7 Julai | Nilai – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan usaha memperkukuh jaringan antarabangsa apabila pensyarah dari Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dijemput untuk menyampaikan kuliah secara maya bersama Universitas Muhammadiyah Sidoarjo (UMSIDA), Surabaya, Indonesia menerusi Kursus Psikologi Komunikasi (ACM 2123).

Sesi kuliah ini berlangsung dalam semangat kolaborasi dua hala antara kedua-dua institusi yang telah dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU), membuktikan komitmen berterusan dalam menjayakan program akademik dan bukan akademik secara aktif.

Menurut Dr Poppy Febriana, M.Med.Kom, Dekan Fakultas Bisnis, Hukum dan Ilmu Sosial UMSIDA, kuliah maya ini tetap memberi kesan mendalam kepada mahasiswa mereka meskipun tidak bersua muka secara fizikal.

“Mahasiswa kami berpeluang merasai pengalaman pembelajaran antarabangsa, selain menimba ilmu dari sudut pandang dan gaya pengajaran yang berbeza daripada pensyarah luar,” jelas beliau.

Sesi kali ini menampilkan Dr Fauziah Hassan, pensyarah kanan dari Program Komunikasi, USIM yang dijemput khas bagi menyampaikan kuliah berkenaan kursus Psikologi Komunikasi, sekaligus mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua program komunikasi.

Dr Fauziah pula menyifatkan peluang sebegini bukan sahaja membuka ruang interaksi bersama pelajar antarabangsa, malah membantunya meningkatkan pendekatan dalam Pembelajaran dan Pengajaran (PdP).

“Pengalaman ini sangat bermakna untuk saya sebagai pendidik, khususnya dalam mempelajari cara mendekati pelajar daripada latar budaya yang berbeza. Ia juga membantu saya menambah baik kemahiran insaniah dan pedagogi secara berterusan,” katanya.

Kerjasama ini merupakan salah satu usaha berterusan USIM untuk mengangkat agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi, selain memperkukuh jaringan akademik di peringkat serantau melalui pendekatan digital.