DIALOG ANTARA AGAMA SEBAGAI SARANA MENGATASI ISLAMOFOBIA DAN XENOFOBIA: PELAKSANAAN SCRIPTURAL REASONING 1/2023 DI BILIK AKIDAH AND GLOBAL OUTREACH CENTRE (AGENT), 13/3/2023, ISNIN, JAM 1500 – 1700.

Dalam Surah al-Hujurat 49: ayat 13, Allah SWT berfirman: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).

Dialog antara agama adalah antara sarana terbaik yang menggunakan pendekatan partisipatori untuk berkenal-kenalan dan saling mengenali dalam kalangan penganut pelbagai agama, bangsa dan kepercayaan. Jika diusahakan secara baik dan berterusan, dialog antara agama dapat mengatasi masalah Islamofobia dan xenofobia yang berlaku di seluruh dunia. Islamofobia adalah perasaan takut dan prejudis yang tidak rasional dan dikenakan terhadap agama Islam dan kaum Muslimin. Xenofobia pula adalah perasaan takut dan prejudis yang tidak rasional dan dikenakan terhadap orang yang dianggap asing.

Scriptural Reasoning (Penghujahan Kitab / Kefahaman Teks Agama) adalah salah satu kaedah dialog antara agama yang digunakan secara meluas di seluruh dunia. Scriptural Reasoning adalah sebuah program interaksi antara peserta dengan latar belakang agama yang berbeza untuk membaca dan membahas teks suci agama masing-masing bagi tujuan memahami perbezaan-perbezaan dalam setiap agama dengan lebih baik. Ini bersesuaian dengan moto program ini iaitu ke arah perbezaan faham agama yang lebih berkualiti atau better quality disagreement (http://www.scripturalreasoning.org/). 

Dalam pandangan sesetengah sarjana, program Scriptural Reasoning ini telah bermula di Barat pada pertengahan tahun 1990 dan dipraktikkan sehingga ke hari ini di Universiti Cambridge dan Universiti Oxford (https://www.interfaith.cam.ac.uk/sr). Dalam al-Quran al-Karim, kaedah penghujahan kitab / kefahaman teks telah diperkenalkan dalam pelbagai tempat menerusi gesaan  “bawalah kitab kamu” seperti berikut:

“Se1.     “Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israil, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat. Katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika ada makanan yang diharamkan kepada kamu – wahai Bani Israil – sebelum Kitab Taurat diturunkan) maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar” (Surah Ali ‘Imran 3: ayat 93).

      2.    “(Kiranya ada) maka bawalah kitab kamu (yang menerangkan demikian), jika betul kamu orang-orang yang benar” (Al-Quran al-Karim Surah al-Saffat 37: ayat 157).

Program Scriptural Reasoning telah diadakan sejak tahun 2017 di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama wakil jemaah Kristian Katolik, Gereja St. Theresa Nilai untuk tujuan pendedahan serta latihan kepada para pelajar mengenai kepentingan dialog antara agama dan mengenali pelbagai kepercayaan, amalan, adat, dan budaya di Malaysia. Pelbagai siri Scriptural Reasoning telah diadakan di USIM semenjak daripada perancangan awal pada tahun 2017. Pelbagai tema juga telah dipilih dan dibincangkan secara bersama berdasarkan petikan ayat daripada al-Quran al-Karim dan kitab Bible. Antara tema ini adalah penciptaan Nabi Adam AS, kedudukan Saidatina Maryam AS dalam Agama Kristian dan Islam, dan banyak lagi.

Pada tarikh 13 Mac 2023, hari Isnin, jam 1500 – 1700, sesi pertama Scriptural Reasoning telah dilaksanakan di Bilik Akidah and Global Outreach Centre (AGENT) dengan tema: Penciptaan Adam Dan Permusuhan Antara Iblis Dengan Seluruh Manusia. Pemilihan teks daripada al-Quran al-Karim bagi tema ini adalah daripada Surah al-A’raf, 7: ayat 10-18. Manakala daripada kitab Bible pula, dipilih daripada Kitab Genesis, bab 3 : ayat 1 – 24.

Sesi pertama tahun 2023 ini telah dihadiri oleh lima belas orang peserta yang terdiri daripada tiga orang wakil Gereja Katolik Kuala Lumpur, dua orang wakil Pusat Dakwah Islamiah Paroi, para pelajar, pensyarah, dan alumni Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sesi kali ini telah dimulakan dengan taaruf ringkas daripada semua peserta, kemudian diikuti dengan pengenalan tema dan format perbincangan dalam Scriptural Reasoning atau Penghujahan Kitab ini.

Peserta Muslimin telah memulakan sesi pembacaan Surah al-A’raf, 7: ayat 10-18 dalam Bahasa Arab oleh Siti Nur Qardina Binti Abd Rahim, terjemahan Bahasa Malaysia oleh Anis Sofia Binti Abd Aziz dan terjemahan Bahasa Inggeris oleh Nur Ridhwah Binti Mohd Ridhuan. Kemudian, sesi ini diikuti dengan penghuraian maksud ayat dan perbincangan berkenaan konteks dan perkataan dalam ayat-ayat suci al-Quran ini yang berkait rapat dengan tema. Setelah tamat separuh masa awal untuk peserta Muslimin, sesi pembentangan diserahkan kepada peserta Katolik. Pembacaan Kitab Genesis, bab 3 : ayat 1 – 24 telah dibuat dalam Bahasa Melayu oleh Father Eugene Bennedict berserta penghuraian maksud ayat yang berkait rapat dengan tipu daya syaitan ke atas umat manusia dalam konteks Kristian Katolik.
Terlalu banyak pelajaran dan pengalaman yang dapat diambil daripada sesi pertama Scriptural Reasoning tahun 2023 ini. Terdapat beberapa persamaan dan perbezaan dalam ajaran Islam dan Katolik yang dapat diteliti daripada tema ini dan ayat-ayat yang telah dibacakan. Secara umum, kesemua peserta bersetuju bahawa iblis dan nafsu adalah musuh utama bagi umat manusia kerana sifat suka menipu, menzalimi dan menghancurkan umat manusia. Kesemua umat manusia, tidak mengira agama, sewajibnya mempertahankan hubungan yang baik sesama manusia dan amanah dalam memelihara kesejahteraan alam, keselamatan nyawa dan berkongsi kemakmuran yang dinikmati dalam kehidupan ini.

Sesi perbincangan ditangguhkan pada jam 4.30 petang dan diakhiri dengan ucapan terima kasih serta penghargaan kepada semua peserta yang hadir. Selepas sesi bergambar dan majlis penyampaian cenderamata kenangan, majlis diakhiri dengan jamuan minum petang. Kesemua peserta mengambil peluang untuk meneruskan perbincangan dengan tetamu daripada Gereja Katolik dan Pusat Dakwah Islamiah Paroi sambil menikmati jamuan petang.

Semoga semua peserta dapat bertemu lagi dalam sesi-sesi Scriptural Reasoning yang akan datang. Diharapkan juga sesi dialog antara agama seperti ini dapat memperjelaskan beberapa ajaran utama yang berbeza dalam Islam dan Katolik serta memupuk sifat muhibah dalam kalangan peserta. Semangat ini juga bersesuaian dengan sambutan Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia yang dianjurkan oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tarikh 15 Mac setiap tahun

Dr. Wan Mohd Fazrul Azdi bin Wan Razali,
Pensyarah Program Pengajian Akidah dan Agama,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia