Oleh: Amir Farhan (TAC)
NILAI, 16 Okt – Pengacara dan personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya telah membuat penampilan khas sempena Karnival Kerjaya Mini anjuran mahasiswa tahun 4 Komunikasi yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), baru-baru ini.
Kehadiran Ahmad Fedtri Yahya untuk sesi ‘Career Talk’ di Dewan Kuliah Fakulti 1.2 (DKF 1.2), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan ini ternyata mendapat sambutan menggalakkan apabila dewan tersebut dipenuhi dengan kehadiran mahasiwa dari pelbagai fakulti.
Ketika berkongsi pengalaman beliau kepada mahasiswa USIM, Fedtri berkata “Ibu bapa saya dahulu tidak membenarkan saya untuk belajar dalam jurusan Komunikasi kerana tidak yakin dengan prospek kerja dalam bidang itu sendiri.
“Namun, setelah saya menunjukkan kesungguhan dan memujuk kedua ibu bapa saya, barulah mereka merestui untuk mengambil jurusan Komunikasi.” Katanya.
Beliau juga berkongsi sedikit tips kepada sesiapa yang ingin menjadi wartawan supaya pandai mengawal suara dan perbanyakkan kosa kata untuk mempermudahkan urusan serta dapat menaikkan ‘standard’ kerja.
Beliau juga berpesan agar mahasiswa atau bakal graduan tidak perlu berfikir hendak menceburi bidang yang dipelajari sahaja, tetapi mereka juga perlu mencuba kerja lain yang ditawarkan. Ini kerana pada masa kini, syarikat-syarikat memerlukan mereka yang boleh melakukan dua kerja dalam satu masa atau istilah lainnya ‘multi-tasking’.
Tambahnya lagi, “Apabila jadi orang yang bekerja, kita perlu berfikir ke hadapan dan kita tidak boleh malas apabila kita tiada kerja kerana kita perlu fikrkan apa yang patut dilakukan apabila ada masa terluang.
“Kita juga perlu memberikan penekanan terhadap internet content kerana pada masa sekarang zaman sudah berubah.
“Kemungkinan pada masa akan datang, orang tidak ambil peduli dengan kepentingan televisyen kerana semuanya ada di internet.” katanya lagi.
Tujuan Karnival Kerjaya Mini ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan panduan kepada mahasiswa yang bakal menjadi graduan.
Salah seorang mahasiswa Komunikasi tahun 3, Ku Amalina Zamriah binti Ku Yahya berkongsi pandangan tentang program tersebut. Beliau berkata “Program seperti ini perlu diadakan lagi bagi membuka mata anak muda terutamanya mahasiswa itu sendiri”.
Dia juga menambah, “Dengan kehadiran Ahmad Fedtri sendiri, kita dapat mendengar sedikit sebanyak pengalaman beliau dalam bidang kerjanya.
“Beliau juga seorang yang peramah dan sedia membantu dengan memberitahu sedikit sebanyak tips di alam pekerjaan nanti.” Katanya lagi.
Karnival Kerjaya Mini ini adalah sebahagian daripada acara Festival Komunikasi 2018 atau Commfest ’18 yang berlangsung selama seminggu bermula dari 12 hingga 16 November ini turut disertakan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti career talk, Pameran Karnival Kerjaya, Bengkel Penulisan Resume, Mock Interview dan sebagainya.