Kampus barakah USIM sekali lagi menerima injakan dari pejuang dan pengemudi ilmu yang telah meraih kejayaaan dan menikmati detik gembira yang dinanti-nanti iaitu hari konvokesyen. Kejayaan dan momen bahagia ini diraikan bersama pendidik, ahli keluarga dan semua warga universiti. Buat kali kedua konvokesyen ke-19 USIM membuka kunjungan luar setelah sekian lama dasar tertutup dilaksanakan bagi menghindari virus pandemik tersebar luas.
Meskipun sambutan hari konvokesyen sebelum ini dilihat hambar disebabkan oleh pandemik COVID-19. Namun, setelah lebih dua tahun negara berada dalam kemelut pandemik, barulah ‘seri’ Majlis Konvokesyen kembali dan legasi bersemuka diteruskan dalam norma baharu. Rata-rata universiti meraikan hari bersejarah tersebut mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Hakikatnya, hari konvokesyen bukanlah mercu petanda akhir kepada sebuah perjuangan. Namun ia merupakan semboyan yang menandakan bermulanya perjalanan baharu bagi para graduan melangkah ke dunia pekerjaan. Malah, fasa ini memberi graduan pengalaman dan pendedahan sebenar apabila mula bekerja. Tidak kurang yang memilih untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Acapkali juga berkumandang isu pengangguran kepada yang masih bergelut dalam mencari pekerjaan. Berdasarkan data statistik, kadar kebolehpasaran belia pada tahun 2020 adalah sebanyak 84.4 peratus berbanding 86.2 peratus pada tahun 2019 iaitu tahun sebelum krisis COVID-19. Angka ini menunjukkan kadar penurunan dalam mendapatkan pekerjaan.
Secara amnya, sistem pendidikan merupakan penyumbang utama kepada pembangunan modal insan dan ekonomi negara. Selain menyediakan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada generasi kini, ia merupakan katalis kepada kreativiti dan penjana inovasi yang mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja, dan menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi keseluruhannya. Di dalam era digitalisasi dan pandemik COVID-19 ini, para graduan harus bersaing, teguh berjuang dan sentiasa mempersiapkan diri mereka menghadapi masa hadapan yang tidak menentu. Bahkan, graduan harus pantas beradaptasi dan melakukan penyesuaian kendiri dalam mengharungi era norma baharu dalam membangun prospek kerjaya dan perancangan masa hadapan.
Selain mempunyai ilmu pengetahuan yang mantap dalam bidang yang diceburi, para graduan haruslah melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan asas etika yang mantap, serta memperkasakan daya tahan dan melengkapkan diri dengan tunjang utama kemahiran insaniah sepertimana digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Keupayaan berkomunikasi, berinisiatif, berfikiran kritikal dan sentiasa berkeyakinan mendepani cabaran merupakan antara elemen penting yang memaparkan keterampilan graduan yang mampu memikat hati majikan dalam pasaran kerja.
Suntikan motivasi dan keprihatinan pihak kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telahpun mengambil langkah proaktif dengan menyediakan pelbagai inisiatif sokongan kepada graduan dengan memberi fokus bagi meningkatkan kebolehpasaran kerja. Misalnya melalui program Penjana KPT-CAP (Career Advancement Programme). Penjana KPT-CAP merupakan langkah yang diambil kerajaan dalam usaha mengatasi pengangguran dan mengurangkan lambakan graduan dalam sektor pekerjaan. Ia memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu program latihan dan perantisan, padanan pekerjaan berpandukan kelayakan graduan dan pembangunan bakat keusahawanan.
Tuntasnya, para graduan haruslah memanfaatkan ruang dan peluang yang ada ini agar apa jua ilmu dan kemahiran yang diperolehi semasa di universiti dapat digunakan untuk berbakti kepada nusa dan bangsa. Peribahasa melayu ada mengingatkan “yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang”, bermaksud rezeki perlu diusahakan dan tidak datang dengan sendirinya. Justeru, para graduan haruslah sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri dan bertekad menjadi individu yang berkualiti dari segenap aspek agar mereka dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan graduan lain di peringkat global.
Penulis: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).