PUTRAJAYA, 27 Sept – Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Program Kaunseling dan Komunikasi telah menyantuni komuniti Putrajaya bersempena Open Day Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang.
Pelbagai aktiviti diadakan antaranya pembukaan booth, jualan makanan, serta promosi perkhidmatan e-Direktori Masjid. Program Kaunseling dan Komunikasi turut memeriahkan acara dengan pameran pendidikan, aktiviti art therapy, face painting, mewarna untuk kanak-kanak serta kempen kesedaran kesihatan mental yang mendapat sambutan hangat daripada para pengunjung.
Menurut Pensyarah Program Kaunseling, Dr. Dini Baharudin berkata, penglibatan pelajar dalam program ini memberi peluang untuk mereka berinteraksi secara langsung dengan masyarakat sekali gus mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di dalam kelas.
“Program seumpama ini bukan sahaja melatih kemahiran komunikasi dan kaunseling pelajar, tetapi juga membina keyakinan diri serta meningkatkan keprihatinan terhadap isu kesedaran kesihatan mental yang ada dihadapi oleh sesetengah komuniti,” katanya.
Program ini juga menjadi salah satu inisiatif penting untuk memperkenalkan Program Kaunseling dan Komunikasi USIM kepada komuniti luar, di samping berfungsi sebagai platform menyebarluaskan peluang pembelajaran yang ditawarkan di USIM.
Secara keseluruhan, penglibatan FKP dalam program ini memberi impak positif bukan sahaja kepada pembangunan sahsiah dan kemahiran pelajar, tetapi juga mengangkat nama fakulti dan USIM sebagai sebuah universiti yang komited dalam mendekatkan diri dengan masyarakat serta memperkukuh jenama akademik di peringkat nasional.
Selain Dr. Dini, beberapa pensyarah lain dari Program Kaunseling dan Komunikasi turut bersama-sama menyertai pameran ini bagi memberi sokongan serta bimbingan kepada para pelajar yang terlibat iaitu Prof Madya Dr Nur Kareelawati Abd Karim, Dr Fauziah Hassan dan Ustaz Mohd Azhar Ibrahim Residi.
![]() |
![]() |
---|---|
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |