Menjadi seorang pensyarah bukan sekadar menyampaikan ilmu di bilik kuliah, menyediakan bahan pengajaran, atau memastikan learning outcomes dicapai. Di sebalik tanggungjawab hakiki tersebut, terdapat satu perjalanan yang lebih panjang dan bermakna, iaitu membentuk identiti sebagai seorang sarjana dan penyelidik.
Persoalannya, apabila seseorang memulakan kerjaya dalam bidang akademik, dari manakah perjalanan tersebut harus bermula?
Persoalan ini merupakan antara perkara utama yang menarik perhatian penulis ketika mengikuti program Wacana Inspirasi USIM (WIU) anjuran Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM. Program yang bertemakan “Al-Qawiyy Al-Amin: Becoming Eminent Scholar” ini telah disampaikan oleh Prof. Dr. Khairul Anwar @ Johari bin Mastor, Felo Akademik FKP yang baru-baru ini diiktiraf dalam kelompok 5% Saintis Terbaik Dunia oleh Scirank Global Registry (Ogos 2026). Perkongsian beliau memberikan perspektif yang cukup mendalam tentang hakikat kecemerlangan seorang sarjana serta bagaimana perjalanan tersebut perlu dibina secara berperingkat.
Bermula dengan Research Niche
Bagi pensyarah, perkara paling mendasar ialah membina research niche yang jelas. Penyelidik tidak perlu cuba mengkaji semua perkara. Dalam dunia akademik, konsistensi amat kritikal dalam membentuk identiti penyelidikan. Jika hari ini kita mengkaji kesihatan mental, esok kepimpinan, kemudian pendidikan, dakwah, dan teknologi tanpa persilangan yang jelas, kita mungkin dapat menghasilkan penerbitan, namun sukar untuk dikenali dengan kepakaran khusus.
Research niche tidak semestinya sempurna pada peringkat awal. Ia boleh berkembang mengikut pengalaman, keperluan masyarakat, dan dinamika ilmu. Namun, kejelasan hala tuju perlu wujud sejak awal. Daripada satu niche, beberapa persoalan penyelidikan yang saling berkait dapat dibina hingga membentuk satu coherent research programme.
Membaca, Menulis, dan Mengurus Masa
Seorang penyelidik yang cemerlang perlu bermula dengan menjadi pembaca yang baik. Membaca artikel secara konsisten membantu kita memahami perkembangan terkini bidang, kerangka teori, metodologi, serta jurang ilmu (gap of knowledge) yang masih terbuka.
Kuncinya bukanlah membaca puluhan artikel dalam sehari, melainkan konsistensi. Memperuntukkan sekurang-kurangnya satu jam sehari untuk membaca, menulis, atau menganalisis data mungkin kelihatan kecil, namun jika dilakukan secara berterusan, ia mampu membuahkan hasil yang signifikan dalam perjalanan akademik.
Perkara ini berkait rapat dengan pengurusan masa. Jadual seorang pensyarah bukan sahaja mengajar tetapi menggalas pelbagai portfolio seperti penyeliaan, mesyuarat, pemeriksaan tugasan, serta khidmat komuniti dan universiti. Oleh itu, aktiviti penyelidikan tidak boleh disempitkan dengan menunggu masa lapang, sebaliknya perlu dijadualkan dengan berdisiplin.
Daripada Foundation kepada Legacy
Dalam perkongsian Prof. Dr. Khairul Anwar, perjalanan seorang sarjana boleh dibagikan kepada lima tahap utama:
Foundation – Identity – Recognition – Leadership – Legacy
- Foundation: Peringkat membina kompetensi asas, menguasai metodologi, membaca, dan menulis.
- Identity: Peringkat membentuk identiti melalui research niche dan program penyelidikan yang konsisten.
- Recognition: Peringkat menerima pengiktirafan hasil penerbitan berkualiti, sitasi (citation), penganugerahan geran, dan pengukuhan jaringan akademik.
- Leadership: Peringkat memimpin kumpulan penyelidikan, kepimpinan geran, pengurusan jurnal, serta penentuan polisi bidang kepakaran.
- Legacy: Peringkat paling signifikan di mana sumbangan tidak lagi diukur pada nama, sebaliknya pada ilmu yang terus berkembang, kelahiran penyelidik baharu, dan impak penyelesaian masalah masyarakat secara lestari.
Al-Qawiyy Al-Amin: Keseimbangan Kompetensi dan Integriti
Konsep Al-Qawiyy Al-Amin amat bertepatan dengan prinsip keperibadian seorang sarjana. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.”(Surah al-Qasas, 28:26)
Inspirasi Al-Qawiyy merujuk kepada kekuatan kompetensi seperti penguasaan ilmu, ketajaman metodologi, pemikiran kritis, dan keupayaan menghasilkan dapatan penyelidikan berimpak tinggi. Manakala Al-Amin menekankan aspek integriti dan amanah terhadap data, pelajar, masyarakat, institusi, dan profesion akademik secara keseluruhannya. Matlamat akhir bukanlah sekadar menjadi sarjana yang dikenali, tetapi sarjana yang dihormati dan dipercayai.
Penutup: Membina Kesarjanaan, Bukan Mengejar Pengiktirafan
Memetik pesanan Prof. Dr. Khairul Anwar:
“Perjalanan menjadi seorang sarjana bukanlah satu perlumbaan untuk mendapatkan pengiktirafan. Pada akhirnya, scholarship bukan sekadar tentang knowledge, tetapi gabungan knowledge, impact, character, and service.”
Bagi pensyarah, keutamaan tidak seharusnya diletakkan pada pengejaran pengiktirafan (recognition), melainkan kepada usaha membina asas kesarjanaan yang utuh, pengiktirafan akan menyusul kemudian. Semoga perjalanan akademik yang dibina bukan sahaja memenuhkan senarai penerbitan, tetapi turut menyumbang ilmu yang bermanfaat, membina modal insan, dan memacu perubahan bermakna kepada komuniti dan negara.
Disediakan oleh:
Dr. Saleha Idris
Pensyarah, Program Dakwah dan Pengurusan Islam
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
![]() |
![]() |
|---|---|
![]() |
![]() |



