USIM, 13 November – Seramai 35 pelajar Sarjana Komunikasi dari Universitas Islam Bandung (UNISBA), Indonesia menyertai 3rd Colloquium on Media and Transformation in the Digital Era yang berlangsung di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Kolokium yang memasuki tahun ketiga penganjurannya ini merupakan hasil kerjasama antara Program Komunikasi USIM dan UNISBA sebagai usaha memperkukuh jaringan akademik antarabangsa serta memperluas perkongsian ilmu dan pengalaman dalam kalangan pelajar pascasiswazah, khususnya dalam bidang komunikasi.

Ketua Program Komunikasi USIM, Dr. Safiyyah Ahmad Sabri berkata, penganjuran program seumpama ini membuka ruang kepada mahasiswa untuk berinteraksi dan bertukar pandangan dengan rakan akademik dari luar negara, sekali gus memperluas perspektif serta meningkatkan penguasaan ilmu dalam bidang komunikasi.

“Peluang seperti ini sewajarnya dimanfaatkan oleh mahasiswa untuk mengembangkan potensi diri dan memperkukuh pengetahuan melalui perkongsian pengalaman serta perspektif yang berbeza.

“Melalui sesi kolokium ini, para peserta berpeluang bertukar-tukar pandangan, bertanyakan soalan dan mendalami perkembangan terkini bidang komunikasi, termasuk memahami perkembangan pesat industri dan penyelidikan komunikasi di Indonesia,” katanya.

Sempena penganjuran kolokium tersebut, beberapa peserta turut menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Kajian Penyelidikan Terbaik dan Anugerah Pembentang Terbaik sebagai penghargaan terhadap kualiti penyelidikan serta keupayaan mereka menyampaikan hasil kajian secara berkesan.

Bagi Anugerah Kajian Penyelidikan Terbaik, penerima yang diiktiraf ialah:

  1. Hafib Adifaizal dan Arief Budiman (UNISBA) – Health Risk Communication in Mitigating Forest and Land Fires: A Case Study in Prabumulih City.
  2. Muhammad Akmal Zuhdi bin Che Mohd Zaini (USIM) – A Contextualised Technology Acceptance Model for Understanding AI Integration in Malaysian Journalism.

Sementara itu, Anugerah Pembentang Terbaik diberikan kepada:

  1. Zabidi Mohamed (USIM) – Blasphemy in Mentega Terbang: The 2023 Controversy and Limits of Malaysian Film Regulations.
  2. Nugraha Al Afghani dan Najwa Hafigah (UNISBA) – Shift in Entertainment Media Consumption.

Penganjuran kolokium ini diharap dapat diteruskan sebagai platform akademik yang mampan dalam memperkukuh hubungan antara USIM dan UNISBA, di samping membuka lebih banyak peluang kolaborasi dalam bidang penyelidikan, penerbitan ilmiah dan mobiliti pelajar pada masa hadapan.

Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam melahirkan graduan komunikasi yang berpengetahuan, berfikiran kritis dan bersedia menghadapi cabaran landskap media yang semakin dinamik dalam era transformasi digital.