17 Ogos – Dua Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan berjaya memenangi anugerah Best Group Project yang mengetengahkan tema seni bina bergandingan bersama dua peserta lain dari Universiti luar sempena IP-COS Summer Course yang dianjurkan oleh Universitas Muhammadiyah Yogyakarta, Indonesia bermula 27 Julai hingga 9 Ogos 2025.
Pertandingan yang menghimpunkan seramai 25 peserta dari luar negara seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ateneo de Manila University dan University of the Philippines Diliman telah bersama-sama menjayakan Documentary Photo Exhibition di Masjid Mataram, Kotagede, Yogyakarta yang menjadi satu inisiatif mencerminkan kolaborasi merentas budaya dan sempadan.

Menurut Dr Muria Endah, Ketua Panitia IP-COS Summer Course ini, pameran foto ini adalah rangkuman projek akhir semua peserta yang mempersembahkan hasil foto terbaik mereka dan akan dipamerkan di mana peserta perlu memberi penerangan kepada semua pelancong yang berkunjung ke pameran. Menurut salah seorang peserta dari USIM iaitu Siti Nur Imanina Zamzuri, “Banyak benda baru yang saya belajar, tambah pula suasananya pun lain daripada biasa. Lepas join program ni, rasa keyakinan diri tu memang meningkat. Walaupun English saya tak berapa lancar, tapi saya jadi berani nak sembang dengan kawan-kawan dari Filipina dan Indonesia. Seronok jugak sebab dapat belajar beberapa perkataan baru dalam bahasa Indonesia dan Tagalog. Paling best, kami dapat tukar-tukar cerita, pandangan, dan kongsi budaya masing-masing. Memang pengalaman yang susah nak lupa,” katanya.

Kursus IP-COS Summer Course UMY ini merupakan acara tahunan anjuran UMY dan menjadi platform untuk mahasiswa program komunikasi meningkatkan kemahiran dalam area kewartawanan foto dan mengetahui apakah teknik yang sesuai dan boleh memberi impak kepada penonton.

Antara intipati program ini ialah menyediakan kursus dan kelas untuk beberapa topik berkaitan kewartawanan foto, mengetahui teknik membuat nota lapangan (field note), menulis jalan cerita (storyboard) untuk setiap gambar yang diambil untuk membuat dokumentasi bagi pameran foto yang akan diadakan dan eksplorasi tempat-tempat sejarah di sekitar Yogyakarta.

Program ini turut mendapat sokongan dari beberapa pihak iaitu Pusat Wakaf dan Zakat USIM, Surau Safni Nilai Impian, Zarasa Fotostat, LNC Room Print Sdn Bhd, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) dan sumbangan individu dari Felo Budi FKP.