Pada 4 Februari tahun 2019 di Abu Dhabi, sebuah dokumen penting telah diterbitkan oleh The Higher Committee of Human Fraternity yang bertajuk Dokumen Tentang Persaudaraan Manusia Bagi Keamanan Dunia Dan Hidup Bersama (A Document on Human Fraternity for World Peace and Living Together). Dokumen bersejarah ini telah disahkan dan ditandatangani oleh dua orang tokoh besar dalam dunia Islam dan Kristian Katolik iaitu: Sheikh Al-Azhar, Al-Imam Al-Akbar, Sheikh Profesor Dr. Ahmed Mohamed Ahmed El-Tayeb (lahir 6 Januari 1946) dan Pope Francis (lahir 17 Disember 1936).
Dokumen ini menggariskan pelbagai hikmah utama dalam mencapai keharmonian antara penganut agama dan pengukuhan solidariti kemanusiaan. Dokumen ini juga amat sesuai untuk dijadikan panduan buat semua warga dunia dalam membuat muhasabah dan roadmap bagi merealisasikan kesedaran dan tindakan untuk hidup bersama-sama dengan harmoni di dunia ini. Malah dinyatakan dalam dokumen ini: “Al-Azhar dan Gereja Katolik meminta agar dokumen ini menjadi objek kajian dan renungan di semua sekolah, universiti dan institut pembentukan, sekali gus membantu mendidik generasi baru untuk membawa kebaikan dan keamanan kepada orang lain, dan menjadi pembela di mana-mana terhadap hak-hak orang yang tertindas dan terkecil dari saudara-saudara kita” (https://www.forhumanfraternity.org/document-on-human-fraternity/).
Majlis Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui resolusi nombor 75/200 mengumumkan tarikh 4 Februari pada setiap tahun sebagai sambutan Hari Antarabangsa Persaudaraan Kemanusiaan (International Day of Human Fraternity) untuk melestarikan budaya kehidupan yang damai. Sambutan dan pengukuhan persaudaraan kemanusiaan ini wajib dibuat merentasi pelbagai bentuk kepercayaan, budaya, ideologi politik dan kewarganegaraan. Menurut PBB, budaya damai adalah satu set nilai, sikap, tradisi, amalan tingkahlaku, serta gaya hidup yang didasarkan kepada pelbagai nilai tinggi yang positif dan amalan keamanan yang merentas semua tahap masyarakat dan antara negara-negara yang dipupuk oleh persekitaran nasional dan antarabangsa yang kondusif.
Pada 4 Februari 2025, Hari Antarabangsa Persaudaraan Kemanusiaan 2025 ini disambut dan diwacanakan dengan sesi dialog Scriptural Reasoning (penghujahan kitab) berkenaan ibadat puasa dalam agama Islam dan Kristian Katolik, menerusi Surah al-Baqarah 2: ayat 183-185 dan Gospel Luke, 4: ayat 1 – 2a, 14, 16 dan 18. Seramai 20 orang peserta yang telah menghadiri program ini yang terdiri daripada para pensyarah USIM, pelajar USIM, pelajar UM, dan beberapa wakil daripada penganut Katolik. Program ini telah diadakan di Bilik Akidah and Global Outreach Centre (AGENT), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM bermula jam 3 hingga 5 petang.
Scriptural Reasoning adalah sebuah program dialog antara para peserta dengan latar belakang agama yang berbeza untuk membaca, berbincang dan memahami teks suci agama masing-masing. Ini bersesuaian dengan syiar program ini iaitu ke arah faham perbezaan agama yang lebih berkualiti atau better quality disagreement (http://www.scripturalreasoning.org/). Dari sudut sejarah, program ini telah bermula di Barat pada pertengahan tahun 1990 dan masih dilaksanakan sehingga ke hari ini di Universiti Cambridge, Universiti Oxford dan beberapa institusi kajian agama di dunia (https://www.interfaith.cam.ac.uk/sr).
Di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM; program Scriptural Reasoning ini telah diadakan sejak tahun 2016 bersama beberapa wakil jemaah Kristian Katolik daripada Gereja St. Theresa Nilai. Program ini dilaksanakan secara berkala dengan tujuan bersilaturahim dan memberikan pendedahan kepada para peserta berkenaan kepentingan dialog antara agama di Malaysia. Sehingga ke hari ini, program ini diteruskan penganjurannya dan telah menerima peserta daripada luar daerah Nilai dan organisasi-organisasi Katolik yang berbeza.
Sambutan Hari Antarabangsa Persaudaraan Kemanusiaan 2025 dan Scriptural Reasoning ini diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan minum petang. Majlis bersurai pada jam 5.00 petang. Pihak penganjur mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih buat semua yang menyokong dan membantu menjayakan sambutan Hari Antarabangsa Persaudaraan Kemanusiaan 2025 dan Scriptural Reasoning ini di Bilik Akidah and Global Outreach Centre (AGENT), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia. Moga persaudaraan yang telah dibina dapat menjadi benih yang baik dalam menyebarkan mesej keamanan dan kedamaian ke seluruh dunia.
![]() |
Penulis : Dr. Wan Mohd Fazrul Azdi bin Wan Razali Pensyarah Kanan, Program Pengajian Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia |
---|