Kegagalan sering dikaitkan dengan keupayaan dan sikap seseorang dalam mencapai sesuatu. Tidak berjaya, tidak berhasil dan tidak mencapai matlamat yang ditetapkan selalu ditakrifkan sebagai gagal. Meskipun kegagalan bukanlah perkara yang diharapkan oleh manusia, namun episod ini tidak boleh dielakkan dalam kehidupan. Melalui kegagalan, manusia akan belajar sesuatu perkara penting dalam kehidupan ini dan merasai kemanisan kejayaan. Kegagalan adalah sesuatu yang subjektif bagi setiap manusia. Tidak semua manusia melihat kegagalan dari sudut yang sama. Apabila melalui situasi kegagalan dalam hidup, manusia akan dibejati dengan tekanan emosi yang akhirnya boleh membawa kepada masalah yang lebih berat melibatkan isu kesihatan mental.
PATH-R adalah singkatan akronim yang mewakili makna tertentu, bertujuan untuk membantu individu atau pelajar yang sedang berhadapan dengan masalah dalam kehidupan terutama mereka yang sedang melalui fasa gagal, buntu dan tidak mampu membuat keputusan terbaik untuk diri mereka. PATH-R adalah satu pendekatan inovasi peningkatan kendiri (self-enhancement) yang dicipta oleh penulis merujuk kepada akronim berikut;
- P- Patience (Sabar)
- A-Aims (Matlamat)
- T-Talent & Interest (Bakat dan Minat)
- H-Hardworking (Usaha gigih)
- R-Retrospect (Imbasan)
Komponen P adalah merujuk kepada sabar (P = patience) iaitu apa sahaja cabaran kegagalan dan dugaan yang berlaku dalam kehidupan hendaklah diterima dengan sabar. Sabar dianjurkan ketika seseorang menghadapi saat sukar, ditimpa musibah dan dalam menerima sesuatu takdir yang berlaku. Sabar juga dirujuk sebagai keadaan menahan dan mengawal diri. Keadaan ini boleh difahami sebagai proses bagaimana seseorang mengawal diri untuk mencapai keseimbangan. Misalnya seseorang yang sedang melalui saat gagal lalu berasa sedih dan kecewa meregulasi emosi yang dialami bagi memastikan keadaan diri seimbang dan emosi terkawal. Dalam perspektif Islam, sabar dalam menghadapi kegagalan bermakna seseorang itu tidak mudah berputus asa dengan pertolongan dan rahmat Allah, sentiasa koreksi diri melalui proses muhasabah serta mencari hikmah, ibrah dan ikhtiar dari ujian yang berlaku.
Setelah proses sabar, pelajar perlu beralih kepada pembinaan matlamat (A = Aims) iaitu membuat perancangan matlamat jangka pendek dan jangka panjang yang ingin dicapai dalam hidup. Matlamat adalah sasaran dan halatuju dalam mengecapi sesuatu tujuan. Matlamat melibatkan elemen perancangan. Oleh itu dalam menggariskan sesuatu matlamat, pelajar perlu dibantu untuk membuat perancangan sekali gus meletakkan sasaran bagi mencapai kejayaan yang dapat memberi makna dalam hidup.
Ibarat meletakkan cermin (mirroring) iaitu mencermin kembali perancangan dan matlamat yang dibuat, proses seterusnya berlaku dengan mengukur dan melihat kembali matlamat yang dibina sama ada bersesuaian dengan bakat dan minat (T = Talent & interest) yang ada dalam diri pelajar. Pelajar hendaklah membuat introspeksi diri sendiri berkaitan bakat yang ada dalam diri mereka. Misalnya bakat dalam melukis, komunikasi, interpersonal, muzik dan sebagainya. Bahkan elemen minat juga perlu ada supaya pelajar lebih bermotivasi melaksanakan apa yang telah dirancang. Justeru, minat dan bakat yang dilatih akan mencipta potensi dalam diri pelajar.
Proses terakhir dalam menggunakan PATH ini adalah berusaha dengan gigih dan konsisten sebagai kunci mencapai sesuatu kejayaan (H = Hardworking). Meskipun pelajar yang gagal sering rasa berputus asa untuk melakukan sesuatu, PATH akan mencipta semangat baru untuk pelajar mencapai matlamat yang ditetapkan. Usaha untuk mencapai matlamat dilakukan dengan gigih, rajin dan konsisten. Usaha ini juga perlu dibuat mengikut perancangan dan langkah yang telah digariskan. Setiap usaha yang dilakukan kemudiannya perlu di nilai melalui susulan dan perkembangan diri pelajar tersebut. Selepas tamat, susulan hendaklah dibuat dengan mengimbas setiap aspek P-A-T-H terutamanya maklumbalas atas usaha yang telah dibuat bagi meninjau kekuatan dan cabaran yang wujud semasa proses pelaksanaan tersebut. Komponen R ini adalah mewakili Retrospect (Imbasan).
Segala perancangan, potensi dan kesedaran diri tidak akan membawa hasil sekiranya tidak disusuli dengan usaha yang gigih, berterusan dan penuh keazaman. Kejayaan tidak datang secara tiba-tiba atau bergantung kepada nasib semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen tinggi, disiplin, dan pengorbanan masa serta tenaga. Pepatah Melayu ada mengatakan ‘yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang’. Seseorang yang bekerja keras akan sentiasa mencari jalan penyelesaian, belajar dari kesilapan, dan bersedia untuk memperbaiki diri dari masa ke semasa.
Tuntasnya, kegagalan bukanlah noktah terakhir dalam kehidupan, sebaliknya ia adalah satu proses pembelajaran yang mendewasakan dan memperkukuh daya tahan diri. Bak kata pepatah, ‘gagal sekali bukan bererti gagal selamanya’. Setiap manusia pasti akan melalui fasa kegagalan dalam hidup, namun yang membezakan mereka adalah cara mereka bertindak balas terhadap kegagalan tersebut. Pendekatan PATH-R memberikan kerangka yang jelas dan praktikal untuk membantu pelajar mengenal pasti kekuatan dalaman serta membina kembali keyakinan diri yang mungkin terjejas akibat kegagalan.
![]() |
Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, |
---|