Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh peranan sebagai institusi pendidikan tinggi Islam bertaraf global apabila delegasi akademiknya telah melaksanakan Program Visiting Scholar ke Universitas Islam Negeri (UIN) Prof. K.H. Saifuddin Zuhri (UIN Saizu), Purwokerto, Indonesia, baru-baru ini.

Program selama lima hari bermula 30 Mei hingga 3 Jun itu melibatkan pelbagai aktiviti akademik, penyelidikan, kemasyarakatan dan kolaborasi strategik yang menyumbang kepada pengukuhan hubungan antara kedua-dua institusi serta memperluaskan jaringan akademik Malaysia-Indonesia. Program ini merupakan hasil inisiatif Kumpulan Penyelidik Islam in Southeast Asia (ISA) USIM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mashitah Sulaiman dalam usaha memperkukuh penyelidikan, jaringan akademik dan wacana pembangunan Islam di rantau Asia Tenggara. Delegasi USIM terdiri daripada Prof. Madya Dr. Muhammad Khairi Mahyuddin, Prof. Madya Dr. Mashitah Sulaiman, Dr. Nik Suhaida Nik Abdul Majid dan Dr. Suhailiza Md. Hamdani yang mewakili universiti dalam beberapa program berimpak tinggi termasuk International Seminar on Da’wah and Human Development in Nusantara 2026 (ISDAD 2026), International Intellectual Discourse on Writing and Publishing (IDWP 2026) serta The 5th International Conference on Transdisciplinary Religious Studies (ICONTREES 2026).
Selain program akademik, delegasi USIM turut melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial melalui program santunan bersama anak-anak yatim di Pesantren Soleh Solehah, Banyumas dan Pesantren Darunnajah. Aktiviti tersebut memberi peluang kepada para pensyarah mendekati masyarakat setempat melalui sesi motivasi, perkongsian pengalaman dan penyampaian sumbangan kepada penghuni pesantren. Program santunan itu mencerminkan komitmen USIM dalam mengintegrasikan kecemerlangan akademik dengan nilai kemanusiaan serta dakwah bil hal yang menjadi teras pendidikan Islam. Aktiviti tersebut turut memperkukuh hubungan persaudaraan antara masyarakat Malaysia dan Indonesia.

Delegasi turut mengadakan lawatan akademik ke beberapa institusi pendidikan Islam terkemuka di Banyumas termasuk Pesantren Darussalam, Pesantren Al Ma’mur dan Pesantren Al Djazuli. Lawatan tersebut bertujuan meneliti model pendidikan pesantren yang menjadi antara tonggak pembangunan masyarakat Islam di Indonesia serta membuka ruang kepada pertukaran amalan terbaik dalam bidang pendidikan dan dakwah.

Dalam masa yang sama, para penyelidik USIM turut mengadakan sesi temu bual bersama beberapa tokoh akademik Indonesia termasuk Rektor UIN Saizu, Prof. Dr. H. Ridwan, M.Ag., serta beberapa sarjana terkemuka yang mewakili tradisi keilmuan Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah. Sesi tersebut merupakan sebahagian daripada kajian yang meneliti perkembangan dan prospek masa depan pembangunan Islam dalam masyarakat majoriti Muslim di Asia Tenggara dengan fokus kepada Indonesia. Antara isu yang dibincangkan termasuk sejarah perkembangan Islam di Indonesia, peranan organisasi Islam seperti Nahdlatul Ulama dalam pembangunan masyarakat, cabaran pembangunan Islam kontemporari serta prospek masa depan Islam dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Dapatan awal kajian menunjukkan bahawa pengalaman Indonesia sebagai negara majoriti Muslim menawarkan pelbagai model pembangunan Islam yang signifikan untuk dikaji dan dijadikan rujukan dalam konteks pembangunan masyarakat Islam serantau.

Kemuncak lawatan tersebut ialah penganjuran bersama International Seminar on Da’wah and Human Development in Nusantara 2026 (ISDAD 2026) yang menghimpunkan kira-kira 80 peserta terdiri daripada ahli akademik, penyelidik dan pelajar pascasiswazah. Seminar yang bertemakan “Strengthening Da’wah Tradition for Sustainable Success of Islamic Civilization” menjadi platform penting dalam memperkukuh tradisi dakwah sebagai instrumen pembangunan insan dan kelestarian tamadun Islam.

Seminar tersebut menampilkan pembentangan daripada delegasi USIM yang membincangkan pelbagai isu berkaitan dakwah, pembangunan Islam, kecerdasan buatan, pendekatan sosiologi dan pembangunan spiritual mualaf. Perkongsian ilmu tersebut memperlihatkan kepakaran akademik Malaysia dalam mendepani cabaran masyarakat Islam kontemporari.

Pada sebelah petang, delegasi USIM meneruskan perkongsian ilmu menerusi International Intellectual Discourse on Writing and Publishing (IDWP 2026) yang memberi fokus kepada pembangunan budaya penyelidikan dan penerbitan akademik. Program tersebut membincangkan pelbagai aspek penulisan ilmiah termasuk transliterasi dalam pengajian Islam, strategi penerbitan buku akademik, pembangunan modul pendidikan Islam serta metodologi penyelidikan kualitatif berteraskan prinsip-prinsip Islam.

Delegasi USIM juga mengambil bahagian dalam the 5th International Conference on Transdisciplinary Religious Studies (ICONTREES 2026), Pada 3 Jun pula, delegasi USIM menyertai The 5th International Conference on Transdisciplinary Religious Studies (ICONTREES 2026) yang menghimpunkan sarjana dari Indonesia, Malaysia, Filipina dan Amerika Syarikat. Dalam sesi pleno, Prof. Madya Dr. Mashitah Sulaiman membentangkan konsep integrasi ekoteologi Islam dalam pendidikan dan pembangunan lestari serta menekankan tanggungjawab manusia sebagai khalifah dalam memelihara keseimbangan alam sekitar.

Satu lagi pencapaian penting sepanjang lawatan tersebut ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UIN Saizu dan USIM yang dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan bersama, mobiliti pelajar dan pensyarah serta pembangunan program akademik antarabangsa.

Program Visiting Scholar ini membuktikan komitmen berterusan USIM dalam memperkukuh pengantarabangsaan, memperluaskan jaringan akademik global dan menyumbang kepada pembangunan ilmu, dakwah serta kesejahteraan masyarakat sejagat melalui kerjasama strategik rentas sempadan. Kejayaan program ini turut memperlihatkan peranan aktif Kumpulan Penyelidik Islam in Southeast Asia (ISA) USIM dalam menerajui penyelidikan dan kolaborasi akademik serantau yang memberi impak kepada pembangunan masyarakat Islam di Asia Tenggara.

Disediakan oleh
Dr.Suhailiza Md.Hamdani
Pensyarah Kanan
Program Dakwah dan Pengurusan Islam