26 Disember 2025 – Seramai 23 pelajar Program Komunikasi (Kewartawanan) Tahun 3, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengaplikasikan kaedah pembelajaran kewartawanan di lapangan bagi merasai sendiri realiti kerjaya sebagai wartawan di lapangan.
Program yang berlangsung dari 19 hingga 21 Disember lalu melibatkan pemilihan tiga lokasi ikonik di Pulau Pinang iaitu War Museum, Padang Kota dan Pantai Robina. Pengalaman pembelajaran berasaskan lapangan ini memberi peluang kepada para pelajar untuk berhadapan secara langsung dengan situasi sebenar aktiviti sebagai wartawan dalam masa yang sama menyelesaikan tugasan berkumpulan yang diberikan melalui Kursus ACJ3013 (Prinsip Kewartawanan) yang diambil pada semester ini.
Menurut penyelaras kursus berkenaan, Dr Fauziah Hassan berkata, pelajar diberikan penerangan awal bagi setiap tugasan yang ditetapkan yang mana setiap kumpulan pelajar yang ditugaskan akan menulis berita berkaitan sesuatu lokasi dan perlu mengenal pasti angle berita yang sesuai selaras dengan amalan dan prinsip kewartawanan yang menekankan aspek kebenaran, keunikan, nilai berita, kepentingan awam dan lain-lain.
“Melalui aktiviti ini, para pelajar dibimbing dalam aspek pelaksanaan temu bual, pembinaan soalan yang berkesan serta teknik pengumpulan maklumat,” katanya.”Selain itu, pendekatan ini membolehkan pelajar memperoleh pengalaman secara langsung di lapangan dan tidak terhad kepada pembelajaran teori di dalam kelas semata-mata,” jelas beliau lagi.
Selain itu, pelajar turut mengaplikasikan pemikiran kritis dan kreatif dalam usaha mencari idea serta angle yang menarik untuk diketengahkan dalam penulisan berita mereka.Menurut salah seorang pelajar, Siti Nuramira Safiyah Mohd Romzi berkara, antara pengalaman yang diteroka termasuk mengenal pasti fokus berita dan menjalankan temu bual bersama pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Aktiviti ini juga secara tidak langsung membantu meningkatkan kemahiran komunikasi dan penguasaan bahasa pelajar, khususnya apabila mereka berinteraksi dengan pelancong asing selain mempelajari budaya, bahasa dan latar belakang masyarakat luar”, katanya lagi.Hasil tugasan pelajar akan dinilai melalui pembentangan akhir iaitu penulisan berita dan proses dokumentasi kerja kewartawanan yang dijalankan melalui penghasilan video.
![]() |
![]() |
|---|---|

