NILAI, 11 November – Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Minggu Bersama Industri bagi memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepada mahasiswa melalui perkongsian daripada pakar serta pengamal industri media dan komunikasi.
Program yang berlangsung dari 3 hingga 6 November ini menghimpunkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan penyampaian berita, pengucapan awam, ujibakat pengacara dan juruhebah radio, bengkel pencipta kandungan (content creator) serta Mobile Journalism (MOJO). Beberapa agensi media turut mengambil bahagian dengan membuka reruai pameran dan jualan bagi memeriahkan lagi suasana minggu tersebut.
Antara tokoh industri yang hadir termasuk CEO TV AlHijrah, Hj Namanzee Harris, juruhebah radio Zayyan, wakil daripada Malaysian Press Institute (MPI), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), serta alumni Program Komunikasi USIM, Tn Hj Mohd Fadhli Othman yang kini berkhidmat di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Menurut Dekan FKP, YBhg. Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, penganjuran program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk menimba ilmu dan mendapatkan maklumat terkini di luar bilik kuliah.
“Seperti yang kita tahu, cabaran dalam bidang media dan komunikasi semakin hebat dengan kehadiran teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mengubah landskap pekerjaan. Mahasiswa perlu bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi perubahan ini,” jelas beliau ketika merasmikan program tersebut.
Sementara itu, Ketua Program Komunikasi, Dr. Safiyyah Ahmad Sabri menegaskan bahawa Minggu Bersama Industri menjadi platform kolaborasi antara pensyarah dan mahasiswa bagi menjayakan objektif program serta memperkukuh jaringan akademia dan industri.
“Program ini bukan sahaja memberi ruang kepada mahasiswa untuk berinteraksi dengan pengamal industri, malah membolehkan pensyarah berkongsi kepakaran dan pengalaman bersama mereka,” katanya.
Penganjuran ini turut mendapat sokongan dan tajaan daripada Pusat Wakaf dan Zakat USIM, LNC Print Company, serta Hawardeen Company.
![]() |
![]() |
|---|---|
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |





