejarah, tetapi turut mencerminkan kehidupan, budaya dan identiti masyarakat Banten pada masa lalu. Ada satu cerita disebalik Kaibon Palace ini yang dinamakan sebagai simbolik “keibuan” kerana istana ini adalah hadiah Sultan pada ketika itu kepada ibu tercinta. Sepanjang lawatan, saya berpeluang melihat sendiri struktur dan tinggalan bangunan yang masih ada serta mendengar penerangan berkaitan sejarah Kaibon Palace. Ada cerita yang menyayat hati, ada juga kisah yang boleh dijadikan tauladan sebagai contoh kisah pengkhianatan anak ke atas bapa seperti yang diceritakan oleh kawan saya yang mengambil jurusan sejarah. Selain itu, pengalaman ini membuatkan saya lebih menghargai kepentingan pemeliharaan warisan kerana setiap tinggalan mempunyai cerita dan nilai tersendiri. Saya juga menyedari bahawa mempelajari sejarah melalui pengalaman secara langsung memberikan pemahaman yang berbeza berbanding hanya mempelajarinya melalui buku atau di dalam kelas. Bagi saya, lawatan ke Kaibon Palace bukan sahaja menambah pengetahuan tentang sejarah Banten, tetapi turut mengajar saya tentang kepentingan menghargai dan memelihara warisan untuk generasi akan datang. Pengalaman ini menjadi salah satu kenangan yang bermakna sepanjang berada di Indonesia. – Wan Amira Sofia Wan Abd Halim Amir.|

Gambar rakan-rakan dari Thailand, Indonesia dan Malaysia
“Pengalaman yang saya rasa sangat berharga bagi saya adalah apabila saya berjumpa dengan rakan-rakan daripada negara lain, iaitu Thailand dan Indonesia, yang sangat baik. Mereka banyak membantu kami, pelajar USIM, sepanjang 2 minggu kami berada di sana. Sebagai contoh, mereka sangat bersemangat untuk membawa kami makan ke warung di kedai berhampiran dengan universiti mereka kerana ketika di dalam kelas atas talian, kami ada menyebut tentang makanan-makanan yang ingin kami cuba ketika berada di Indonesia nanti. Jadi, kami semua berjalan kaki bersama-sama menuju ke kedai tersebut dan buat pertama kalinya merasai makanan tersebut. Disebabkan itu merupakan pengalaman pertama kali kami makan seblak, mereka banyak membantu kami untuk memberikan rekomendasi menu-menu yang ada di sana. Selain itu, mereka juga banyak memberikan kami makanan dan snek yang terkenal di Indonesia untuk kami cuba. Bagi saya, ianya bukanlah tentang makanan yang dikongsi bersama, tetapi memori yang dirasai pada waktu itu yang membuatkan saya sangat menghargai detik-detik istimewa seperti itu. Tidak kurang juga cara layanan mereka terhadap kami yang membuatkan kami berasa seolah-olah berada di “rumah sendiri”. Jika waktu boleh diputar kembali, persahabatan dan momen seperti ini yang saya akan ulang lagi. Saya mendoakan semoga persahabatan yang terjalin antara tiga negara ini, iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand, akan berkekalan sampai bila-bila. – Nur Soffiah Faqiehah Ahmad Bukhari.
Program Summer Camp 2026 di Indonesia akhirnya melabuhkan tirainya menerusi majlis penutup yang diadakan pada 4 September 2026. Walaupun tempoh dua minggu mungkin kelihatan singkat tetapi pelbagai pengalaman yang diperoleh telah memberikan nilai pembelajaran yang signifikan kepada para peserta. Daripada pengalaman mengikuti kelas di UNTIRTA, mempelajari seni Angklung dan Kawih, meneroka warisan Banten, berinteraksi dengan komuniti Kampung Pekijing, sehinggalah merasai sendiri kehidupan masyarakat Baduy Luar selama 2 hari 1 malam, setiap aktiviti memberikan perspektif tersendiri tentang kepentingan budaya dan alam dalam membentuk kehidupan masyarakat yang lestari.
Secara keseluruhannya, program Summer Camp 2026 ini membuktikan bahawa pembelajaran tidak hanya berlaku melalui kuliah dan buku teks. Pengalaman berada dalam komuniti, mengenali budaya dan berinteraksi dengan alam memberikan bentuk pembelajaran yang lebih bersifat langsung dan bermakna terutama sekali kepada para peserta termasuklah peserta dari Thailand dan Indonesia. Program ini bukan sahaja memperkaya pengetahuan peserta, malah membina kemahiran komunikasi, semangat kerjasama dan jaringan persahabatan merentas negara. Semoga program seperti ini dapat dilaksanakan dan diteruskan pada masa akan datang untuk membina pelajar yang bukan sahaja mengaplikasikan apa yang dipelajari di dalam kuliah bahkan mampu menyampaikannya kepada orang lain juga.
Penulisan ini telah dihasilkan oleh :
Nur Soffiah Faqiehah Ahmad Bukhari, Nur Farra Elisya Mohd Shaari, Nur Adliyana Zulkiflee, Wan Amira Sofia Wan Abd Halim Amir, Irdina Mohd Yusoff dan Sharifah Nur Athirah Syed Mohd Feisal
![]() |
![]() |
|---|---|

