Program Menyemai Kasih Ummah Madani: Menyatukan Hati, Mengukuhkan Komuniti telah melabuhkan tirainya dengan jayanya pada 15 November 2026 di Kampung Terusan, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Dirangka sebagai satu platform berskala besar, program ini merupakan keperluan utama bagi pelajar Tahun 4 yang mengambil kursus AAD3203 Da’wah Tatbiqi di bawah Program Sarjana Muda Da’wah dan Pengurusan Islam. Apa yang menjadikan penganjuran kali ini sangat luar biasa adalah peralihan paradigma pelajar KAA2 yang bertanggungjawab ke atas kelancaran program; ia bukan lagi sekadar memenuhi syarat tugasan akademik, sebaliknya berperanan menjadi satu amanah bersama untuk memastikan setiap warga penduduk Kampung Terusan mendapat manfaat yang berimpak.
Program ini bergerak selari dalam mendefinisikan konsep SULAM yakni pembelajaran menerusi perkhidmatan berasaskan komuniti yang menuntut mahasiswa turun ke lapangan sebenar bagi menyelesaikan isu masyarakat menerusi kepakaran bidang pengajian. Seramai 40 orang pelajar telah terlibat daripada awal perancangan program sehingga mampu menterjemahkan nilai dalam tingkahlaku dengan ketekunan, serta komitmen yang tinggi. Mereka turut berjaya merealisasikan rubrik SULAM dengan cemerlang menerusi pendekatan dakwah secara praktikal (tatbiqi). Kolaborasi erat antara pelajar, barisan pensyarah pengiring, dan Jawatankuasa Kampung Terusan membuktikan bahawa pelaksanaan program universiti mampu memecahkan tembok pemisah antara menara gading dan masyarakat akar umbi.
Kejayaan program ini turut dilihat menerusi perspektif pengurusan sumber manusia yang telah mengintegrasikan amalan berpandukan Quran dan Sunnah selaras dengan keperluan semasa dan pasaran bakat profesional, terutamanya isu-isu kepimpinan holistik yang sering berada dalam radar Malaysian Institute of Human Resource Management (MIHRM). Dari lensa pengurusan sumber manusia Islam di USIM, pelajar telah mengaplikasikan integrasi ilmu Aqli menerusi kemahiran pengurusan projek, penyelesaian masalah, dan kemampuan berkomunikasi serta keikhlasan berdakwah secara empati.Ketekunan dan dedikasi yang ditunjukkan oleh jawatankuasa pelaksana selari dengan nilai-nilai al-Qawiyy al-Amin, iaitu pembentukan karakter pemimpin yang profesional dan kompeten serta memiliki nilai kebolehpercayaan tinggi yang wajar diberikan kredit. Sikap toleransi, semangat kerja berpasukan, serta empati yang diterapkan sepanjang berinteraksi dengan komuniti kampung telah melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah bersedia menjadi pengurus sumber manusia yang berpaksikan nilai ihsan.

Satu pencapaian paling membanggakan dalam edisi ini adalah kejayaan program da’wah tatbiqi dalam menyatukan pelbagai demografi masyarakat. Acara mega Reunion Warih Terusan 3.0 bukan sahaja menggembleng tenaga warga kampung sedia ada, malah berjaya meniup semangat kekitaan sehingga menarik kepulangan anak-anak perantau dari kota kembali ke desa. Sentuhan ukhuwah ini mentransformasikan status program daripada sekadar tugasan berkumpulan pelajar kepada satu platform milik bersama. Ia secara langsung membina modal insan dan kesejahteraan komuniti yang sangat ditekankan dalam amalan sumber manusia yang holistik.Kelancaran menterjemah rubrik SULAM ini turut diperkukuh melalui jalinan kerjasama dengan pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Rembang Panas. Menerusi Kem Bestari Solat, pelajar telah mengambil peranan sebagai penggerak kepada aspek latihan dan pembangunan (Training and Development) dengan berkongsi ilmu serta kepakaran dalam modul teori dan amali solat. Pendekatan turun padang ini bukan sahaja mengasah potensi kepimpinan dan kejurulatihan mahasiswa, malah ia menjadi nilai tambah yang sangat kritikal kerana pelaksanaannya menyokong penuh kurikulum wajib di bawah Program jQAF, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Kejayaan menterjemahkan teori kepada impak yang nyata dalam masyarakat ini sudah tentu tidak dapat direalisasikan tanpa kepercayaan dan komitmen tinggi Jawatankuasa Kampung Terusan yang diterajui oleh Tuan Haji Muhammat bin Haji Idris serta Pengerusi Masjid Kariah Kampung Terusan, Tuan Haji Idris bin Lasim. Pada masa yang sama, sokongan kewangan yang signifikan daripada Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan YAB Dato’ Haji Ismail bin Haji Lasim, Menteri Besar Negeri Sembilan serta dukungan berterusan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling, YB Tuan Mohamad Qayyum bin Abd. Jalil, yang turut berkesempatan turun padang bagi menyempurnakan perasmian acara kemuncak program, telah menyuntik semangat dan memperkukuh iltizam semua pihak yang terlibat. Sinergi erat antara universiti, komuniti setempat, institusi pendidikan dan pihak kerajaan ini bukan sahaja menjadi pemangkin kepada kejayaan program, malah menyerlahkan keupayaan graduan USIM sebagai khalifah dan pengurus sumber manusia yang berdaya saing, berintegriti serta bersedia mendepani cabaran dunia sebenar berlandaskan keseimbangan ilmu duniawi dan ukhrawi.
![]() |
![]() |
|---|---|
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Oleh: Dr Kalsom binti Ali
Pensyarah Kanan Program Da’wah dan Pengurusan Islam. |
|---|






