INTIFADAH atau gerakan global solidariti yang menyokong hak, keselamatan, dan pembebasan Palestin semakin tersebar dengan meluas di seluruh dunia dan tidak dapat disekat lagi. Penduduk dari berbagai negara sedang bangun bersama-sama untuk menunjukkan sokongan solidariti kepada Palestin. Ini adalah sebuah sokongan kuat membuktikan isu Palestin bukan sahaja menjadi perhatian serius di kalangan rakyat Palestin sendiri, tetapi juga mendapat perhatian global yang semakin meningkat dan tidak dapat disekat lagi.

Di seluruh pelusuk dunia, kita menyaksikan sebahagian daripada intifadah ini terus bangkit dan semakin berkembang. Terdapat satu kesatuan yang luar biasa antara rakyat di pelbagai negara, tanpa mengambil kira perbezaan politik, sosial, budaya mahupun agama. Para pemimpin negara, penyokong Palestin, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan aktivis telah bersatu untuk mendukung hak asasi rakyat Palestin. Ini adalah satu contoh bagaimana isu global seperti konflik Palestin-Israel tidak hanya menggugat hubungan antarabangsa, tetapi juga membangunkan kesedaran dan semangat solidariti di kalangan rakyat dunia.

Gerakan ini tidak terbatas kepada peringkat nasional sahaja. Melalui media sosial dan akses kepada maklumat global, orang ramai di Malaysia dan di seluruh dunia telah menerima gambaran yang lebih jelas tentang cabaran yang dihadapi oleh rakyat Palestin. Ini membuktikan perasaan empati dan solidariti di kalangan mereka, menyebabkan lebih banyak demonstrasi dan usaha untuk memberikan sokongan kepada Palestin dalam pelbagai cara ditunjukkan bersama-sama.

 

Intifadah atau gerakan global solidariti Palestin adalah satu peringatan jelas bahawa isu hak asasi manusia dan konflik melepasi sempadan geografi. Solidariti antarabangsa adalah kunci untuk membantu mencapai perdamaian dan pembebasan bagi rakyat Palestin, dan semangat ini semakin terpancar di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Antara pemimpin yang telah bangkit menunjukkan solidariti bersama Palestian ialah YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus bertegas menyokong nasib rakyat Palestin dan mengutuk kekejaman dan pembantaian ganas pihak regim Zionis Israel.
Umum telah menyedari kekejaman dan kebiadan regim Zionis Israel yang terus mengebom rakyat awam Palestin, masjid, hospital, sekolah, kedai dan kediaman mereka.

 Antara sebahagian perarakan solidariti yang telah bangkit di negara Islam ialah solidariti di Turki, Jordan, Bangladesh, Iran, Jordan, Lubnan, Malaysia, Indonesia, Beirut, Qatar, Maghribi, Mesir, Kanada, Washington, Los Angeles, Sweden, Britain, Baghdad, Libya, Hebron dan banyak lagi. Para pemimpin pelbagai parti di seluruh negara telah bersatu hati menyokong rakyat Gaza dan Palestin, serta mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa.

Gerakan solidariti di seluruh negara ini menunjukkan betapa kuatnya keinginan dunia Islam dan komuniti global untuk memberikan sokongan kepada Palestin dalam usaha mencapai hak asasi manusia dan kedaulatan negara mereka. Di samping itu, perarakan solidariti ini adalah satu manifestasi kesatuan umat Islam di seluruh dunia yang berusaha bersama-sama demi mencapai kemerdekaan, keamanan, keselamatan dan keadilan bagi rakyat Palestin.

Setakat ini data menunjukkan telah lebih dari 19000 rakyat palestin telah terkorban yang sebahagian besarnya adalah wanita, kanak-kanan dan bayi yang tidak berdosa Manakala berates ribu buah rumah telah musnah dan lebih sejuta rakyat Palestin terpaksa berpindah di merata tempat di dalam Kawasan Palestin demi mencari perlindungan sementara. Menyedihkan lagi, tempat perlindungi seperti hospital, sekolah dan masjid turut menjadi mangsa kerakusan bom regim Zionis Israel. Dengan kata lain, sudah tiada tempat yang selamat untuk rakyat Palestin yang telah lama dizalimi dan menanggung penderitaan demi penderitaan. Mereka diserang bom regim Zionis di segenap penjuru, siang dan malam. Sampai ke waktu ini, sumbangan kemanusiaan turut disekat. Makanan, minuman, peralatan perubatan semuanya tidak dapat memasuki Palestin kecuali sedikit sahaja. Bekalan air dan elektrik telah dipotong atau diletupkan. Jalan-jalan telah dibom, regim Zionis Israel mengawal pintu masuk dan turut mengebom kumpulan penyelamat, ambulan, wartawan dan banyak lagi.

Walaupun rakyat Palestin diserang setiap hari dan banyak kediaman mereka runtuh menyembah bumi, namun semangat dan kesatuan mereka tetap utuh. Keberanian mereka menyerlah disegenap lapisan Masyarakat, dari rakyat awam hinggalah kumpulan doktor dan jururawat dan para pemimpin terus berani berdiri tidak meninggalkan tanah suci mereka yang cuba dirampas dengan kejam oleh regim Zionis Israel. Diharapkan agar pelbagai negara mengambil tindakan tegas menghentikan kezaliman dan kerakusan melampau pihak regim Zionis Israel ini. Sama-sama kita doakan keselamatan rakyat Palestin dan hulurkan bantuan dalam pelbagai cara yang termampu.

Penulis Profesor Madya Dr. Mohd Rosmizi bin Abd Rahman
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)