Setelah berlalunya malam Nisfu Syaaban, ini menunjukkan bahawa bulan Ramadan bakal menjelang tiba. Ahlan wa sahlan ya Ramadan. Selamat datang bulan yang diberkati (al-shahr al-mubārak), bulan ibadat (shahr al-Ibadah) dan penghulu segala bulan Islam (sayyid al-shuhūr). Pada bulan Ramadan, semua umat Islam yang cukup syarat wajib puasa ditaklifkan untuk menyempurnakan ibadat puasa. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, 2: ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”
Ibadat puasa adalah ibadat yang unik dan tidak seperti ibadat Islam lainnya, di mana dapat dilihat pergerakan anggota badan seperti solat dan zakat, serta berlakunya perubahan kedudukan seseorang seperti dalam ibadat haji dan umrah. Ibadat puasa mengandungi aspek kepatuhan kepada perintah Allah, menuruti sunnah Nabi SAW, dan menahan diri daripada melakukan sesuatu yang membatalkan puasa seperti makan, minum dan berjimak.
Dalam kitab Maqasid al-Sawm atau Tujuan-tujuan Utama Berpuasa, karangan sultan para ulama iaitu Imam Al-Izz ibn Abd al-Salam (577-660H), telah disenaraikan tujuh fadilat atau kelebihan menyempurnakan ibadat puasa. Kata Imam Al-Izz: “li al-sawm fawa’id: 1) raf’u al-darajat, 2) wa takfir al-khati’at, 3) wa kasr al-shahawat, 4) wa takthir al-sadaqat, 5) wa tawfir al-ta’at, 6) wa shukr ‘alim al-khafiyyat, 7) wa al-inzijar ‘an khawatir al-ma’asi wa al-mukhalafat.”
Maksudnya: “Ibadat puasa mempunyai beberapa faedah iaitu: 1) meninggikan darjat (pelakunya), 2) menghapuskan kesalahan dosa, 3) melemahkan nafsu syahwat, 4) memperbanyakkan sedekah, 5) meningkatkan ketaatan kepada-Nya, 6) melahirkan rasa syukur kepada Allah yang Maha Mengetahui, dan 7) menjauhkan diri daripada ajakan maksiat dan melanggar perintah Allah.”
Kesemua fadilat puasa ini diringkaskan oleh Imam Al-Izz berdasarkan rujukan naqli dan aqli atau deduksi kefahaman akal dan rujukan nas syarak berkenaan ibadat yang mulia ini. Dalam menghuraikan ketujuh-tujuh kelebihan ibadat puasa ini, Imam Al-Izz menjelaskan seperti berikut:
1. MENINGGIKAN DARJAT
Fadilat yang pertama ini terhasil berdasarkan beberapa dalil naqli yang terdapat dalam hadis Nabi SAW. Antaranya,
1.1 Sabda Baginda SAW: “Apabila bulan Ramadan tiba, maka dibukalah semua pintu syurga, ditutuplah semua pintu neraka dan dibelenggulah semua syaitan” (Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad dan Al-Nasa’i).
1.2 Firman Allah SWT dalam hadis qudsi: “Setiap amal perbuatan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa, kerana puasa adalah untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Puasa itu adalah perisai. Jika seorang di antara kalian berpuasa, maka jangan berkata kotor dan buruk. Jika seorang memakinya atau mengajaknya untuk bertengkar, hendaklah dia mengatakan: sesungguhnya aku sedang berpuasa. Demi Zat yang jiwa Nabi Muhammad dalam kekuasaan-Nya, bagi Allah, bau mulut orang yang sedang berpuasa lebih harum daripada bau minyak kasturi. Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya kerana pahala puasanya” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
1.3 Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka tidak dibenarkan masuk” (Riwayat Ahmad, al-Bukhari dan Muslim).
Oleh itu, menurut Imam Al-Izz, kesemua dalil naqli ini menunjukkan kelebihan yang diterima oleh orang yang mengerjakan ibadat puasa sahaja dan meninggikan darjat mereka berbanding pahala ibadat-ibadat lainnya.
2. MENGHAPUSKAN KESALAHAN DOSA
Ibadat puasa juga dapat menghapuskan dosa kesalahan yang telah dilakukan. Ini bersandarkan kepada sabda Baginda SAW berikut:
2.1 Sabda Nabi SAW: “Antara satu (puasa) Ramadan dengan (puasa) Ramadan berikutnya, merupakan penghapus dosa-dosa yang ada di antara keduanya, selama seseorang itu tidak melakukan dosa besar” (Riwayat Ahmad dan Muslim).
2.2 Sabda Baginda SAW: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
3. MELEMAHKAN NAFSU SYAHWAT Hal ini juga berdasarkan kepada dua hadis Nabi SAW yang menjelaskan kedudukan puasa yang dapat menjadi perisai dan menyempitkan laluan syaitan dalam diri manusia. 3.1 Sabda Nabi SAW: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu yang mampu berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 3.2 Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam tubuh anak Adam pada tempat aliran darahnya. Maka sempitkanlah tempat jalan syaitan ini dengan kelaparan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 4. MEMPERBANYAKKAN SEDEKAH
Fadilat ini dicapai kerana orang yang berpuasa dapat menghayati rasa kesusahan dan kelaparan yang dialami oleh orang yang hidup dalam kemiskinan dan kesusahan. Dalam sejarah Nabi Sulaiman dan Nabi Yusuf AS, pernah diriwayatkan bahawa Nabi Sulaiman dan Nabi Yusuf AS tidak akan makan melainkan setelah memastikan semua tanggungannya telah menerima makanan. Apabila ditanya mengapa mereka berbuat demikian, jawab mereka: “Akhafu an ashba’a fa ansa al-Ja’i’ iaitu aku takut jika aku kenyang dan melupakan bahagian orang yang lapar.
5. MENINGKATKAN KETAATAN KEPADA-NYA
Fadilat ini pula dapat dicapai menurut Imam Al-Izz berdasarkan kepada kesedaran atas kesusahan dan kehausan yang dialami oleh penduduk neraka. Umat Islam yang sedar akan kepayahan azab neraka ini akan terdorong untuk meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT bagi mengelakkan daripada menerima azab neraka yang penuh kesakitan dan kesusahan.
6. MELAHIRKAN RASA SYUKUR KEPADA ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI Ibadat puasa dapat menumbuhkan rasa syukur kepada Allah SWT. Seseorang yang menjalani ibadat puasa akan dapat menghayati kelebihan setiap nikmat kekenyangan, kekuatan dan kesegaran yang dirasainya sebelum berpuasa. Dengan mematuhi perintah berpuasa, seseorang itu akan dapat membuat introspeksi atau proses penilaian diri atas semua nikmat dan kelebihan dunia yang telah Allah anugerahkan dalam kehidupannya. Kata hikmah oleh Imam Al-Izz: fa inna al-Ni’am la yu’rafu miqdaruha illa ba’da faqdiha, iaitu: maka sesungguhnya tahap nikmat tidak dapat diketahui melainkan setelah kehilangannya. Jadi ibadat puasa dapat memberikan kesedaran yang hakiki berkenaan semua nikmat yang telah Allah SWT anugerahkan bagi setiap hamba-Nya. 7. MENJAUHKAN DIRI DARIPADA AJAKAN MAKSIAT DAN MELANGGAR PERINTAH ALLAH
Fadilat yang terakhir ini dapat diraih apabila seseorang itu berpuasa dalam keadaan penuh insaf dan menyibukkan keinginan diri untuk bermunajat kepada Allah SWT sahaja. Rasa lapar, haus dan lemah badan sepatutnya dapat mematikan kecenderungan seseorang untuk melakukan maksiat dan membuat perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Seeloknya, baki kekuatan dan tenaga yang dimiliki oleh seseorang yang berpuasa hanya ditumpukan kepada perkara ibadat. Hasilnya, keadaan ini dapat mengelakkan seseorang daripada terjerumus dalam perkara yang dibenci oleh Allah SWT.
Moga Allah SWT mempermudahkan ibadat puasa kita semua dan menganugerahkan kelebihan ibadat puasa seperti yang telah dihuraikan oleh Imam Al-Izz dalam kitab Maqasid al-Sawmnya. Dalam amalan para salaf al-Salih, mereka akan berdoa: “Allahumma sallimnā li Ramadān, wa sallim Ramadān lanā, wa sallimhu minnā mutaqabbalā.” Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah kesejahteraan kepada kami semua untuk menjalani (ibadat) Ramadan. Dan sejahterakanlah Ramadan untuk kami. Dan terimalah ibadat Ramadan daripada kami.”
Penulis: Dr. Wan Mohd Fazrul Azdi bin Wan Razali, |
---|