13 Julai, Nilai – Enam pensyarah dari Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah diberi kepercayaan oleh Malaysian Press Institute (MPI) sebagai panel perunding untuk penerbitan e-Jurnal Kewartawanan – jurnal elektronik pertama anjuran MPI yang bakal diterbitkan Julai ini.
Pelantikan ini dibuat susulan perbincangan strategik antara pihak MPI dan Program Komunikasi USIM, sekali gus mengiktiraf kepakaran pensyarah USIM dalam bidang kewartawanan, komunikasi dan penulisan ilmiah. Para pensyarah ini akan berperanan sebagai penasihat, penilai dan pengkritik ilmiah, khususnya dalam memastikan kelestarian dan kualiti kandungan jurnal tersebut.

e-Jurnal Kewartawanan diterbitkan sebagai satu platform ilmiah untuk pensyarah, pengamal media dan pelajar menerbitkan penulisan akademik serta esei kewartawanan yang bersifat kritis, reflektif dan analitik. Jurnal ini menyasarkan untuk menjadi ruang dinamik bagi membincangkan isu-isu semasa dalam bidang media, komunikasi dan teknologi dari perspektif akademik dan industri.

Menurut Dr Sofia Hayati Yusoff, Ketua Perunding e-Jurnal dari USIM, pelantikan ini bukan hanya pengiktirafan, tetapi satu peluang keemasan untuk pensyarah menyumbang secara langsung kepada pembangunan penerbitan ilmiah negara. Ia juga membuka ruang kolaborasi lebih erat antara institusi akademik dan agensi media seperti MPI.

Tambah beliau, e-Jurnal ini bakal menjadi rujukan penting dalam mendokumentasikan perbincangan semasa berkaitan isu kewartawanan, teknologi media, etika, dan naratif baharu dalam dunia pemberitaan.

Menariknya, e-Jurnal ini telah dilancarkan secara rasmi oleh YBhg. Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia dalam acara berprestij Malam Wartawan Malaysia 2025 yang berlangsung pada 20 Jun lalu.

Pihak USIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MPI atas kepercayaan yang diberikan dan komited untuk terus menyumbang ke arah pembangunan ilmu serta menyokong usaha memperkasa penulisan kewartawanan di Malaysia.