Disebalik peristiwa Hijrah Rasulullah SAW, terselit pelbagai pengajaran dan ikhtibar khusus untuk umat Islam. Pahit getir yang dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat dalam peristiwa ini haruslah diambil dan dijadikan contoh tauladan semasa kita berhadapan dengan pelbagai dugaan hidup ini. Bermula penghujung tahun 2019, negara telah digemparkan dengan kewujudan virus pembunuh yang telah menyebabkan kematian jutaan nyawa di seluruh dunia. Ramai antara kita yang terkesan dengan kemunculannya.
Malah, ada antara kita yang mengalami kemurungan, kerisauan dan berdepan dengan pelbagai ketidakpastian dek kerana serangan musuh “halimunan” yang tidak kelihatan ini. Seluruh aspek kehidupan kita juga turut terkesan dengan kehadirannya. Di samping itu, pandemik COVID-19 yang melanda hingga kini bukan sahaja perlu dipulihkan dengan rawatan, bahkan anjakan besar dalam pola kehidupan perlu dilaksana bagi memastikan penurunan dalam jumlah kes penularan wabak ini. Rantaian kes yang diberi jolokan kluster ‘sivagangga’ dan ‘makcik gelang pink’ seharusnya tidak dipandang enteng bagi memastikan keselamatan sejagat dari virus pembunuh yang telah meragut jutaan nyawa. Perangkaan data dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan wabak yang mencetuskan masalah kesihatan awam dunia ini telah menjangkiti jutaan manusia dan telah meragut banyak nyawa. Di Malaysia pula, wabak COVID-19 telah memberi kesan yang sangat besar kepada sistem politik, ekonomi, sosial, kesihatan, dan pendidikan negara. Impaknya juga turut melibatkan institusi keluarga sehinggalah kepada aspek kesejahteraan manusia. Persoalannya, apakah persediaan diri yang harus dibuat bagi bertahan dalam kemelut yang tidak berkesudahan ini?
Jika ditelusuri dari aspek makna, hijrah dan perubahan adalah sinonim dan saling melengkapi yang membawa makna pembaharuan kepada sesuatu keadaan, kehidupan mahupun diri manusia. Sama ada kita sedar atau tidak, kehidupan menuntut kepada perubahan dalam setiap fasa dan masa. Dalam ertikata lain, manusia perlu berhijrah dari sesuatu yang buruk kepada yang baik dan daripada yang baik kepada yang lebih baik. Takrif hijrah dari segi bahasa adalah perpindahan dan meninggalkan sesuatu tempat serta dalam konteks sejarahnya merujuk kepada perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah, namun dari perspektif lain hijrah juga membawa makna perubahan dalam perbuatan yang dikaitkan dengan transformasi diri ke arah kebaikan meliputi sistem kepercayaan, pemikiran dan tindakan yang bersepadu atau JERI (Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek). Perubahan diri secara holistik ini juga melibatkan unsur keimanan yang akhirnya membawa kepada keadaan diri yang lebih baik atau kesejahteraan diri.
Norma baharu ini sememangnya menuntut kepada hijrah dalam kehidupan. Hijrah disini merujuk kepada perubahan atau transformasi diri bertepatan dengan konsep ‘Taghyir al-Nufus’ di dalam Islam iaitu perubahan nilai kepercayaan, cara pemikiran dan perbuatan dalam bekerja ke arah yang lebih baik. Oleh yang demikian setiap ujian serta musibah yang melanda dalam fasa wabak ini hendaklah diambil ibrah dari sudut hikmah, tauladan dan pedoman darinya. Untuk tujuan itu, perubahan hendaklah meliputi aspek fizikal (jasmani), mental (pemikiran), spiritual (rohani) yang akhirnya memberi kesan kepada emosi yang tenang dan sejahtera. Hal ini hanya berjaya digarap sekiranya manusia sedar bahawa disebalik ujian yang melanda ini bukanlah penamat kepada suatu jalan mati atau titik noktah dalam kehidupan, tetapi dijadikan sebagai wadah permulaan untuk perubahan dalam diri ke arah yang lebih baik dan lebih dekat kepada Allah SWT.
Secara realitinya, sepanjang tempoh penularan wabak COVID-19 hinggalah kepada transisi fasa norma baharu, corak dan gaya hidup setiap dari kita mengalami perubahan yang besar. Impak dari COVID-19 ini menyebabkan rata-rata individu telah meluangkan masa di rumah bersama keluarga. Maka sebaiknya masa yang panjang ini digunakan dengan aktiviti bermanfaat untuk seisi keluarga. Pada masa ini ayah dan ibu dapat memantau kegiatan, perkembangan dan tingkah laku anak-anak mereka, manakala pasangan suami dan isteri dapat meluangkan masa bersama untuk memperbaiki hubungan yang sedia ada agar menjadi lebih baik. Tuntasnya, setiap yang berlaku ini, memerlukan individu melakukan proses penghijrahan dalam menyesuaikan diri dengan keadaan norma baharu. Implikasi dari hijrah ini juga dapat dilihat dari aspek pemantapan iman di mana rasa redha dengan ketentuan Allah swt dapat dipupuk, di ajar dan seterusnya membolehkan individu bertahan dengan segala cabaran yang datang dengan penuh keazaman dan keyakinan. Bahkan sunnah dan keperibadian Rasululah SAW dalam baginda berhadapan dengan ujian dijadikan sebagai contoh tauladan yang praktikal. Ini kerana, Rasulullah SAW adalah qudwah hasanah iaitu suri teladan yang terbaik buat kita semua contohi.
Meskipun sambutan Ma’al Hijrah pada tahun ini berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, namun pengajaran dan iktibar dari peristiwa hijrah ini harus dijadikan contoh tauladan oleh setiap umat Islam di negara ini dalam berhadapan dengan kehidupan norma baharu COVID-19. Cabaran yang bertali arus dari wabak COVID-19 ini menjadi asas kukuh kepada pembentukan kekuatan diri yang mantap, tahan diuji dan tabah menempuh arus perubahan. Dengan memaknai dan mempraktikkan apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah dalam peristiwa hijrah ini, umat Islam pasti ampuh berdepan dengan pelbagai implikasi dari wabak COVID-19 ini. Hal ini menjadikan umat Islam sebagai individu yang memiliki jati diri yang tinggi dan tidak mudah terkesan dengan apa jua keadaan atau musibah yang berlaku. Semoga, slogan ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ yang merupakan tema sambutan Ma’al Hijrah bagi tahun ini 1442H/2020M. menjadi satu dorongan untuk negara dan seluruh warga rakyat mencapai keharmonian bersama melalui kesepakatan dan kerjasama dalam membanteras virus yang menjadi halangan utama kepada kesejahteraan ini.
Penulis: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).